Isnin, Ogos 24, 2009

Daripada BERNAMA

Pelajar UIAM Lemas Di Kolam Renang Kampus

KUALA LUMPUR, 24 Ogos (Bernama) -- Seorang pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) ditemui lemas dalam kolam renang di kampus universiti itu di sini pagi Isnin.

Mayat Mohd Hafifi Hazwan Mohd Adnan, 20, ditemui pada 3 pagi dan dihantar ke Hospital Kuala Lumpur di sini untuk bedah siasat.

Ketua Polis Daerah Gombak ACP Abdul Rahim Abdullah berkata Mohd Hafifi, pelajar tahun pertama, dilaporkan mandi di kolam itu bersama-sama empat rakannya selepas bermain futsal.

"Dia dipercayai tidak pandai berenang," katanya.

Ibu mangsa Norma Abdulah, 40-an, berkata beliau terkilan kerana tidak sempat untuk berpuasa bersama anaknya pada Ramadan tahun ini dan berhari raya bersama-sama.

"Malam pertama puasa sebelum sahur, arwah ada menelefon makcik dan memberitahu akan pulang pada hari raya nanti malah dia turut berjanji mahu membeli baju raya untuk adik-adiknya," katanya ketika ditemui pemberita selepas solat jenazah di Masjid UIAM, di sini.

Norma berkata beliau mendapat panggilan mengenai kematian anaknya itu daripada pihak pengurusan universiti pada 3.30 pagi dan beliau sekeluarga bergegas dari rumah mereka di Jerteh, Terengganu.

Mohd Hafifi Hazwan, pelajar tahun pertama kursus kejuruteraan UIAM, merupakan anak kedua daripada lapan adik beradik.

Jenazah Mohd Hafifi Hazwan akan dikebumikan di kampung halamannya di Kampung Alor Lintah, Jerteh, Terengganu, pada malam ini.

Sahabat karib Allahyarham, Muhamad Izad Yusof, 20, berkata selepas penat belajar pada kira-kira 1.30 pagi ini, mereka membuat keputusan untuk bermain futsal di kompleks sukan universiti itu.

"Habis bermain dalam pukul 2.30 pagi, pengawal keselamatan minta kami pulang kerana waktu sudah lewat. Jadi kami ikut arahan dan pulang ke hostel berkongsi menaiki motosikal tetapi Mohd Hafifi Hazwan telah mendahului rakannya yang lain kerana menunggang bersendirian," katanya.

Bagaimanapun, katanya, semasa ke hostel, mereka terdengar jeritan meminta tolong dari arah kolam renang dan terkejut apabila mendapati Mohd Hafifi Hazwan di dalam kolam renang itu.

Muhamad Izad berkata mereka berempat cuba sedaya upaya menolong mangsa namun gagal kerana mangsa tenggelam dan keadaan menjadi semakin sukar kerana kawasan kolam renang itu agak gelap sebelum mendapatkan bantuan pengawal keselamatan.

Beliau berkata sepanjang perkenalannya dengan Allahyarham, Mohd Hafifi Hazwan merupakan seorang rakan yang baik.

"Dia aktif dalam bersukan dan seorang yang ramah. Pemergiannya dalam bulan Ramadan adalah satu kehilangan besar buat kami dan saya akan ingat tragedi ini sampai bila-bila," katanya.

-- BERNAMA

Tiada ulasan: