Khamis, Julai 19, 2012

Weekenders : The Nasi Bungkus Project

Aku selalu terdengar cerita tentang ‘homeless project’ tapi belum pernah sekalipun aku diajak untuk berprogram seperti ini. Beberapa hari lepas berbual dengan seorang sahabat tapi aku lupa dengan siapa aku berbincang soal ini. Lalu beberapa hari lepas juga aku post di Weekenders Club, ‘Boleh tak Ramadhan ni kita berkongsi rezeki dengan homeless?’ Dan, secara secepat kilat Hisham Mahir mencadangkan hari Rabu Weekenders akan keluar ke sekitar Kuala Lumpur untuk memberi sumbangan nasi lemak kepada homeless di bawah program Weekenders : The Nasi Bungkus Project. Aku senang dengan Weekenders. Kewujudannya bukanlah secara formal dan tidak tertutup untuk beberapa ahli sahaja, tapi, kewujudannya seolah2 secara tidak sengaja, mengumpulkan insan2 yang punya hati untuk berbakti dan punya kekuatan fizikal untuk beraktiviti setiap kali hujung minggu. Tak kenal antara satu sama lain, tapi, disebabkan satu cita2, kami berkumpul dengan mengharapkan sesuatu dapat kami bawa pulang akhirnya. Mungkin lebih banyak memberi tapi pulangannya pengalaman yang memang tak boleh dibeli-lumayan! 

***

Apa agaknya rasa apabila kita memberi makan kepada orang2 yang selama ini kita abaikan sahaja kewujudannya? Apa agaknya rasa apabila kita memberi makan kepada orang2 yang selama ini kita tak pernah ‘nampak’ kewujudannya, atau mungkin lebih tepat, yang kita sengaja tak-nampakkan kewujudannya? Dan, apakah perasaan mereka apabila menerima hanya sebungkus kecil nasi yang kita hadiahkan kepada mereka? Hati tertanya ingin tahu, dan lebih lagi, ingin sekali tahu kisah mereka yang setia menjadi perantau jalanan sepanjang hari. Apakah mereka tidak jemu berjalan siang dan malam di sekitar kota? Dengan gelagat manusia yang menyaksikan penuh tanda tanya dan mungkin dipandang jijik dan jelek adakalanya. 

Ada yang sentiasa menyelongkar sisa sampah untuk mencari sesuap makan, ada juga yang kurang upaya meminta belas kasihan orang, ada yang tidak berumah melainkan di bawah jambatan, ada yang kurang waras tidak mahukan sebarang pertolongan dan ada juga yang menagih dadah dibuang keluarga, tercampak di jalanan. Siapa yang peduli mereka ini? Jarang yang peduli melainkan manusia lebih banyak memberi persepsi negatif- mereka ini di pandangan manusia sempurna ibarat hanya sampah jalanan, perosak pandangan, tapi, pernahkah kita cuba mendekati dan bertanya sendiri apakah ujian yang sedang mereka hadapi? Seberat manakah ujian yang dihadapi mereka sehingga sanggup berumah berbumbungkan langit, berlantaikan tanah? Seberat mana ujian yang ditanggung mereka sehingga sanggup menyelongkar sampah? Jarang sekali kita peduli bukan?

***

Jam 12.30 aku dan sahabatku Aima bertolak dari UIA dan memarkir kereta di LRT Gombak. Lebih senang rasanya masuk KL dengan ‘public transport’. Seperti yang dijanjikan kami solat Zohor di Masjid Jamek dan sedia menunggu para sukarelawan sampai. Tak disangka sukarelawan yang hadir agak ramai kali ini walaupun hari Rabu bukanlah hari cuti. Ada yang mengambil cuti separuh hari semata2 untuk mengikuti projek Nasi Bungkus. Semua sekali berjumlah 24 orang pada awalnya tidak campur beberapa lagi sukarelawan yang datang agak lambat – 11 perempuan, 13 lelaki. Satu jumlah yang agak besar daripada jangkaan kami. 

Menjadi ahli Weekenders, tiada paksaan atau wajib untuk mengikuti setiap program yang dianjurkan. Sebab itu, setiap kali program, pasti aku akan berkenalan dengan ahli2 baru yang mana merupakan sesuatu yang sangat menyeronokkan bagiku. Tidak memilih rupa, tidak memilih cara berpakaian, tidak memilih latar belakang, semua dialukan untuk menyertai weekenders, tidak kira usia juga (tapi majoritinya 20-25 tahun). Persamaan antara kami mungkin hanyalah ingin memberikan sesuatu kepada orang lain, mungkin kerana inilah maka ada yang bersungguh2 untuk hadir, ada yang bersusah payah dari jauh meredah kesesakan ibu kota untuk merasai pengalaman ini. Satu perkataan yang boleh aku sebutkan - terharu. Terharu dengan kesungguhan mereka, terharu dengan kewujudan mereka, terharu dengan pengorbanan mereka dan kebanyakannya adalah mereka yang ku tak kenal siapa. 

Kami dibahagikan kepada tiga kumpulan, kumpulan Pasar Seni, Pudu Raya dan Jalan TAR. Aku berketuakan Nurul ke Pasar Seni bersama beberapa lagi ahli kumpulanku, yang aku ingat adalah Hafizah, Hanis, Edfi, Affan, dan mungkin dua atau tiga lagi sukarelawan lelaki yang aku lupa namanya. Setiap kumpulan membawa 33 atau 34 bungkus nasi lemak dan air kotak yang lebih 33. Menjumlahkan semuanya 100 bungkus nasi lemak yang akan diagihkan kepada homeless atau displace. Baru ku tahu, ada klasifikasi kategori golongan orang yang tidak bernasib baik ini. Menurut Nurul, homeless dan displace dalah dua golongan yang berbeza, dan keutamaan kami adalah untuk memberi kepada golongan yang homeless. Banyak yang aku belajar sepanjang berjalan sekeliling kota. Bagiku Nurul sangat hebat, pengetahuannya sangat luas tentang di mana kedudukan homeless ini berada. Nurul atau lebih mesra dengan panggilan Nab singkatan namanya Nurul Nabila memang pernah bersekolah di sekitar Kuala Lumpur, begitu juga teman sekolahnya Hafizah dan Hanis, jadi, tidak hairan apabila mereka bertiga ini benar2 fasih akan jalan2 dan lorong2 yang akan dilalui sepanjang projek ini.
Pertama kali pengalamanku menghulurkan nasi lemak kepada seorang pakcik menyebabkan hatiku sayu. Sayu apabila mendengar mereka mengucapkan terima kasih. Hatiku tidak berhenti bergaul, bercampur baur perasaan. Sungguh sebelum ini aku seakan buta mata melihat golongan ini. Aku musykil untuk memberikan bantuan dan pertolongan. Kadang2 muncul persoalan, mengapa mereka pilih untuk jadi begini sedangkan masih banyak lorong2 rezeki yang boleh mengubah corak hidup mereka? Kenapa mereka tidak bekerja sedangkan aku yakin mereka ini punya kudrat walau seminimum kudrat yang kita ada? Kenapa mereka tak mahu berubah dan mengubah nasib mereka? Persoalan inilah menyebabkan aku sentiasa berat hati untuk membantu. Tapi, hari ini, aku mengubah persepsiku terhadap mereka daripada tidak patut dikasihani menjadi sangat patut dikasihani. Aku cuba melunturkan egoku daripada terus bersikap sombong dengan ‘nasib baik’ yang banyak memihak kepadaku di dunia ini. Mereka ini mungkin sedang menghadapi satu tekanan hidup yang mungkin kita sendiri tidak mampu menanggungnya. Daripada kita menjadi orang yang buta dan tuli, ada baiknya kita menjadi orang yang prihatin tentang manusia sejagat ini. Mereka bukan makhluk asing yang patut ditidak pedulikan dan dihapuskan, tapi mereka ini juga manusia seperti kita yang punya hati dan perasaan.
 Wajah-wajah KL credit to Umar Mita
Tiba2 di benak fikirku dan di layar mataku terbayang suasana yang lebih sayu di sebuah Negara yang kita tak terfikirpun untuk menjejaknya. Fikiranku melayang jauh ke sebuah Negara yang jaraknya 4 ke 5 jam perjalanan kapal terbang. Untung aku dapat melihat sendiri kedhaifan Negara tersebut kerana tanpa melihatnya mungkin aku akan menjadi seorang hamba yang terlupa bahawa kita ini masih cukup segala2nya pada masa kita selalu mengadu yang kita tidak cukup dan miskin. Negara tersebut adalah Bangladesh, spesifiknya jelajahku di ibu kota Bangladesh iaitu Dhaka yang juga dikenali sebagai Kota Rickshaw atau Kota Masjid. Aku tak menyesal memilih kumpulan Dhaka sewaktu subjek ‘Heritage studies’ setahun yang lalu.
Banyak yang aku pelajari daripada kedhaifan negaranya dan daripada kenalan2 baruku di sana. Sungguh menginsafkan. Allahuakbar! Untuk pengetahuan, Bangladesh itu sebuah Negara Islam, rakyatnya kira2 90% muslim, tetapi kenapa tiada sedikit pun bantuan daripada Negara Islam lainnya terhadap mereka? Adakah memang pilihan mereka untuk menjadi miskin atau mereka memang tiada pilihan selain menjadi miskin? Kerana kemiskinan ini, Dhaka menyimpan seribu satu kisah untuk diceritakan, tak tahu sudut dunia mana yang sudi mendengar cerita mereka ini. Tapi, sepanjang di sana, jiwaku seakan menangis. Menangis melihatkan ribuan manusia berumah di tepi jalan beratapkan kain yang carik dan lusuh. Aku yakin kain itu hanya mampu menapis sedikit sinaran cahaya matahari daripada terus menyengat penghuninya, tapi, andai hujan? Kain tersebut pastikan basah, dan penghuninya berpeluk tubuh kesejukan. Lebih kasihan apabila anak2 turut diheret sama hidup dalam kemiskinan di tepi jalan. Mereka ini tidak lain umat seagama kita! Ini hanya Dhaka yang tanahnya masih basah dan hijau, aku tidak dapat bayangkan andai aku berada di Somalia atau Negara Afrika lainnya yang sangat tandus atau mana2 negara yang tahap kemiskinannya lebih melampau tinggi.
 Wajah-wajah Dhaka credit to : Wherewhere

InsyaAllah akan bersambung.

1 ulasan:

senyumSOYA berkata...

salam... sayu hati tengok gambar2 pacik2 smua tu.. saya bru skali ja join program weekenders. Teringing nak join lagi. InsyaAllah.. dilain masa.

selamat berkenalan.. ^^,