1432H, 11 Ramadhan
Waktu ini pasti aku sedang
menemani Che Cik ke HUSM untuk radioterapi.
Beginilah rutinku setiap hari
dalam Ramadhan tahun itu. Mungkin hanya ini amalan yang sempat kulakukan
Ramadhan yang lepas selain mengalunkan bacaan al Quran ditelinganya saban
malam. Untung aku ini seorang penganggur yang baru menghabiskan pengajian
ijazah pertamaku. Niat asalku untuk bekerja kutundakan apabila mak minta aku
jaga Che Cik di hospital.
1-3 Ramadhan seingatku sempat aku
meraikan bulan mulia ini di hospital. Penuh keinsafan. Che Cik mahu puasa,
tapi, apakan daya, kudratnya tiada untuk terus berlapar dahaga tambah pula
setiap hari berbotol2 ubat dan air garam akan dimasukkan ke tubuhnya. Kesian
melihat dia yang sentiasa merintih kepedihan, sayu mendengar apabila dia merayu
pada doktor, ‘Boleh tak kalau saya minum je air garam…’ Aku faham, masukkan air
garam ke salur darah itu sesuatu yang sangat memedihkan, sungguh2 memedihkan
sehingga sesiapa sahaja mungkin tak mampu bertahan. Selagi Che Cik di’warded’
selagi tu Che Cik merasai seksa dengan kemasukan berbeg2 darah dan ubatan.
Sehingga Alhamdulillah permohonannya untuk pulang dimakbulkan doktor atau setepatnya
dimakbulkan Tuhan.
Tapi, sayu apabila dia sebut
kepada teman sebilik wad onkologi(kanser) dan hematologi(darah) HUSM,
‘Mungkin kita takda harapan nak
sembuh sebab tu tiba2 dibenarkan balik.’ Nampak bersahaja, tapi cukup untuk
menyentuh hatiku.
***
Pagi, ayah akan menghantarku dan
Che Cik ke HUSM Kubang Kerian. Sampai saja di ‘drop off’ HUSM, aku akan segera
mengambil kerusi roda dan tubuh tak ber’daging’ Che Cik duduk diam atas kerusi
roda. Seperti biasa, selepas mendaftar di kaunter, aku akan menolak kerusi roda
Che Cik ke bilik radioterapi yang berada agak terceruk di hospital. Dalam
perjalanan, berbagai ragam manusia kulihat, yang menangis,yang meraung, yang
sakit, yang sihat, semuanya pemandangan yang menginsafkan bagiku. Dan, sering
juga dalam perjalanan Che Cik memintaku memakirkan kerusi roda di tepi kedai
runcit hospital. Akan dibelinya bekalan makanan untuknya apabila pulang nanti.
Begitulah rutinku dan Che Cik. Tugasku dalam Ramadhan adalah menjaga Che Cik~
***
Malam, aku dan adikku, Sarah akan
bergilir2 terawih di masjid. Andai malam ini Sarah yang terawih, esoknya aku
pula yang akan terawih di masjid. Begitulah yang berlaku setiap hari dalam
Ramadhan. Tapi, tidak menjadi giliran untuk tidur bersama Che Cik. Bilik
abang2ku kosong, di situlah aku dan Che Cik bermalam. Che Cik akan tidur atas
katil dan aku akan tidur di bawah memandangkan Che Cik akan kesejukan malam.
Jadi, kipas siling tidak dipasang melainkan kipas lantai yang digunakan ku untuk
tidur di bawah. Malam juga sebelum tidur akan kupastikan Che Cik tidur lena.
Setelah Che Cik tidur, baru aku mampu melelapkan mata. Tapi, sering juga aku
terjaga awal. Mimpi2 ngeri membuatkan aku terjaga. Setelah itu aku akan melihat
keadaan Che Cik, aku akan lega apabila melihat perutnya kembang kempis masih
bernyawa. Kemudian aku letakkan kepalaku ke bantal lagi. Lena sehingga sahur.
***
Setiap malam aku menemani Che
Cik, tapi, ada satu malam, entah angin apa melanda diriku, aku benar2 ingin
rasa untuk tidur atas katil yang empuk. Pernah jiwaku memberontak untuk
menyuruh Sarah tidur bersama Che Cik. Aku rindukan kamarku. Aku rindu untuk
tidur bersama adik2ku. Sehingga aku hampir bergaduh dengannya (Sarah). Tapi,
akhirnya aku akur, aku menangis dalam diam, waktu itu Che Cik sudah lena dalam
selimutnya. Kenapa tiba2 ada satu perasaan tak ikhlas begini? Rasa seperti
ingin marah semarahnya pada diri sendiri. Rasa menyesal pada diri sendiri. Ah,
Aku manusia yang senang saja timbul perasaan mahu senang semuanya! Tapi,
sebenarnya malam itu fikiranku kacau, aku terbayangkan perkara bukan2 berlaku pada
Che Cik. ‘Bagaimana kalau esok aku bangun pagi Che Cik tak bernyawa. Aku takut
tidur bersama mayat!’ bedebah akal jahatku!
***
Setelah naik ke pentas dengan
megah memakai jubah turquoise, mak memberitahuku keadaan Che Cik makin teruk.
Selepas beraya di rumah (Besut), Che Cik pulang ke Kuantan, dan aku membawa
haluan ke Kuala Lumpur semula. Waktu itu Che Cik kelihatan beransur sihat
menyebabkan aku tak bimbang. Tapi, perkhabaran yang dibawa mak sewaktu majlis
konvokesyenku itu menyebabkan aku benar2 ingin pulang ke rumah. Ingin melihat Che
Cik yang dikatakan sudah tak sedarkan diri untuk beberapa hari.
Allah mengatur hayat manusia
cukup baik, dan Allah sudah suratkan bahawa ramai orang yang tak sempat melihat
yang dikasihinya buat kali terakhir, orang itu antaranya adalah aku! Hanya
kira2 5 minit kelewatan, aku hanya sempat melihat mayatnya yang kaku di pembaringan
katil wad pengasingan. Di situ, bilik itulah awalnya menjadi tempat aku
menemani Che Cik sebelum dia dipindahkan ke wad biasa.
Segala kata2nya terngiang di
telingaku, segala masa bersamanya bermain semula di layar mataku. Aku sangat
benci diriku yang pernah merasa bosan untuk menjaga Che Cik. Aku benci diriku
yang pernah merasa sakit badan dengan hanya tidur di atas kerusi malas setiap
malam. Dan aku benci diriku apabila aku bergaduh kecil dengan adikku gara2
ingin tidur di bilik sendiri. Tika itu, aku sangat rasakan, ingin bersama Che
Cik, ingin suruh dia kembali agar aku dapat menjaganya lagi. Tapi aku terpaksa
menelan hakikat… manusia, bila tiada itulah yang dikenang, bila di depan mata,
itulah yang dibuang. Inilah aku!
***
Saat yang paling sedih kurasakan
apabila membaca al Quran hijau yang dibeliku di HUSM. Waktu itu, aku tanya Che
Cik, ‘tak apa ke kalau Muna beli Quran tu? Muna ada dah Quran…’ Lama aku
berhenti di booth2 buku ditemani Che Cik. Sabar dia menunggu di sisiku.
Che Cik jawab, ‘Belilah!Bagus Quran
prakata…’ sambil dihulurkan not 50. Aku menolak, ‘Takpe Che Cik, Muna guna duit
Muna sendiri.Ayah bagi duit tadi…’ Dan Quran itulah yang kugunakan untuk kubaca
ditelinganya. Dan Quran itulah yang kuguna sampai hari ini.
***
1433H, 11 Ramadhan
Melihat bulan yang hampir penuh.
Cahayanya benar2 membuatkan aku sedih. Langit Ramadhan yang indah tapi
membuatkan aku terkenang kisah Ramadhan yang lalu. Sekejap cuma, sekejap cuma masa
berlalu. Sudah hampir setahun dia pergi meninggalkan kami sanak saudaranya,
lebih sedih- meninggalkan anaknya bersembilan. Apa khabar semua si kecil itu?
***
Kuburannya dijaga rapi. Selalu
juga suaminya datang untuk menjenguknya di kuburan sambil dihadiahkan alunan
al Quran dan sejambak doa. Harum kemboja semerbak, dan indah marmar hijau di
sekelilingnya. Bersih!
Tak sangka, pada usianya 42, dia
sudah dijemput Tuhan untuk menghuni rumah barunya di sana. Butir kesabarannya
sepanjang dia sakit benar2 menginsafkanku. Hanya sedikit kesembuhan menyebabkan
dia benar2 bersyukur. Hanya kerana tidak perlu berada di wad, membuatkan dia
benar2 gembira padahal pada aku yang masih hidup sihat ini, banyak merasa tidak
puas, dan banyak merasa kurang bersyukur.
***
Mengaminkan doa imam sebaik
berakhir witir. Selesai 23 rakaat. 23rakaat adalah satu tempoh mujahadah yang panjang untuk
terus gagah berdiri bertemu dengan Cinta hati, untuk berusaha khusyuk dan rasa getar
hati tika bertemuNya-benar2 bermujahadah. Sekejap diri mengikuti dan menghayati bacaan imam, sekejap diri diusik lamunan melekakan.
Doa akhir itu membawa aku ke satu dunia lain. Aku melihat dan
membayangkan rupa kuburan dia, juga bagaimana rupa kuburan, rumah persinggahanku
sebelum kemahsyar kelak?
Berpisah dengan imam, dalam doaku kutitipkan doa untuk
kedua ibubapaku yang terlalu banyak aku berlaku derhaka, kutitipkan kepada
anak2 yatim seluruh dunia yang tak lagi punya ibu dan bapa, kutitipkan untuk
para gelandangan yang kutemui, kutitipkan pada masyarakat rohingya yang sangat
ku ingin jejaki, kutitipkan kepada para hamba Allah yang masih sedang mancari
jalan lurus untuk kembali, kutitipkan pada para mujahidin yang sedang membela
agama dan negeri, kutitipkan kepada keluarga dan sanak saudaraku yang masih hidup di dunia, kutitipkan buat sahabat yang setia di sisi,
kutitipkan buat diriku sendiri agar tercapai mimpi, dan yang mebuatkan setitik
demi setitik air mataku gugur, kutitipkan buat mereka yang telah pergi bertemu
Rabbi~
Sungguh, malam 11 Ramadhan kurasakan hatiku benar2 dicuit roh2 orang
yang telah pergi.
Apa khabar kalian di sana? Semoga
rumah kalian seharum kemboja di kubur kalian dan secantik marmar dikelilingnya.
Semoga rumah kalian luas diterangi cahaya dan semoga kalian sentiasa berbahagia
di sisiNya~
***
Tiada ulasan:
Catat Ulasan