Ahad, Ogos 30, 2009

Ramadhan 9 : Kisah Ka'ab bin Malik



Salam’alaik.


Seperti biasa, kaki melangkah lagi ke SHAS. Kali ini ditemani Kak Fadilah, terasa lebih selamat berteman. Seusai solat terawikh, Kak Fadilah bertanya padaku, ‘Tahu tak ustaz baca surah apa?’ Aku sekadar menggeleng. Sungguh, aku tak pasti surah apa, tapi, ku kira pada 9 Ramadhan pasti sudah juzuk yang ke sembilan. ‘Surah At-taubah.’ Jawab Kak Fadilah ringkas. ‘Owh…’ Aku mengangguk.


‘Akak ingat surah ni sebab baru belajar hari tu. Kenapa turun ayat tu. Peristiwa yang terjadi semasa dan selepas perang tabuk. Dan jugak tentang masjid dhirar’


‘Akak, yan nak tahu kisah tu…’ Aku menjadi berminat apabila terdengar tentang kisah masjid dhirar. Aku baru sahaja membacanya daripada buku karangan Ustaz Haji Hadi Awang secara ringkasannya.


‘Masjid Dhirar tu masjid yang dibina oleh kaum munafik yang nak menjatuhkan Islam. Cerita perang tabuk pulak pasal yang tiga orang jujur mengaku bahawa tiada keuzuran untuk mereka turun berperang.’

‘Owh… Yan tahu kisah tu. Tapi, dah banyak lupa… Akak cerita la…Yan nak dengar.’


‘Masa tu seruan untuk ke perang tabuk….’ Kak Fadilah memulakan cerita sehingga akhirnya. Sekadar yang dia mampu ingat katanya.



Kami pulang selepas terawikh, dan aku berazam untuk menyiapkan semua ‘kerja sekolah’ malam ini juga. Tapi, entah kenapa, hatiku lebih berminat untuk meng ‘google’ tentang masjid dhirar dan perang tabuk. Aku pernah membacanya sebelum ini, tapi, sudah sifatku, sekali aku baca senang sekali aku lupa. Malah, kadang2 sudah berkali2 kubaca, tapi, tetap lupa. Moga2 pencarianku kali ini dapat memberi manfaat bersama insyaAllah.



Di sini sebenarnya aku ingin menceritakan peristiwa Ka’ab bin Malik, sahabat Nabi Muhammad SAW yang tidak turut serta dalam peperangan tabuk.


Aku yakin dan pasti ramai antara sahabat2 yang sudah fasih akan peristiwa ini. Tapi, insyaAllah aku akan cuba mengolahnya menjadi satu perkongsian yang membawa kepada kesedaran bersama. Hari ini aku tersedar sesuatu yang sudah berkali2 aku tersedar tetapi sering terlupa daripada kesedaran tersebut. Memang sudah namaku manusia yang mudah tersedar dan mudah sekali terlupa. Itu jualah kelemahanku sebagai seorang hamba.



KA'AB BIN MALIK TIDAK TURUT BERJIHAD


Ka’ab bin Malik merupakan antara tiga orang (termasuk Murarah bin Rabi’ah Al-Amiri dan Hilal bin Umayah Al-Waqifi ) yang tidak turun berperang semasa perang tabuk. Bukan bererti hanya mereka bertiga yang tidak turut menyahut seruan jihad tersebut, tetapi dalam kalangan kira2 80 orang yang tidak turut serta dalam peperangan tersebut, hanya mereka bertiga yang menyatakan kejujuran mereka berkaitan sebab mereka tidak turun berperang.


“Aku sama sekali tidak pernah tidak turut mengikuti semua peperangan bersama Rasulullah SAW kecuali dalam perang Tabuk. Aku tidak turut serta dalam perang Tabuk itu adalah karena kelalaian diriku terhadap perhiasan dunia, ketika itu keadaan ekonomiku jauh lebih baik daripada hari-hari sebelumnya. Demi Allah, aku tidak pernah memiliki barang dagangan lebih dari dua muatan unta, akan tetapi pada waktu peperangan itu aku memikinya.


Sungguh, tidak pernah Rasulullah SAW. merencanakan suatu peperangan melainkan beliau merahsiakan hal itu, kecuali pada perang Tabuk ini. Peperangan ini, Rasulullah saw. lakukan dalam kondisi panas terik matahari gurun yang sangat menyengat, menempuh perjalanan nan teramat jauh, serta menghadapi lawan yang benar-benar besar dan tangguh. Jadi, rencananya jelas sekali bagi kaum muslimin untuk mempersiapkan diri masing-masing menuju suatu perjalanan dan peperangan yang jelas pula.


Rasulullah SAW mempersiapkan pasukan yang akan berangkat. Aku pun mempersiapkan diri untuk ikut serta, tiba-tiba timbul pikiran ingin membatalkannya, lalu aku berkata dalam hati, “Aku boleh melakukannya kalau aku mau!”


Akhirnya, aku terbawa oleh fikiranku yang ragu-ragu, hingga para pasukan kaum muslimin mulai meninggalkan Madinah. Aku lihat pasukan kaum muslimin mulai meninggalkan Madinah, maka timbul di fikiranku untuk mengejar mereka memandangkan mereka belum jauh. Namun, aku tidak melakukannya, kemalasan menghampiri dan bahkan menguasai diriku.” Ka’ab bin Malik


Bukanlah tamat di sini kisah Ka’ab bin Malik, semasa ditanya oleh Rasulullah SAW mengapa Ka’ab bin Malik tidak turut serta dalam peperangan, Ka’ab bin Malik yang pada asalnya ingin cuba memberikan alasan yang palsu berubah fikiran untuk berlaku jujur di hadapan Rasulullah SAW. Katanya, “Ya Rasulullah! Demi Allah. Kalau duduk di hadapan penduduk bumi yang lain, tentu aku akan berhasil keluar dari amarah mereka dengan berbagai alasan dan dalil lainnya. Namun, demi Allah. Aku sedar kalau aku bercakap bohong kepadamu dan engkau pun menerima alasan bohongku, aku khuatir Allah akan membenciku. Kalau bercakap benar, kemudian kerana itu engkau marah kepadaku, sesungguhnya aku berharap Allah akan mengampuni kealpaanku. Ya Rasululah SAW, demi Allah, aku tiada keuzuran. Demi Allah, keadaan ekonomiku aku tidak pernah stabil berbanding tatkala aku mengikutimu itu!”


Setelah mendengar pengakuan Ka’ab bin Malik, Rasulullah berkata, “Kalau begitu, tidak salah lagi. Kini, pergilah kau sehingga Allah menurunkan keputusan-Nya kepadamu!”


Bersambung~ (insyaAllah)

Ramadhan 9 : Terjemahan Surah At-Taubah


At-Taubah : 41-49 maksudnya;

41. pergilah kamu beramai-ramai (untuk berperang pada jalan Allah), sama ada Dengan keadaan ringan (dan mudah bergerak) ataupun Dengan keadaan berat (disebabkan berbagai-bagai tanggungjawab); dan berjihadlah Dengan harta benda dan jiwa kamu pada jalan Allah (untuk membela Islam). Yang demikian amatlah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui.

42. kalau apa Yang Engkau serukan kepada mereka (Wahai Muhammad) sesuatu Yang berfaedah Yang sudah didapati, dan satu perjalanan Yang sederhana (tidak begitu jauh), nescaya mereka (yang munafik itu) akan mengikutmu; tetapi tempat Yang hendak dituju itu jauh bagi mereka. dan mereka akan bersumpah Dengan nama Allah Dengan berkata: "Kalau Kami sanggup, tentulah Kami akan pergi bersama kamu". (dengan sumpah dusta itu) mereka membinasakan diri mereka sendiri, sedang Allah mengetahui Bahawa Sesungguhnya mereka itu orang-orang Yang berdusta (tentang tidak sanggupnya mengikutmu).

43. Allah memaafkanmu (Wahai Muhammad), mengapa Engkau izinkan mereka (tidak turut berperang) sebelum nyata bagimu orang-orang Yang benar dan (sebelum) Engkau mengetahui orang-orang Yang berdusta?

44. orang-orang Yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, tidak akan meminta izin kepadamu untuk (tidak turut) berjihad Dengan harta benda dan jiwa mereka. dan (ingatlah) Allah Maha mengetahui akan orang-orang Yang bertaqwa.

45. Sesungguhnya Yang akan meminta izin kepadamu hanyalah orang-orang Yang tidak beriman kepada Allah dan hari akhirat, dan Yang hati mereka (sangat) ragu-ragu. oleh itu mereka sentiasa bingung teragak-agak Dalam keraguannya.

46. dan kalaulah mereka mahu keluar (untuk turut berperang), tentulah mereka menyediakan persiapan untuknya; tetapi Allah tidak suka pemergian mereka, lalu dilemahkanNya semangat mereka, dan dikatakan (oleh Syaitan): "Tinggalah kamu bersama-sama orang-orang Yang tinggal".

47. kalaulah mereka keluar bersama kamu, tidaklah mereka menambahkan kamu melainkan kerosakan, dan tentulah mereka segera menjalankan hasutan di antara kamu, (dengan tujuan) hendak menimbulkan fitnah (kekacauan) Dalam kalangan kamu; sedang di antara kamu ada orang Yang suka mendengar hasutan mereka. dan (ingatlah) Allah Maha mengetahui akan orang-orang Yang zalim.

48. Sesungguhnya mereka telah lakukan fitnah semenjak dahulu lagi, dan mereka merancangkan terhadapmu (Wahai Muhammad) berbagai tipu daya, sehingga datanglah kebenaran, dan nyatalah (kemenangan) ugama Allah (Islam), sedang mereka tidak suka kepadaNya.

49. dan di antara mereka (yang munafik itu) ada Yang berkata: "Izinkanlah Aku (supaya tidak pergi berperang) dan janganlah Engkau menjadikan daku dipengaruhi oleh fitnah ". ketahuilah, mereka telah pun tercebur ke Dalam fitnah (dengan dalihan Yang dusta itu). dan Sesungguhnya azab jahannam meliputi orang-orang Yang kafir.

Rabu, Ogos 26, 2009

Catatan Ramadhan Kedua

(sepatutnya entri ini dipos pada 2Ramadhan. Tetapi, kita hanya merancang, Allah jua yang menentukan.)

Salam’alaik.

Ramadhan kedua, berkobar2 azamku untuk memanfaatkan Ramadhan sebaikya. Sering sahabat mengulang kata dengan tujuan mengingatkan diri ini… ‘Bulan Ramadhan ni kita kena tingkatkan ibadat. Alhamdulillah, Allah kurniakan kita nikmat untuk merasa Ramadhan sekali lagi. Cuba bayangkan andai kita tak sempat merasai Ramadhan…Pasti sedih, tambah2 dengan amal kita yang tak seberapa ini…’

Ramadhan kedua, Alhamdulillah, bangunku dengan tujuan untuk berjumpa Tuhan yang kurindu. Ada dua program yang ingin dan harus aku hadiri. Aku perlu menghadiri program pengurusan jenazah dan pada masa yang sama sahabat2ku menjemputku untuk menghadiri program pengurusan Ramadhan. Jadi, program yang mana satukah yang harus aku hadiri?

Akhirnya, aku mengambil keputusan untuk menghadiri program pengurusan Ramadhan dengan niat aku tidak mahu Ramadhan kali ini berlalu seperti angin lalu sebagaimana Ramadhan yang lepas. Angin apabila menyapa wajah kita ia terus pergi tanpa meninggalkan kesan. Adakah kita masih ingat angin mana yang menyapa kita dahulu? Angin yang sama tak mungkin berulang menyapa kita… Begitulah Ramadhan, andai Ramadhan lalu tidak atau kurang berkesan di hati, janganlah Ramadhan kali ini juga begitu. Moga2 Ramadhan kali ini meninggalkan bekas dan kesan yang berharga di hati. Bagaimana kita dapat melihat kesannya? Tunggulah di akhir Ramadhan nanti insyaAllah.

CHECKLIST RAMADHAN

Berbalik pada Pengurusan Ramadhan, Alhamdulillah, banyak input baru telah kuterima. Dan moganya input itu terus ku ingat sampai bila2.insyaAllah. Pertama, ingin melihat prestasi amalan kita, sediakanlah ‘checklist Ramadhan’ untuk sepanjang bulan ini. Setiap hari, rajin2kanlah mengisi ‘check list’ tersebut. Dari situlah, di akhir Ramadhan nanti kita akan nampak adakah kita sudah beramal dengan semaksima mungkin ataupun tidak. Dan ingatlah, wlaupun ruangan yang bertanda itu banyak, tidak juga semestinya semua itu diterima Allah. Walaubagaimanapun, hisablah diri kita dahulu sebelum kita dihisab di akhirat. Itulah pentingnya ‘checklist’ ini insyaAllah. =)

TARGET RAMADHAN

Kedua, target Ramadhan kita. Ramadhan yang bagaimanakah kita impikan? Di akhir Ramadhan nanti, apakah target yang ingin kita capai. Sebagai contoh target untuk mengkhatamkan 30juzuk al Quran. Contoh lainnya, qiammullail setiap malam. insyaAllah.

PERANCANGAN DAN TENTATIF RAMADHAN

Ketiga, lakukan perancangan kita dengan bijak. Sebagai contoh, sediakan jadual ringkas rutin harian kita dalam mencapai target yang disasarkan. Jadual ini mungkin tak perlu dicatat cuma sebagai peringatan yang kita perlu amalkan sebagai rutin harian. Sebagai contoh, Bangun awal pagi, tidak tidur selepas subuh, mengulangkaji pelajaran, tadarus al Quran, tadabbur al Quran dan sebagainya. Sebagai seorang mahasiswa/i yang sibuk dengan tugasan pelajaran, memang jadual kita sangat sibuk dan penuh, oleh itu, memang seharusnya kita merancang jadual dengan bijak (nasihat buat diri yang menulis khususnya).

IKRAR RAMADHAN

Sebagai contoh :

Dengan nama Allah yang Maha Melihat lagi Maha Mengetahui, bersaksilah atas apa yang aku tuliskan ini. (Tiadalah yang diharapkan olehku melainkan sebuah Ramadhan yang penuh makna. Untuk tahun ini, pasak azamku ingin menemuiMu selalu di setiap sepertiga malamku. Engkau yang kurindui, jagalah aku dari tidurku, dari lenaku yang panjang. Bangkit menyeru seruanmu, ‘Ya ayyuhal Muzzammil. qumillailla illa qalila.’)

Letakkan satu ikrar dan azam dalam diri untuk mencapai Ramadhan yang paling bermakna dalam hidup kita. Apabila punya azam yang tekad, insyaAllah, kita akan cuba sedaya upaya melaksanakannya. Walaupun mungkin tidak semuanya kita mampu laksanakan dengan jaya. Selamat bermujahadah semua.

Wallahu’alam. Wassalam.

Isnin, Ogos 24, 2009

Bila Intaian Maut di Hadapan Mata

Bila Malaikat Maut datang memanggil
Intaiannya sudah lama
Targetnya adalah KITA!
Beringatlah manusia bahawa hidup kita memang tidak lama...
Seketika cuma, akhirnya kita jualah bakal menjadi jasad itu yang tidak bernyawa...

Tangisan jiwa tidak mampu mengungkap rasa.
Hati menangis tatkala menghadap Tuhan Yang Esa.
Mengapa? Mengapa Tuhan?
Tiada signal dariMu tentang detik mana aku akan pergi.
Meninggalkan dunia untuk selamanya...
Meninggalkan sanak saudara,
meninggalkan segala pinjamanMu tika aku di dunia.

Aku sering terfikir, sejak kejadian itu.
Seolah2 makin dekat waktunya, aku akan bertemuMu.
Terbayang di mataku, di kuburan aku berada,
Ditanya Munkar dan Nakir...
Dan, tika itu...kelam!
Aku tidak tahu adakah aku dapat menjawab persoalan itu atau diam. terketar. membisu...
Aku...Takut!
Amalanku tidak banyak.
Sungguh...Tuhan, aku tidak bersedia!

Dalam solatku, sebaik mendengar ayatMu,
Aku tersedu. Tidak lagi mampu menghabiskan lapan yang kebiasaan.
Terpaksa aku berhenti..
Tuhan, sungguh...Aku takut.
Aku mahu pergi dalam sujudku..
Dalam sujud aku bertemuMu, dan, terlihat bayangan syurga.
Bukankah itu nikmat yang Kau janjikan buat hambaMu yang beriman?
Ya Allah. Kau Maha Mengetahui.
Betapa bayangan maut kini sentiasa di mataku...
Ya Allah. Kau jua yang tahu segala...
Bahawa amalanku tidak cukup untuk menempah syurgaMu.
Namun itulah harapnku...
SyurgaMu yang abadi.

Ya Allah, Kau tempatkanlah hambaMu yang telah Kau panggil untuk berada di sisiMu itu, di kalangan orang beriman. Amin.

Daripada BERNAMA

Pelajar UIAM Lemas Di Kolam Renang Kampus

KUALA LUMPUR, 24 Ogos (Bernama) -- Seorang pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) ditemui lemas dalam kolam renang di kampus universiti itu di sini pagi Isnin.

Mayat Mohd Hafifi Hazwan Mohd Adnan, 20, ditemui pada 3 pagi dan dihantar ke Hospital Kuala Lumpur di sini untuk bedah siasat.

Ketua Polis Daerah Gombak ACP Abdul Rahim Abdullah berkata Mohd Hafifi, pelajar tahun pertama, dilaporkan mandi di kolam itu bersama-sama empat rakannya selepas bermain futsal.

"Dia dipercayai tidak pandai berenang," katanya.

Ibu mangsa Norma Abdulah, 40-an, berkata beliau terkilan kerana tidak sempat untuk berpuasa bersama anaknya pada Ramadan tahun ini dan berhari raya bersama-sama.

"Malam pertama puasa sebelum sahur, arwah ada menelefon makcik dan memberitahu akan pulang pada hari raya nanti malah dia turut berjanji mahu membeli baju raya untuk adik-adiknya," katanya ketika ditemui pemberita selepas solat jenazah di Masjid UIAM, di sini.

Norma berkata beliau mendapat panggilan mengenai kematian anaknya itu daripada pihak pengurusan universiti pada 3.30 pagi dan beliau sekeluarga bergegas dari rumah mereka di Jerteh, Terengganu.

Mohd Hafifi Hazwan, pelajar tahun pertama kursus kejuruteraan UIAM, merupakan anak kedua daripada lapan adik beradik.

Jenazah Mohd Hafifi Hazwan akan dikebumikan di kampung halamannya di Kampung Alor Lintah, Jerteh, Terengganu, pada malam ini.

Sahabat karib Allahyarham, Muhamad Izad Yusof, 20, berkata selepas penat belajar pada kira-kira 1.30 pagi ini, mereka membuat keputusan untuk bermain futsal di kompleks sukan universiti itu.

"Habis bermain dalam pukul 2.30 pagi, pengawal keselamatan minta kami pulang kerana waktu sudah lewat. Jadi kami ikut arahan dan pulang ke hostel berkongsi menaiki motosikal tetapi Mohd Hafifi Hazwan telah mendahului rakannya yang lain kerana menunggang bersendirian," katanya.

Bagaimanapun, katanya, semasa ke hostel, mereka terdengar jeritan meminta tolong dari arah kolam renang dan terkejut apabila mendapati Mohd Hafifi Hazwan di dalam kolam renang itu.

Muhamad Izad berkata mereka berempat cuba sedaya upaya menolong mangsa namun gagal kerana mangsa tenggelam dan keadaan menjadi semakin sukar kerana kawasan kolam renang itu agak gelap sebelum mendapatkan bantuan pengawal keselamatan.

Beliau berkata sepanjang perkenalannya dengan Allahyarham, Mohd Hafifi Hazwan merupakan seorang rakan yang baik.

"Dia aktif dalam bersukan dan seorang yang ramah. Pemergiannya dalam bulan Ramadan adalah satu kehilangan besar buat kami dan saya akan ingat tragedi ini sampai bila-bila," katanya.

-- BERNAMA

Aku Melihat Dia Pergi



Salam'alaik. Rasa tidak mahu menulis lagi, tapi, hati tetap memberontak untuk mencoretkan sesuatu. Rupanya, baru kutahu, jari jemariku tidak betah duduk diam. Dia tetap gian mahu menari pada papan kekunci Acer ini. Jadi, aku menulis. Aku pasti ramai warga KOPU yang ingin tahu tentang kematian seorang presiden BWP 05/06.

Seperti itulah ketentuan Tuhan yang tidak sekali kita jangka. Dia mampu menghidupkan dan mematikan hanya sekelip mata tanpa bilangan saat mahupun detik sedikitpun. Dan, hari ini dalam lipatan hidup seorang hamba, Dia telah tetapkan bahawa had umurnya hanya lebih kurang 20tahun 2bulan. Dan dialah yang bernama Muhammad Hafifi Hazwan.

Langkah kakiku berat untuk ke Studio. Seakan aku masih berada dalam mimpi yang tidak berkesudahan. Aku masih menunggu seseorang mengejutkan aku daripada lena ini. Rupanya, bukanlah aku menerima perkhabaran dalam lena, tetapi dalam jagaku. Dalam realiti hidup yang sebenar. Tiada pembohongan. 'Yan, Fifi dah takde!' Kata2 Anies mantan Timb. Presiden BWP terngiang di telingaku. Aku sedih, sedih dalam dada. Tidak mampu ku hamburkan melalui tangisan sebagaimana setengah sahabat ku yang lain.

Aku dan Aima dan 'dia' hanya kami bertiga alumni KOPU yang berada di UIA Gombak. Asal dari kampung yang sama, Besut, Terengganu. Dan, kerana itulah kami boleh dikatakan agak rapat. Cuma, aku, sejak kebelakangan ini cuba menjauhkan diri daripa'nya'. Kerana kami punya fitrah berbeza. Dan, kali terakhir aku bertembung dengannya di 'Bus Stop Hafsah'. Dia menegurku dalam gurauannya. Dan aku cuba berlagak biasa dan hanya menjawab pertanyaannya ala kadar. Dan, itulah kali terakhir aku melihat kelibatnya, kira2 sebulan yang lalu.

'Yan, lepas ni, tinggal kita dua jelah balik kampung sesama.Yan, lepas ni, kita dua jugak je gi KOPU sesama.' Perlahan Aima utarakan padaku. Aku tahu, Aima sangat penat. Masakan tidak semalaman tidak tidur untuk siapkan projek tambah2 bila menerima perkhabaran mengejut seperti ini. Antara aku dan Aima, semestinya Aima lah yang lebih terasa. Aku cuma terkilan, ungkapan maaf tidak sempat kulafazkan. Kalau ingin dihitung dosaku padanya, tidak terkira rasanya. Dan, hanya Allah saja yang tahu.

'Aima, kita tak mampu buat apa2. Kita tunggu famili dia datang. Kita tunggu kat masjid eh.' Pada awalnya kami ingin ke HKL, tapi, dah terlalu lewat. Jadi, kami hanya menunggu van tiba di masjid. Juga menunggu keluarganya tiba untuk membawa jenazah pulang. Sebenarnya aku buntu, dia lelaki masakan aku pula yang bersungguh2 berada di situ. Terasa seakan tidak patut, tapi, masakan pula aku tidak mahu menziarah dan berjumpa keluarganya? Sedangkan kami sekelas, sesekolah, sekampung dan seuniversiti. Akhirnya, aku dan Aima hanya menunggu jenazah tiba di masjid SHAS. Andai punya rezeki kami pasti berjumpa dengan keluarganya untuk menghulur salam takziah. Dan, tika itu ramai juga sahabat dan cikgu bertanya khabar, tidak kira KOPU mahupun UIA.

'Assalamu'alaikum WBT'.

Kedengaran imam memulakan pengumuman di masjid.

'Brothers and sisters in Islam, insyaAllah, after Zuhur prayer, we will have a jenazah prayer for our 1st year Engineering brother, Mohd Hafifi Hazwan bin Mohd Adnan for his death this early morning.'

Sebaik aku mendengar nama Muhammad Hafifi Hazwan, lutut ku terus terasa mahu rebah. Tika itu aku menanti keranda diusung masuk ke masjid. Tapi, tidak juga muncul. Dan, kami solat Zohor berjemaah.

Sebaik selesai solat Zohor, aku lihat pintu di bawah minbar terbuka. Dan, kelihatan keranda diusung oleh beberapa orang lelaki. Dan, aku tahu, di dalam itulah letaknya jasad kaku seorang yang aku kenal. Ini bukan mimpi, tapi, realiti. Terasa seperti tidak percaya tapi, ini adalah satu kebenaran dan ini merupakan ketentuan Tuhan yang kita sama sekali tidak mampu menolaknya. Dan, aku teringat kematian yang berlaku Ramadhan yang lalu. Arwah Kak Hajar yang masih segar di ingatanku... Beginilah caranya Allah mendidik manusia untuk lebih menghargai hidupnya. Melalui sebuah kematian yang kita semua wajib rasa.

***
Aku melihat keluarganya. Semuanya kelihatan tidak mampu mengukir senyuman. Dari jauh aku melihat ibunya. Air mata tidak berhenti mengalir. Dan kelihatan bapa saudaranya merapati ibunya. Memeluk erat bagai tidak mahu dilepaskan tubuh kecil itu. Aku ingin berjumpa ibunya untuk cuba menenangkan, tapi saat itu ibunya telah melangkah masuk ke dalam van jenazah putih untuk dibawa jasad kaku itu pulang. Tidak mengapalah. Doa dari jauh kuhulurkan.

Aku berkesempatan bertemu ibu saudaranya. Kelihatan sangat sedih. Katanya dia seorang yang sangat baik, setiap kata orag tua dituruti. Ibu saudaranya benar2 tidak menyangka panggilan seawal subuh itu membawa perkhabaran sedih pada 3 Ramadhan. Takziah aku ucapkan, dan salam ketenangan aku hulurkan.

***

Kira2 jam 1430, aku melihat van putih itu berlalu pergi. Dengan lambaian air mata sahabat2 dia yang masih di situ begitu juga sahabatku Aima Nadhira. Terimalah kenyataan, dengan renungan keinsafan bulan Ramadhan bahawa kematian itu satu peringatan.

Wallahu'alam. wassalam.

Ahad, Ogos 23, 2009

Perkhabaran Pagi 3 Ramadhan

Salam'alaik
Perkhabaran Ramadhan 3

Pagi, Hidayati Anies menghubungiku membawa perkhabaran yang tidak kusangka.

Dulu kami agak rapat di kalangan Badan Wakil Pelajar KOPU. Mohd Hafifi Hazwan nama diberi merangkap Presiden Badan Wakil Pelajar dan aku sebagai Setiausahanya. Sehinggalah melangkah kaki ke universiti, aku dan Hafifi masih berada di langkah yang hampir sama. UIAM.

Dia dalam bidang kejuruteraan aku dalam bidang senibina. Baru dua, tiga hari lepas dia menghubungiku untuk bertanyakan perihal balik raya. Katanya dia punya tiket kosong. Aku sekadar memberitahu bahawa aku akan pulang bersama abang. Dan itulah kali terakhir aku mendengar suaranya. Dan, tidak ku terfikir bahawa mungkin tidak akan kedengaran lagi suaranya yang sering bertanyakan pendapat padaku berkaitan hukum dan syariat agama.

Tidak kusangka, dia pergi tanpa meninggalkan pesan apapun. Selalunya kami bertiga akan menziarah KOPU memandangkan kami bertiga sahaja punya cuti yang sama. Aku, Aima dan dia. Akhirnya dia pergi, maka, tinggallah kami berdua.

Kusangkakan, akulah yang bakal pergi dulu rupanya ketentuan Allah Maha Hebat daripada segalanya. 3 Ramadhan, di bumi UIA, akhirnya dia pergi meninggalkan segala kenangan KOPU, BWP, UIA dan segala2nya. Dan, segala pertanyaan yang pernah diutarakan padaku dahulu lenyap.kosong. Hanya tinggal pertanyaan yang sering aku jawab acuh tidak acuh padanya.

Tidak sempat juga aku memohon maaf atas kesilapanku dahulu. Aku sering menjawab pertanyaannya acuh tidak acuh. Memandangkan dia lelaki dan aku perempuan yang punya batasan pergaulan. Maafkan aku...

Al-Fatihah buat Allayarham Hafifi Hazwan, Engineering, 1st year UIAM Gombak, x-President BWP KOPU. Terima kasih atas segala jasanya sepanjang kerjasama kami bersama.

Al-Fatihah.

Dan, mesej bertalu sampai, telefon tidak berhenti deringan. Dan aku. senyap, masih cuba menerima kenyataan. Bahawa kematian tidak mengira usia.

Wallahu'alam.Wassalam.

Sabtu, Ogos 22, 2009

Buah Tangan Ramadhan - Kak Imah



Syukran Kak Imah untuk buah tangan ini dan untuk segalanya. InsyaAllah, semoga Ramadhan kali ini lebih bermakna buat kita semua. Andai ada salah dan silap Yan... maafin ya. =) Wallahu'alam.

Catatan Ramadhan Pertama



Salam’alaik


Sesekali hati terasa sayu bila terlihat kain rentang panjang, tertulis padanya, AHLAN YA RAMADHAN. Semua umat Islam menantikan kedatangan Ramadhan. Tapi, bagiku, aku masih belum bersedia untuk memasuki fatrah pesta ibadat ini. Kedengaran seakan aku tidak gembira menyambut kehadiran Ramadhan. Tidak, bukan begitu maksudku... Cuma hatiku sayu, terkenangkan Ramadhan yang lalu, berapa banyak aku mampu meraikan pesta ibadat ini dengan benar2 beribadat padanya? Faham bukan maksudku? Aku takut… aku takut peratusan amalanku tetap sama tiada peningkatan…


Untuk menyambut tetamu istimewa ini, aku cuba untuk lebih menghayatinya, berusaha untuk lebih merasai kehadirannya, berusaha untuk melebihkan amal ibadat padanya.insyaAllah. Tetapi, aku pelik, mengapa mentaliti kita bila tiba sahaja bulan Ramadhan segala kebaikan kita lakukan? Usai Ramadhan adakah usai juga pesta ibadat, usai juga segala kebaikan? Di mana istiqamahnya kita? Aku takut juga aku lah yang bertindak begitu…Dan ini juga menjadi punca mengapa hati sayu bila tiba Ramadhan.


Ramadhan, aku benar2 ingin merasai sebenar2 keindahannya. Keindahan yang ramai orang perkatakan tentangnya. Keasyikan bertemu Tuhan, ketenangan bertemu pencipta alam… Di mana aku boleh mendapat kenikmatan ini semua?



Malam pertama Ramadhan, aku begitu kagum melihat ramainya manusia berpusu2 memenuhi ruangan masjid SHAS. Subhanallah, inilah keadaan di mana aku melihat jemaah yang begitu ramai di SHAS selain solat Jumaat. Kedengaran gema ‘amiin’ makmum yang begitu kuat menunjukkan kehebatan himpunan umat Muhammad SAW. Sesekali hati terdetik, andai inilah barisan yang turut memperjuangkan Islam, pasti tumbang segala kekafiran… Subhanallah.



Aku masih ingat, dulu aku hanya memasuki Ramadhan tanpa aku berusaha untuk mengenalinya. Tahun ini aku berazam untuk mengenali Ramadhan dengan lebih dekat. Supaya Ramadhan kali ini lebih bermakna sesuai dengan kata orang Ramadhan sebagai pesta ibadat. Tak kenal maka tak cinta… Jom sahabat, kita kenali Ramadhan…



ERTI RAMADHAN


Ramada (RA-Mim-Dhad) – Meletakkan senjata di antara 2 batu bagi diasah supaya tajam. Kebiasaanya masyarakat Arab berperang pada bulan Syawal. Jadi, pada bulan sebelum itu, mereka mengasah senjata dan menghiasnya sebagai persediaan perang.


Ramadhan – juga bermaksud panas mentari yang memanaskan pasir. Kerana bahang mentari ini, tekak menjadi haus pada waktu siang.


KENAPA BERPUASA DI BULAN RAMADHAN?


Firman Allah SWT yang bermaksud:


(Masa Yang Diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan Yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan Yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara Yang benar Dengan Yang salah. oleh itu, sesiapa dari antara kamu Yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa bulan itu; dan sesiapa Yang sakit atau Dalam musafir maka (bolehlah ia berbuka, kemudian wajiblah ia berpuasa) sebanyak hari Yang ditinggalkan itu pada hari-hari Yang lain. (dengan ketetapan Yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur. (Al Baqarah, 2:185)


Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud:


‘Islam ialah mengucap dan percaya tiada tuhan yang sebenar kecuali Allah dan Muhammad itu Utusan Allah, mendirikan sembahyang, mengeluarkan zakat, berpuasa pada bulan Ramadhan dan menunaikan haji di baitullah (Makkah) apabila mampu.’ (HR Muslim)


Setakat ini dahulu tentang Ramadhan. InsyaAllah, punya kesempatan waktu akan aku tulis berkaitan sejarah dan kelebihan Ramadhan. Aku yakin sudah ramai yang mengetahuinya. Tapi, tidak bagiku… Masih terlalu banyak yang aku tidak tahu berkaitan Ramadhan. Aku menulis bukan sekadar untuk memberi tetapi juga sebagai peringatan dan pelajaran buat diri. insyaAllah..


Wallahu’alam. Wassalam.


Rujukan : Ramadhan Tetamu yang Dirindui; Tuan Guru Abdul Hadi Awang


P/S : diri ingin memohon maaf untuk segala salah silap sepanjang perkenalan, sepanjang penulisan ini..Yang sengaja mahupun tidak, kemaafan juga dipinta. RAMADHAN MUBARAK semua. =)