Sabtu, Disember 26, 2009

Sehingga Berakhir Visa


Bismillahirrahmanirrahim

Salam’alaik

Aku temui sebuah buku yang agak lama berada di rumahku. Lalu kuambil. Aku tahu ia milik ayahku sejak aku masih belum dilahirkan. Tertulis, Jamil Hamzah : 16/10/86. Sepuluh Wasiat Hassan Al-Banna. Semasa berpindah rumah, aku dapati terdapat banyak buku milik ayahku yang disimpan rapi di dalam banyak kotak. Antaranya, Readers Digest bermula tahun 197+ dan diari kepunyaannya bermula 197+. Ada ku baca di dalam diarinya (dengan izin) saat ibuku ingin melahirkan abang sulungku, saat melahirkan abang keduaku dan lain2. Juga pernah terbaca saat aku mula masuk ke alam persekolahan. Bila diingat2 semula seakan kelakar pula, tapi, sangat seronok melihat koleksi diarinya sepanjang tahun. Dan, sehingga hari ini ku rasa ayah masih mencatat peristiwa penting dalam hidupnya yang aku rasa boleh didokumentasikan. Aku suka kisah hidup ayah sebagai Pegawai Perhilitan dan sebagai seorang Ranger Hutan yang bagiku agak mencabar.

Berbalik kepada sebuah buku usang yang aku temui, Sepuluh Wasiat Hassan Al Banna yang dihuraikan oleh Dr. Abdul Azim Ibrahim al-Muti’ni. Aku ingin meyentuh wasiat terakhir Hassan Al-Banna iaitu ; Kewajipan lebih banyak daripada waktu, oleh itu tolonglah orang lain supaya memanfaatkan waktunya. Kalau saudara berurusan, singkatkanlah waktu penunaiannya.Maksud Hassan Al-Banna dalam wasiat kesepuluhnya adalah, kita sebagai seorang muslim seharusnya menjaga waktu yang kita ada juga waktu orang lain disekeliling kita. Seharusnya kita pandai dalam mengatur urusan waktu yang pastinya punya 24jam sehari. Jangan dilengahkan sesuatu yang sepatutnya disegerakan. Juga, seharusnya kita menghormati urusan waktu orang lain juga.

Aku tertarik dengan hujah, kita hidup di negeri dunia ini samalah keadaanya kita melancong di negara2 lain yang memerlukan visa. Sebaik tamat visa, kita harus kembali ke Negara kita semula. Perbezaannya cuma, visa yang kita gunakan untuk berada di negeri dunia dirahsiakan tarikh luputnya. Kita akan dipanggil pulang ke Negara akhirat tanpa kita ketahui waktunya. Sebab itulah pengurusan waktu sangat penting dalam kehidupan kita kerana kehidupan kita hanyalah terbatas di antara dua hari ini iaitu hari lahir dan hari mati. Juga perbezaan visa dunia juga adalah tarikh luputnya tidak boleh dipanjangkan. Tarikh itu dirahsiakan, dan apabila sampai waktunya…diingatkan, ia adalah MUKTAMAD! Sebagaimana firman Allah SWT, ‘ Dan, Allah sekali2 tidak akan menangguhkan (kematian) seseorang apabila datang waktu kematiannya.’ (al-Munafiqun : 11)

Juga firman Allah SWT, ‘ Tidak (terdapat) satu ummatpun yang mendahului ajalnya dan (tidak terdapat) pula mereka yang terlambat (daripada ajalnya)’ (al-Mukminun : 43)

Bagi pelancongan biasa, kita boleh menentukan berapa lama kita ingin berada di suatu tempat. Inilah yang membantu kita menentukan bilangan dan kuantiti bekalan yang akan dibawa ke sesuatu tempat pelancongan. Berbeza pula bagi pelancongan kehidupan dunia, tempoh pelancongan dan persinggahan kita dirahsiakan oleh Allah, jadi, terpulang kepada kita untuk menentukan bilangan dan jumlah bekalan yang ingin disediakan.

Jadi, persoalannya, apakah kaitan antara wasiat ke sepuluh Hassan Al-Banna berkaitan waktu dengan kematian? Perkaitannya mudah, maut datang secara tiba2, tidak kita tahu masanya. Keadaan inilah yang menuntut kita untuk mempergunakan waktu yang ada dengan kerja2 bermanfaat, dengan sebaik-baiknya. Tidak melengahkan waktu kerana waktu ajal juga tidak mungkin terlambat atau tercepat walau sesaatpun. Setiap detik dalam kehidupan insan punya nilai dan harganya. Oleh itu, selagi mana visa masih belum tamat, gunakanlah ia dengan sebaiknya, dengan amal soleh, dengan perkara yang bermanfaat. Sehingga berakhir Visa, kita tidak lagi punya peluang!

Firman Allah SWT bermaksud, ‘ Di mana sahaja kamu berada kematian akan mendapatkanmu sekalipun kamu di dalam benteng yang tinggi dan kukuh.’ (An-Nisa’ : 78)

Kerana kesuntukan masa Rasulullah SAW pernah bersabda, ‘Bertindaklah segera melakukan amal’. Pernah juga naqibahku mengatakan begini, ‘lintasan hidayah itu mungkin datangnya sekali. Cepat2lah beramal menurut lintasan hidayah tersebut, takut2, ia tidak lagi hadir kemudiannya.’ Dan, kata2 inilah yang sering aku ingat sebaik aku terniat untuk melakukan kebaikan,tetapi dalam masa yang sama, terasa berat untuk aku lakukan. Makanya, insyaAllah, segerakanlah amal yang baik itu sebelum VISA kita tamat!

Aku tertarik dengan kata2 seorang penyair, ‘ Manusia gembira pada malam2 yang berlalu, sedangkan pemergian malam yang seperti itu bererti pemergiannya kealam kematian.’ Maksudnya, orang2 yang soleh, akan sentiasa memastikan malam2 yang berlalu dengan sesuatu yang bermanfaat. Dia sentiasa berjaga2 akan waktu ajalnya tiba. Andai dia berada di jalan, dia akan menuntun orang2 yang buta menuju ke jalan yang lurus, jalan kebenaran. Kiranya ada yang sesat, ditunjuknya jalan kebenaran. Dan, orang yang soleh itulah tujuannya menyampaikan dakwah. Amar makruf, nahi munkar.

Seorang lagi penyair menulis, ‘Kiranya anda tidak menanam, bila anda melihat orang lain menuai, anda akan menyesal…kerana kecuaian anda di musim menanam.’ Dalam pengurusan waktu, semoga kita menjadi orang2 yang berakal, yang bijak dalam menguruskannya kerana orang yang berakal adalah orang yang menundukkan dirinya dan bekerja untuk bekalan kematiannya yakni mereka yang sangat prihatin dengan tempoh visa yang tidak diketahui. Tetapi, segolongan lagi manusia adalah manusia yang yang sering melengah2kan waktu dan hanya manurut hawa nafsunya dalam setiap perlakuannya seolah2 tempoh visanya masih panjang. Wallahu’alam.

Semoga penulisan kali ini mampu membantu diriku dan sahabat lebih prihatin dalam pengurusan waktu kerana hidup kita hanya terletak di antara dua titik, iaitu saat kita mula hidup, dan saat kita bertemu ajal. Saat aku menulis, aku sendiri seakan takut, soalnya aku bukanlah orangnya yang layak memperkatakan soal pengurusan masa kerana kadang2 aku sendiri gagal melakukannya. Tapi, inilah sedikit sebanyak perkongsian yang semoga dengannya aku akan diingatkan juga oleh sahabat2 tentang waktu yang telah aku sia2kan.

Firman Allah SWT bermaksud, ‘Wahai orang2 yang beriman, mengapa kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu kerjakan? Sungguh besar kebencian Allah jika kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu kerjakan!’ (as-Saff : 2-3)

Sahabat, ingatkanlah aku atas apa yang telah aku katakan dan apa yang telah aku coretkan… Semoga dengannya aku sering beringat bahawa Allah membenci orang yang mengatakan sesuatu sedangkan dia sendiri tidak melakukan.

Ya Allah, Kau bantulah aku untuk beramal dengan kebaikan selagi tempoh visaku masih ada!

Wallahu’alam. Wassalam~

3 ulasan:

lailafillah berkata...

salam dik..erm..kematian itu satu yang pasti..

istisyhad berkata...

subhanallah...
syukran yan.. satu peringatan yang benar-benar bermanfaat..
Semoga masa kita akan sentiasa terisi dengan perkara yang bermanfaat hendaknya...

a.j. berkata...

=D cantik ... bermanfaat juga ... terasa sesal atas masa yng hilang begitu sahaja