KUALA LUMPUR, 6 Feb (Hrkh) - "Rampasan kuasa", itulah yang disifatkan Ahli Parlimen Telok Kemang, Dato' Kamarul Baharin Abbas ketika membuat ulasan mengenai perkembangan di Perak.
Kamarul melihat kerajaan pilihan rakyat yang sedia ada hari ini digulingkan dengan cara yang paling hina.
"Dua Adun Bebas (Jamaludin dan Osman) yang tidak mengaku meletakkan jawatan sebelum ini telah bertindak keluar dari parti dan mengisytiharkan mereka sebagai Adun Bebas.
"Begitu juga dengan Adun Jelapang dari DAP yang isytihar keluar parti dan kini bebas.
Namun persoalannya, kata Kamarul, jika mereka mengatakan mereka Adun Bebas (tidak menyertai mana-mana parti), bagaimana pula mereka dengan bangganya berhimpun sekali dengan Adun-adun BN semasa sidang media oleh Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak.
"Sementara Najib pula mengambil kira kerusi Adun mereka sebagai BN mempunyai jumlah majoriti dan Adun Bota, Dato' Nasarudin Hashim yang keluar Umno untuk menyertai KeADILan telah kembali kepada Umno atas alasan untuk bersama sebuah kerajaan yang kukuh," katanya.
Kamarul melihat, mungkinkah kemasukan Nasarudin dahulu ke dalam KeADILan untuk mengkucar-kacirkan parti itu bagi membolehkan dua Adun KeADILan yang bermasalah melompat keluar parti.
Baginya, amat hinalah maruah dirinya sekiranya Adun Bota memang merancangkan ini semua.
"Kemelut ini semua bermula setelah Najib mengambilalih jawatan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak daripada Tajol Rosli. Tindakan Najib seperti yang kita ketahui begitu agresif dalam siri penculikan, ugutan dan tawaran," katanya.
Kamarul melihat, Najib merasa boleh membuat apa saja tanpa perlu bertanggungjawab terhadapnya walaupun perbuatan jenayah.
"Ini kerana pada bulan hadapan (Mac), tampuk pemerintahan tertinggi negara akan berada di dalam genggamannya (bukan genggaman Rosmah ke?)," katanya sinis.
Sungguh sedih dengan apa yang berlaku di Perak dan akan bertambah sedih dan malang sekali kepada negara Malaysia apabila Najib diserahkan jawatan Perdana Menteri Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi bulan Mac ini.
"Mahukah orang sebegini dengan perlakuan sekeji ini yang memerintah negara? Amal maaruf nahi mungkar (menyeru kepada kebaikan dan mencegah kepada kemungkaran) yang diamalkan kerajaan Pakatan Rakyat di Perak ditentang dan dikacau bilaukan oleh pihak yang membawa pendirian menyeru kepada kemungkaran dan mencegah kepada kebaikan," katanya.
Sultan Perak Sultan Azlan Shah tidak memperkenankan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) dan menitahkan supaya Menteri Besar, Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dan barisan exconya meletak jawatan berkuatkuasa serta-merta.
Perkara itu dinyatakan dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh pejabat Sultan Perak semalam.
Begitupun Nizar enggan melepaskan jawatan itu dengan alasan, beliau masih sah selaku MB yang dipilih secara sah dalam pilihan raya umum ke-12 lalu.
Rakyat dan penyokong Pakatan Rakyat diseru datang bersolat Jumaat di Masjid Ubudiyyah, Bukit Chandan, Kuala Kangsar hari ini untuk melakukan protes membantah upacara angkat sumpah Adun Umno-BN di Istana Iskandariah hari ini.
Ketua Dewan Pemuda PAS Perak, Ustaz Nor Azli Musa menyeru demikian di majlis Himpunan 100,000 orang yang membajiri setiap ruang di Kediaman Menteri Besar Perak, Dato Seri Muhammad Nizar Jamaluddin di sini malam tadi.
Katanya,"mari datang beramai-ramai selepas Jumaat kita buat demonstrasi boikot Umno-BN melakukan angkat sumpah menubuhkan kerajaan baru cara rampas kuasa itu di Istana Iskandariah, Bukit Chandan, Kuala Kangsar hari ini. - wann/mks. _
Tiada ulasan:
Catat Ulasan