Salam fasa ke-3 ramadhan, fasa dijauhkan daripada api neraka.
Masjid semakin dipenuhi pemburu lailatulqadar. Kelihatan di bahagian belakang dewan solat muslimat terdapat banyak hamparan sleeping bag dan susunan bantal2 kecil. Si ibu membawa deretan anaknya untuk turut sama merasai detik2 10 malam akhir ramadhan. Kelihatan beberapa sahabat ralit membaca alQuran, tidak kurang juga yang sedang berhalaqah dan bertazkirah dalam bulatan kecil. Kerja aku saat ini adalah memerhatikan orang dan anak orang. Sebenarnya ingin segera pulang memandangkan ada tugasan yang perlu dihantar esok. Tapi, terasa berat hati dan berat kaki untuk melangkah pulang.
***
Hari ini dapat kawan baru lagi, seorang dari Guangzhou bernama Mahadiye, dua dari Indonesia bernama Asma Syahidah Wigati dan kakaknya Sana Afifah Wigati, juga Mariyam dari Oman. Sana boleh bertutur dalam bahasa jepun kerana dilahirkan di Jepun, Mahadiye bertutur bahasa cina mandarin juga fasih berbahasa inggeris, Mariyam hanya memberi bahasa isyarat yang tidak aku fahami (Mariyam tidak pandai berbahasa Melayu atau Inggeris) dan tidak lupa seorang kawan melayu bernama Maisarah Sofia, dan Nadia. Lihatlah betapa masjid telah menghubungkan dan menemukan saudara jauh yang sebelum ini tidak pernah dikenali. Mahadiye dan Asma berumur 5 tahun, Sana berumur 10 tahun, Maisarah Sofia berumur 10tahun di bibir (4tahun pada surat beranak) dan Nadia dan Mariyam… aku tidak tahu! Dan, hari ini jumpa OB juga. =)
***
‘Kakak, umur kakak berapa?’ Soal Asma.
‘Sama umur dengan Asma.’ Jawabku. Aku tidak jumpa jawapan yang lebih baik daripada ini untuk mengambil hati kanak2 tersebut. Asma ketawa. ‘Kakak tipu, kenapa kakak besar?’
‘Sebab kakak makan banyak… Asma kurus sebab makan sikit.’ Asma ketawa lagi. Dan, itulah bagaimana persahabatan kami bermula. ;p
***
Penat nak bercerita panjang, cumanya, sangat seronok dapat mengenali anak2 kecil begini, tercuit hati melihat gelagat mereka…Banyakkan bergaul dengan budak kecik akan menjadikan kita awet muda (ini terjadi apabila kita bergaul secara kanak2 juga), tapi boleh jadi cepat tua juga (ini terjadi apabila kita bergaul lagak ibu2).
Kalau sesiapa mendengar kepetahan Mahadiye bertutur dalam Bahasa Inggeris pasti akan terketawa sorang2. Bila aku tanya, ‘Mahadiye can speak English?’ Sepatutnya jawapan yang selalu didengar seperti, ‘little, little bit etc…’ tapi, Mahadiye menjawab begini… ‘I can… small…’ sambil menunjukkan isyarat tangan bermaksud sedikit. Comel2~
Mahadiye juga petah bercerita tentang adiknya yang berusia 1 tahun… Dia kata adiknya pelat… Jadi panggil Mahadiye, ‘Dede…’ Padahal dalam bahasa mandarin kakak disebut sebagai ‘cheche…’ (macam mana nak eja ya?~) Mahadiye menulis di atas kertas yang aku berikan. Pertama ditulis namanya, ‘m.a.H.a.b.i.Y.e…’ aku sebut ‘mahabiye?’, mahadiye menggeleng, ‘it’s MAHADIYE…’
‘Owh Mahadiye (sebutan Mahdiya)’ ditulis ‘D’ sebagai ‘b’ kecik. Pening aku dibuatnya. Kemudian, Mahadiye tulis namanya dalam bahasa cina pula. Tulisannya senget dari besar jadi sangat kecik. Tapi, kelihatan Mahadiye memang sangat suka menulis. Begitu juga Asma dengan Sana yang beria2 mengajar aku menulis tulisan jepun. Terima kasih kawan2ku! ;p
***
‘My brother is very naughty… He likes to bit people!’ Bagitahu Mahdiye padaku.
‘Really?! But, he didn’t bit me…’ Bagitahu aku. Adik Mahadiye sangat sihat. Berumur setahun tapi berbadan besar berbanding kanak2 seusianya.
‘Because…today he is in good mood.’ Bisik Mahadiye ke telingaku. Terketawa aku mendengarnya. Mahadiye sangat pandai. Dia sama sekolah dan sekelas dengan Asma, International Islamic School(IIS).Sebab itu mereka berdua sangat rapat. Sekali lagi, persahabatan tidak mengira perbezaan bangsa. Kanak2 yang mengajar dan menunjukkan contoh tersebut!
Kemudian aku terpaksa pulang. Kena pulang juga kerana ‘lukisan bekerja’ (working drawing) tidak akan bekerja tanpa tuannya. Masih banyak yang terbelengkalai sejak beberapa hari lepas. Aku tidak mahu mengulangi sekali lagi subjek ini, makanya, aku harus lebih banyak memulun. Akhirnya aku pergi juga meninggalkan kenangan bersama teman2 baruku itu… Harap esok jumpa lagi!
‘Kakak, esok datang la lagi…’
‘insyaAllah. =)’
***
Baiklah… sekarang kembali kepada tujuan asalku. Sebenarnya sekadar ingin berkongsi tentang lailatulqadar. Memang kebiasaan 10 malam terakhir, momentum setiap individu ditingkatkan demi memburu lailatulqadar. Bertuahnya orang yang berjaya mendapatkannya. Aku tidak pasti aku sedang memecut atau masih berjalan seperti biasa. Kalau meningkatpun, mungkinlah tak terlalu ketara peningkatannya atau boleh jadi sama saja dengan awal Ramadhan. Kadang2 terfikir, apakah targetku sebenarnya untuk Ramadhan kali ini? Seakan aku terlambat memasang objektif Ramadhan.
Teringat cerita emakku tentang arwah datuknya Tokki, Satu malam akhir bulan Ramadhan, Tokki berjalan bersama seorang kanak2 (saudara ibuku yang aku lupa siapa). Tiba2 kanak2 tersebut bertanya, ‘tok, kenapa semua pokok2 tunduk? Kenapa langit sangat cerah?’ Dan, mungkinlah itu petanda malam tersebut lailatulqadar. Emak bagitahu, tokki seorang yang alim, ibadat dan solat malam tidak pernah ditinggalkan. Mungkinkah lailatulqadar hanya untuk orang2 alim dan soleh? Kadang2 terfikir, seakan tak layak bagiku untuk mendapatkannya. Masih terlalu banyak kemungkaran yang aku lakukan sehari2. Astaghfirullah~ semoga lailatulqadar itu berjaya diperoleh sekurang2nya sekali dalam hidup. Maka, jangan berputus asa untuk memburunya!
***
Dari Anas RA, dia berkata, ‘Telah bersabda Rasulullah SAW,
“Pada malam lailatulqadar, jibril AS dengan serombongan malaikat turun. Mereka membacakan selawat dan salam untuk tiap hamba yang berdiri atau duduk mengingati Allah SWT.”
Abu Hurairah berkata, “Pada malam lailatulqadar, para malaikat yang turun ke bumi lebih banyak daripada jumlah batu kerikil. Pintu langit dibukakan untuk mereka turun sebagaimana telah dijelaskan. Maka tersingkaplah kerajaan ini oleh pancaran cahaya.
Adapun, manusia dalam hal itu bertingkat2. Ada yang untuk setengah mereka, kerajaan langit dan bumi ini dibukakan tabirnya sehingga dapat dilihat para malaikat dalam rupa aslinya. Ada yang berdiri, duduk, rukuk, sujud, berzikir, bertasbih, bertahlil. Ada juga yang untuk setengah mereka, dibukakan sungai, pepohonan dan buah-buahannya. Bahkan juga melihat tempat para nabi, para wali dan syuhada. Kemudian juga melihat neraka dan segala isinya dan tingkatan tempat orang2 kafir. Malahan ada juga setengah mereka yang dibukakan tabir antara dia dan Allah SWT. Sehingga dia hanya melihat kepada Allah SWT sahaja.”
Dari Aisyah RA berkata, ‘telah bersabda RAsulullah SAW,
“Barangsiapa yang menghimpunkan malam lailatulqadar, melakukan solat dua rakaar dan memohon ampun kepada Allah di situ, tentu Allah SWT mengampuninya, dia menyelam dalam rahmat Allah serta Jibril mengusapnya dengan sayapnya. Siapa yang diusap Jibril dengan sayapnya pasti dia akan masuk syurga.”
Rujukan : Keutamaan Lailatul Qadar;Penenang Jiwa(Mukashafah al Qulub)- Imam al-Ghazali.
***
Apabila memperoleh lailatul qadar, seboleh2nya dirahsiakan mengenainya kerana makruh bagi sesiapa yang melihat lailatulqadar menceritaknnya kepada orang lain. Melainkan apabila seseorang itu ingin mendapatkan kepastian dan penjelasan tentangnya daripada para ulama yang amanah.
Aisya RA bertanya kepada Rasulullah SAW, “apakah yang mesti dilakukan sekiranya mengetahui malam tersebut lailatul qadar?”
Rasulullah SAW menjawab, “ucapkanlah, Ya Allah, Tuhanku, sesungguhnya Engkaulah Yang maha Pengampun, maka, ampunilah aku!”
Rujukan : Ramadhan Tetamu Yang Dirindui ; Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang
***
‘Taqabalallahuminna wa min kum…’
Perbanyakkan taubat pada malam 10 terakhir ramadhan, semoga Allah mendengar dan menerima segala amalan kita insyaAllah.
Wallahu’alam.