Isnin, September 20, 2010

Apabila Sudah Mencakar Langit


Masa semakin cepat berlalu. Sehari ibarat sejam, sejam ibarat seminit, seminit ibarat sesaat. Sekadar terfikir, tentang betapa dunia ini sudah hampir ke penghujungnya. Kadang takut, adakah seketika lagi dunia bakal menjadi kelam, dunia akan menjadi huru hara, dunia bakal musnah geografinya? Semuanya pasti akan berlaku cuma, manusia tidak tahu bila. Maka, setiap detik itu tidak boleh lalai dan leka. Atau segalanya akan berakhir dengan sia2~

***

Kadang saat terfikirkan kematian, diri jadi lemah, kaki yang gagah tidak kuat lagi untuk melangkah, semangat yang menggunung mula meruntuh, yang ada di hadapan mata bayangan kuburan, yang bermain di kepala adalah seribu pertanyaan. Bagaimanakah pengakhiranku? Bagaimana kuburanku? Cukupkah bekalan dan amalanku? Dapatkah aku jawab soalan di alam barzakh? Seram sejuk! Kematian itu menjadi rahsia padahal rahsia itu sudah tertulis sekian lama...sebelum hadirnya kita ke dunia lagi...cuma, manusia itu yang lupa!

Mati itu pasti, walau kita menyorok di ceruk mana sekalipun, Izrail akan tetap menemui kita tepat pada waktunya. Dalam kita bersedia ataupun tidak, ketentuan itu tetap akan berlaku. Tidak seperti janji manusia yang jarang ditepati dan sering tertangguh, janji Allah benar2 akan berlaku-tepat dan tetap! Tunggulah sesaat lagi, bersyukurlah andai masih mampu menghela nafas, bersyukurlah andai masih berdenyut nadi, dan bersyukurlah andai masih terbuka peluang untuk terus mencorak hidup ini.

***

Selagi hayatmu masih ada, berusahalah sehabis baik untuk menjadi manusia terbaik, yang mentaati Penciptamu, yang mencintai Rasulmu, yang menghormati orang tuamu, yang berbuat kebaikan dan menjauhi kejahatan, yang beramal soleh dan menolak kezaliman, yang berbudi dan tidak lokek memberi. Semoga menjadi golongan kanan yang menerima kebaikan di akhirat kelak. Amiin~

Dan, bersyukurlah, andai masih mampu menulis walaupun sehuruf lagi…

Alhamdulillah ‘ala kulli hal~

***

“Muna, jangan tensi, hidup ini sekejap cuma. Pejam celik sudah berlalu berdetik-detik. Maka, berusahalah sehabis baik!... sehingga akhirnya lembaran hidupmu bertitik!~”

Sekadar renungan dan peringatan buat diri saat semuanya sudah mencakar langit. Wallahu’alam.

***

-2.00am - 21Sept - Hafsah UIAM-

Tiada ulasan: