Ramadhan
telah tiba, bulan yang penuh dengan kelebihan dan ganjaran.Setiap
detik di dalam bulan yang penuh keberkatan ini amat berharga dan
kemungkinan amalan di bulan inilah yang memberikan perbezaan tempat
kembalinya kita. Bagi muslimah yang menyedari hakikat ini, kedatangan
‘tempoh bercuti’ setiap bulan sangat tidak diharapkan pada bulan
Ramadhan. Sering terdengar keluhan dari mereka yang haid kerana sedih
merasakan tidak mampu merebut pahala ibadah di bulan ini, terutamanya
sekiranya ‘ia’ datang ketika tempoh 10 malam terakhir.Malah, ada yang
sanggup mengambil ubat penghalang datangnya haid semata-mata untuk
memanfaatkan sebulan Ramadhan. Namun,ubatan sebegini kadang kala tidak
memberikan kesan yang diharapkan malah lebih mengganggu kestabilan
hormon.
Sememangnya
perasaan sedih ini hanya akan lahir dari hati seorang muslimah yang
sangat mengharapkan keampunan dan ganjaran daripada Tuhannya. Saidatina
Aisyah R.A sendiri pernah menitiskan air mata kesedihan kerana
merasakan hilangnya peluang beramal dengan kedatangan haid. Namun, haid
sebenarnya bukanlah satu perkara yang buruk, bukan jua satu kekurangan
yang patut ditangisi, kerana disebaliknya masih ada peluang merebut
ganjaran di bulan yang mulia ini.
Mari
kita lihat,bagaimana Rasulullah S.A.W menangani perasaan Aisyah
apabila beliau menangis kesedihan ketika didatangi haid ketika
menunaikan haji.Baginda S.A.W bersabda yang bermaksud: “Ini
adalah suatu yang ditetapkan Allah ke atas anak-anak perempuan Adam,
maka tunaikanlah apa yang ditunaikan oleh orang yang melakukan haji
kecuali janganlah kamu bertawaf di Baitullah sehinggalah kamu telah
mandi (suci dari haid)”. (Riwayat Muslim)
Haid
adalah suatu ketentuan yang telah Allah tetapkan ke atas
kita(anak-anak perempuan Adam), maka kita sepatutnya redha di atas
ketentuan ini. Redha merupakan salah satu daripada ibadah hati.
Keredhaan kepada Allah sebagai Tuhan menuntut keredhaan atas apayang
diperintahkan-Nya dan apa yang ditetapkan oleh-Nya.
Redha
Redha
di atas apa yang Allah perintahkan ke atas kita bermaksud kita
menyembah-Nya sebagaimana yang Dia perintahkan untuk kita lakukan, bukan
sebagaimana yang kita suka untuk lakukan. Tahukah anda bahawa
perbuatan anda berbuka puasa disebabkan haid merupakan suatu ibadah?
Ini kerana Allahlah yang memerintahkan kita untuk berpuasa pada
hari-hari kita tidak didatangi haid, dan Allah jualah yang
memerintahkan kita untuk berbuka ketika sedang haid, maka berpuasa
ketika haid merupakan suatu dosa kerana anda dikira melanggar
perintah-Nya.
Redha
di atas apa yang Allah tetapkan ke atas hambanya pula bermaksud
penerimaan atas apa yang Allah telah ciptakan kita dan apa yang Allah
fitrahkan ke atas diri kita, termasuklah apa yang Allah tetapkan ketika
tempoh haid, dengan hati dan jiwa yang tenang. Perasaan sedih merupakan
suatu bentuk penentangan atas ketentuan Allah.
Firman Allah yang
bermaksud:
“Dan
janganlah kamu terlalu mengharapkan (ingin mendapat) limpah kurnia
yang Allah telah berikan kepada sebahagian dari kamu (untuk menjadikan
mereka) melebihi sebahagian yang lain (tentang harta benda, ilmu
pengetahuan atau pangkat kebesaran). (Kerana telah tetap) orang-orang
lelaki ada bahagian dari apa yang mereka usahakan, dan orang-orang
perempuan pula ada bahagian dari apa yang mereka usahakan; (maka
berusahalah kamu) dan pohonkanlah kepada Allah akan limpah kurnianya.
Sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu." (An-Nisa’:32)
Oleh
itu, sekiranya anda redha dengan sebenar-benar redha anda telah
mengerjakan ibadah hati yang dengannya kita akan merasai kemanisan iman.
Ibadah ini mungkin tidak dikerjakan oleh kebanyakan mereka yang sedang
suci, malah mungkin tidak dikerjakan oleh kaum lelaki!
Sabda
Rasulullah yang bermaksud:
“Telah
merasai kemanisan iman barangsiapa yang redha dengan Allah sebagai
Tuhan, dan dengan Islam sebagai deen, dan dengan Muhammad sebagai nabi
dan rasul.”(Riwayat Muslim)
Rindu
Rindu
seorang muslimah yang sedang haid untuk melakukan solat dan membaca
Al-Qur’an juga merupakan suatu ibadah yang tidak didapati di kalangan
mereka yang sedang suci. Malah sekiranya terdapat rindu di hati kita
untuk melakukan ibadah, kita lebih baik berbanding mereka yang melakukan
ibadah, tapi dalam masa yang sama merasakannya sebagai suatu beban dan
kesusahan. Lebih istimewa, perasaan gembira seorang muslimah kerana
dapat mengerjakan ibadah selepas tamat tempoh haid adalah suatu perasaan
yang Allah khususkan untuk kaum wanita sahaja. Maka bersyukurlah!
Bilakah haid menjadi masalah?
Haid
menjadi masalah apabila seorang muslimah merasakan telah hilangnya
peluang bagi mendapatkan ganjaran di bulan Ramadhan, kerana dia tidak
oleh berpuasa dan menunaikan solat tarawih. Sedangkan tanpa dia sedari
pintu-pintu syurga masih terbuka untuknya, dan para malaikat masih
memanggil-manggil pencari kebaikan. Dan sekiranya dia melakukan suatu
kebaikan ganjarannya seperti dia melakukan suatu kefardhuan. Seorang
muslimah yang haid sebenarnya masih mempunyai banyak peluang untuk
mendapatkan ganjaran dan kelebihan bulan Ramadhan dengan memperbanyakkan
zikir dan selawat ke atas Nabi S.A.W,mendengar bacaan Al-Qur’an,
membaca buku-buku yang bermanfaat dan sebagainya.
Tunaikanlah keperluan ukhtimu yang berpuasa!
Seorang
muslimah yang bijak, dia akan cuba sedaya upaya memanfaatkan setiap
detik ketika bulan Ramadhan walaupun ketika sedang haid. Mungkin kita
terhalang daripada berpuasa dan menunaikan solat tarawih, namun kita
masih boleh mendapat ganjaran dengan menyediakan makanan untuk orang
yang berpuasa, menunaikan keperluan ukhti yang keletihan disebabkan
puasa, menjaga anak-anak kecil ketika ibu mereka sedang solat di masjid,
bersedekah dan sebagainya.Semoga kita beroleh pahala sebagaimana
mereka yang berpuasa dan menunaikan solat.
Sabda Rasulullah S.A.W yang
bermaksud:
“Barangsiapa
yang memberi makan orang yang berpuasa, dia akan mendapat pahala
sepertinya, dan ianya tidak akan mengurangkan pahala orang yang
berpuasa sedikitpun”(Riwayat Tarmizi).
Selain
itu, gunakanlah tempoh haid ini untuk menyelesaikan kerja-kerja rumah
dan lain-lain urusan dunia anda, supaya kita dapat menyibukkan diri
dengan ibadah ketika waktu suci tanpa dirunsingkan dengan rumah yang
bersepah atau tugasan yang belum selesai.
Akhir
kata, sebelum datangnya tempoh haid anda, perbanyakkanlah amal ibadah,
semoga Allah tetap memberikan ganjaran bagi amalan yang kita terhalang
dari melakukannya disebabkan haid.
Sabda Rasulullah S.A.W yang
bermaksud:
“Sekiranya
seorang hamba muslim sakit atau bermusafir, (tetap) ditulis baginya
apa yang dahulunya dia lakukan ketika dia sihat dan bermukim.”(Riwayat Al-Bukhari dan Al-Baihaqi).
Maka, barangsiapa yang terpaksa meninggalkan suatu amal ibadah disebabkan halangan yang syar’ie, Allah Yang Maha Pemurah akan tetap memberikan kita ganjaran sepertimana kita melakukannya
Maka, barangsiapa yang terpaksa meninggalkan suatu amal ibadah disebabkan halangan yang syar’ie, Allah Yang Maha Pemurah akan tetap memberikan kita ganjaran sepertimana kita melakukannya
sumber : Kanvas Hati
Tiada ulasan:
Catat Ulasan