Selasa, Jun 17, 2008

Seteguh Pokok, Binaan dan Gigi..


Ada sebatang pokok… Ku lihat di kejauhan sana.. Pokok yang merimbun daunnya.. Tegap batangnya, kukuh pula akarnya..Ku kira pokok itu tinggi sehingga kepalaku terpaksa mendongak ke langit..
Ada sebuah bangunan.. Ku lihat di hadapanku letaknya.. Bayangkan saja bangunan itu amat tinggi sekali.. strukturnya tegap kerana sokongan tiang-tiangnya.. Atapnya megah berada di puncak paling atas.. hampir2 saja mencecah awan.. dan sudah pasti ceracaknya di bawah perlu kukuh dan kuat..Ya, mengikut teorinya, perlulah tapaknya kukuh, barulah kukuh juga binaannya..
Ada pula sebatang gigi..Di dalam mulut letaknya.. Si kecil tersenyum manis, menampakkan barisan giginya yang hampir sahaja hilang kesemuanya..Ada pula si jelita tersenyum lebar..Barisan giginya tersusun rapi, kuat lagi sihat..Emm, semua ini juga atas jasa akarnya yang kukuh mencengkam batangnya agar tidak goyang dan tampil kuat dan berjasa kepada senyuman yang menawan..
Antara ketiga-tiga bandingan ini..Lihat saja persamaannya, adanya akar yang mencengkam menyumbang kepada teguhnya binaan hingga ke puncaknya..Ini bukan sahaja berdasarkan ilmu seni bina mahupun kejuruteraan, tapi, ia hanyalah merupakan ilmu asas mengikut akal logic saja.. Begitu juga agama syumul ISLAM..Ada akar tunjangnya, ada juga badan atau tiangnya, dan ada puncaknya..Setiap anggota itu saling menguatkan antara satu sama lain..Mati akar, tiang akan lemah, lalu puncak menyembah tanah ..Kelak seluruh strukturnya akan tidak bermaya, layu, mati.. Lalu, apakah akar bagi Islam, tiangnya dan puncaknya??

Dari Muadz bin Jabal ra berkata: “Wahai Rasulullah, beritahu aku amal yang akan memasukkanku ke dalam syurga dan akan menjauhkanku dari neraka.” Baginda bersabda, “Engkau telah bertanya tentang masalah yang besar. Namun itu adalah pekara yang mudah bagi sesiapa yang dimudahkan oleh Allah SWT. Engkau harus menyembah Allah dan jangan menyekutukanNya dengan apa pun, mendirikan solat, mengeluarkan zakat, berpuasa di bulan Ramadhan, dan menunaikan haji ke Baitullah.”

Kemudian baginda bersabda, “Mahukah kamu aku tunjukkan pintu-pintu kebajikan? Puasa adalah perisai, sedekah memadamkan dosa sebagaimana air memadamkan api, dan solat di tengah malam.” Kemudian baginda membaca firman Allah yang bermaksud, “Lambung mereka jauh dari tempat tidurnya, mereka berdoa kepada Tuhannya dengan rasa takut dan penuh harap, dan mereka menginfakkan sebahagian daripada rezeki yang Kami berikan kepada mereka. Maka tidak seorangpun mengetahui apa yang disembunyikan untuk mereka iaitu (bermacam-macam nikmat yang menyenangkan hati sebagai balasan terhadap apa yang mereka kerjakan.” (as-sajdah:16-17)

Kemudian baginda bersabda kembali, “Mahukah kalian aku beritahu pangkal agama, tiangnya dan puncak tertingginya?”.Aku menjawab, “Mahu. Wahai Rasulullah.” Rasulullah SAW bersabda, “pokok urusan adalah islam (syahadat), tiangnya adalah solat, dan puncak tertingginya adalah jihad.

Kemudian, baginda melanjutkan, “ Mahukah kalian kuberitahu tentang kendali bagi semua itu?” saya menjawab, “ Mahu, wahai Rasulullah.” Baginda lalu memegang lidahnya lalu bersabda, “Jagalah ini.” Saya berkata, “Wahai Nabi Allah, adakah kita akan diseksa kerana ucapan-ucapan kita?” Baginda menjawab, “Celaka kamu. Bukankah banyak dari kalangan manusia yang tersungkur ke dalam api neraka dengan mukanya terlebih dahulu (dalam riwayat lain, dengan lehernya terlebih dahulu) itu gara-gara buah ucapan lisannya?”
(HR. Tirmidzi ia berkata, “Hadith ini hasan sahih”)
Wallahu’alam.

Tiada ulasan: