Salam’alaik
Sesekali hati terasa sayu bila terlihat kain rentang panjang, tertulis padanya, AHLAN YA RAMADHAN. Semua umat Islam menantikan kedatangan Ramadhan. Tapi, bagiku, aku masih belum bersedia untuk memasuki fatrah pesta ibadat ini. Kedengaran seakan aku tidak gembira menyambut kehadiran Ramadhan. Tidak, bukan begitu maksudku... Cuma hatiku sayu, terkenangkan Ramadhan yang lalu, berapa banyak aku mampu meraikan pesta ibadat ini dengan benar2 beribadat padanya? Faham bukan maksudku? Aku takut… aku takut peratusan amalanku tetap sama tiada peningkatan…
Untuk menyambut tetamu istimewa ini, aku cuba untuk lebih menghayatinya, berusaha untuk lebih merasai kehadirannya, berusaha untuk melebihkan amal ibadat padanya.insyaAllah. Tetapi, aku pelik, mengapa mentaliti kita bila tiba sahaja bulan Ramadhan segala kebaikan kita lakukan? Usai Ramadhan adakah usai juga pesta ibadat, usai juga segala kebaikan? Di mana istiqamahnya kita? Aku takut juga aku lah yang bertindak begitu…Dan ini juga menjadi punca mengapa hati sayu bila tiba Ramadhan.
Ramadhan, aku benar2 ingin merasai sebenar2 keindahannya. Keindahan yang ramai orang perkatakan tentangnya. Keasyikan bertemu Tuhan, ketenangan bertemu pencipta alam… Di mana aku boleh mendapat kenikmatan ini semua?
Malam pertama Ramadhan, aku begitu kagum melihat ramainya manusia berpusu2 memenuhi ruangan masjid SHAS. Subhanallah, inilah keadaan di mana aku melihat jemaah yang begitu ramai di SHAS selain solat Jumaat. Kedengaran gema ‘amiin’ makmum yang begitu kuat menunjukkan kehebatan himpunan umat Muhammad SAW. Sesekali hati terdetik, andai inilah barisan yang turut memperjuangkan Islam, pasti tumbang segala kekafiran… Subhanallah.
Aku masih ingat, dulu aku hanya memasuki Ramadhan tanpa aku berusaha untuk mengenalinya. Tahun ini aku berazam untuk mengenali Ramadhan dengan lebih dekat. Supaya Ramadhan kali ini lebih bermakna sesuai dengan kata orang Ramadhan sebagai pesta ibadat. Tak kenal maka tak cinta… Jom sahabat, kita kenali Ramadhan…
ERTI RAMADHAN
Ramada (RA-Mim-Dhad) – Meletakkan senjata di antara 2 batu bagi diasah supaya tajam. Kebiasaanya masyarakat Arab berperang pada bulan Syawal. Jadi, pada bulan sebelum itu, mereka mengasah senjata dan menghiasnya sebagai persediaan perang.
Ramadhan – juga bermaksud panas mentari yang memanaskan pasir. Kerana bahang mentari ini, tekak menjadi haus pada waktu siang.
KENAPA BERPUASA DI BULAN RAMADHAN?
Firman Allah SWT yang bermaksud:
(Masa Yang Diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan Yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan Yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara Yang benar Dengan Yang salah. oleh itu, sesiapa dari antara kamu Yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa bulan itu; dan sesiapa Yang sakit atau Dalam musafir maka (bolehlah ia berbuka, kemudian wajiblah ia berpuasa) sebanyak hari Yang ditinggalkan itu pada hari-hari Yang lain. (dengan ketetapan Yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur. (Al Baqarah, 2:185)
Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud:
‘Islam ialah mengucap dan percaya tiada tuhan yang sebenar kecuali Allah dan Muhammad itu Utusan Allah, mendirikan sembahyang, mengeluarkan zakat, berpuasa pada bulan Ramadhan dan menunaikan haji di baitullah (Makkah) apabila mampu.’ (HR Muslim)
Setakat ini dahulu tentang Ramadhan. InsyaAllah, punya kesempatan waktu akan aku tulis berkaitan sejarah dan kelebihan Ramadhan. Aku yakin sudah ramai yang mengetahuinya. Tapi, tidak bagiku… Masih terlalu banyak yang aku tidak tahu berkaitan Ramadhan. Aku menulis bukan sekadar untuk memberi tetapi juga sebagai peringatan dan pelajaran buat diri. insyaAllah..
Wallahu’alam. Wassalam.
Rujukan : Ramadhan Tetamu yang Dirindui; Tuan Guru Abdul Hadi Awang
P/S : diri ingin memohon maaf untuk segala salah silap sepanjang perkenalan, sepanjang penulisan ini..Yang sengaja mahupun tidak, kemaafan juga dipinta. RAMADHAN MUBARAK semua. =)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan