Aku ingin jadi aku! Bila aku bertukar wajah blog, aku cuba sedaya untuk menulis sebagai aku. Yang aku maksudkan adalah, penulisan seorang manusia normal yang tidak sempurna yang mengharapkan teguran daripada semua yang membaca. Pada awalnya aku sering menulis sesuatu yang kadang2 merupakan satu pembohongan, kadang aku ‘tertulis’ sesuatu yang tidak aku lakukan. Hanya kebaikan dan amalan yang tertulis pada Setitik Dakwat. Dan, itulah yang aku kesalkan. Kadang, tulisan itu tidak wujud dalam amalan, malah lebih teruk, tidak terkesan juga sebagai peringatan. Aku tidak mahu manusia melihat aku sebagai seorang manusia yang harus dihormati, sedang di sisi Allah, aku tiada tempat sama sekali. Tulisan kali ini lebih kepada koreksi diri. Dan, Aku Mahu Menjadi Aku!
Aku sebagai seorang manusia, takkan pernah terlepas daripada debu dosa. Kadang cuba lari daripada terpalit debu dosa yang tidak kelihatan, tapi, sering gagal kerana yang tidak kelihatan itulah yang sering terlekat pada diriku lantas debu menjadi habuk (debu kelihatan lebih bersih berbanding habuk...entahlah~), dan habuk menjadi kotoran dan kotoran menjadi degil. Dan degil itu bermaksud susah untuk dibersihkan lagi!
Setelah lama aku berfikir, di mana silapku sebenarnya? Kadang nekad untuk berhenti menulis kerana bimbang manusia tersalah tafsirkan diriku. Hakikat tulisan tidak sama dengan percakapan. Tulisan tidak sama juga dengan perbuatan. Makanya, aku mahu menjadi aku!Bila aku menulis, aku cuba untuk menjadi seperti aku. Bila aku bercakap, aku cuba untuk menjadi seperti aku. Dan, dalam menjadi diriku, aku cuba untuk meletakkan satu ketegasan dan prinsip dalam diri iaitu cuba untuk tidak membatasi syariat Allah. Cuba meletakkan limit dalam diri, dan andai ketegasan ini membuatkan aku dibenci, atau dipandang rendah sekalipun, aku sangat berharap ketegasanku tetap tidak goyah. Yang aku rasakan benar dalam menjadi diri sendiri.
Mungkin manusia yang membaca kurang faham. Tapi, jangan bimbang, kerana tulisan ini sekadar nota buat diriku yang kadang bersembunyi di sebalik litup pakaian atau bersembunyi di sebalik kelembutan tulisan. Dan, ketahuilah, aku sekadar manusia biasa yang tak pernah sunyi daripada melakukan kesilapan. Yang masih sedang belajar dan tercari2 erti kehidupan. Yang mendambakan tunjuk arah di kala kesesatan. Yang harapkan cahaya di kala kegelapan. Yang khilaf mengharapkan kemaafan.
Wallahu’alam.
Insan lemah lagi hina,
NNIJ
1 ulasan:
salam...semoga berjaya menjadi 'anda'..
Catat Ulasan