Sejauh manakah cita-cita anda? Ingin menjadi seorang doktor, ahli perniagaan berjaya, jurutera atau mungkin perdana menteri? Semua kerjaya tersebut mempunyai kemahiran, perolehan dan kedudukan yang berbeza, tetapi semuanya dipandang tinggi di mata masyarakat. Sejauh manakah cita-cita aku? Hmmm... aku sendiri tidak pasti. Yang sebenarnya, cita-cita bukanlah keutamaan buat aku untuk waktu sekarang. Aku jarang memikirkan tentang masa depan, tentang apa yang aku ingin buat apabila menamatkan pengajian atau kehidupan yang bagaimana aku ingin pilih apabila terpaksa berdikari suatu hari nanti.
Sebenarnya... dahulu, aku bukan seperti sekarang.Sewaktu aku kecil dan hati masih seperti buku yang baru, aku suka memegang sebatang pensil dan melukis di atas segala jenis kertas. Ketika itu, aku tidak tahu apa yang aku lukis dan mengapa aku suka melakukannya. Sehingga munculnya hobi popular di kalangan kanak-kanak ketika itu iaitu membaca buku komik berasal dari Hong Kong yang diterjemahkan ke Bahasa Melayu. Ketika itu, aku sedar minatku untuk melukis semakin bertambah.
Daripada ilustrasi buku komik itulah, aku mendapat ilham untuk melukis dan setiap lukisan itu tidak lagi hanya lukisan kosong. Sebaliknya, ianya terhasil daripada imaginasi aku dan aku sedar ianya tiada bersempadan. Aku dapat rasakan aku mampu mengolah segalanya mengikut apa yang aku mahu, dan aku akan luahkannya di dalam lukisan. Aku mengaku lukisan aku tidaklah secantik hasil lukisan buku komik Hong Kong itu, tetapi cukuplah sekiranya aku sendiri puas hati.
Kemudian, suatu hari guru aku bertanyakan tentang cita-cita dan setiap orang harus memberitahu apakah yang ingin mereka ini jadi apabila dewasa kelak. Ketika itu aku sendiri tidak pasti, apakah cita-cita yang dimaksudkan oleh guru itu. Adakah cukup syarat cita-cita itu sekiranya aku hanya ingin menjadi seorang pelukis komik?...
Tidak lama kemudian baru aku sedar, cita-cita bukanlah berdasarkan pada apa yang kita minat semata-mata, tetapi juga mampu menanggung kehidupan kita pada masa hadapan. Itulah cita-cita. Mengubah diri manusia daripada buruk kepada baik, dan daripada baik kepada lebih baik.
Setelah itu, hanya satu cita-cita sahaja yang aku bermain dalam fikiran aku... iaitu ingin menjadi seorang arkitek.Hmmm... ya, pelukis komik juga mampu membuat duit, tetapi ketika itu aku sedar aku ingin lebih daripada itu. Aku inginkan kerjaya professional yang tidak hanya membuat duit, tetapi mempunyai teknikal dan kemahiran yang tidak datang pada bakat semata, tetapi melalui pembelajaran.
Dan arkitek bukan sahaja memenuhi ciri-ciri itu, malah kerjaya itu mempunyai tradisinya yang tersendiri. Ketika itulah, minat aku daripada lukisan komik beralih pula kepada lukisan berbentuk isometrik dan bergeometri seperti bangunan, kereta dan sebagainya.Aku mulai sedar, lukisan tidak hanya boleh diluahkan dalam bentuk komik, tetapi juga dalam ruang yang lebih besar daripada kotak-kotak itu.
Selepas meningkat usia remaja, cita-cita tidak lagi menjadi persoalan di kalangan guru-guru. Ketika ini, tugas guru-guru hanya memastikan kita mengikut arah yang betul untuk menjadi warganegara yang berguna. Aku tidak lagi mendengar kata-kata semangat tentang cita-cita. Sebaliknya kata guru, kehidupan sekarang lebih daripada menjadi seorang doktor atau jurutera.
Kita tidak harus bersedih sekiranya tak dapat mencapai cita-cita itu kerana peluang pekerjaan semakin pelbagai dan mungkin terdapat jalan lain yang sesuai dengan kita. Ketika itulah, tangan aku semakin banyak digunakan untuk menulis nota-nota dan kerja rumah, dan semakin jarang digunakan untuk melukis. Aku semakin melupakannya secara perlahan-lahan, lupakan kertas lukisan dan cita-cita aku sewaktu kecil. Sehinggalah tanpa aku sedari, tangan aku sudah tidak melukis lagi. Tidak untuk waktu yang cukup lama...Sejauh manakah cita-cita anda? Ingin menjadi seorang doktor, ahli perniagaan berjaya, jurutera atau mungkin perdana menteri? Namun, cita-cita aku tidak sejauh itu, mungkin aku harus berhenti disini.
Kemana Menghilang
Semalam, apabila ditanya tentang cita-cita. Sebenarnya aku sendiri tidak tahu harus menjawab apa. Masih samar2 di bayangan mata. Aku tidak mampu melihat siapa diriku di masa hadapan. Hanya yang berlegar di fikiranku, tamat pengajian dengan BSc Architecture. Noktah, cukup setakat itu! Betul, kadang2 cita2 hanya ditanam sewaktu kecil, sering ditanya di zaman sekolah rendah, sehingga ke sekolah menengah, tapi, apabila sudah masuk Universiti, ramai yang baru menyedari, bidang yang dicitakan tidak semudah yang disangka. Lalu berlaku lompat bidang seperti penulis di atas. (Jurutera-->Arkitek Lanskap)
Di atas adalah tulisan abangku. Like brother like sister. ;p Abang seorang yang pendiam dalam keluarga dan sukar untuk diramalkan apa yang difikirkan. Tapi, apabila dia buat blog, aku dapat tahu sedikit sebanyak tentang dirinya. Dia sangat 'never ending thought' punya orang. Kenapa? Setiap kali dia menulis, tak pernah penulisannya tamat dengan baik melainkan dia akan tulis, 'Mungkin aku harus berhenti di sini' sebagai penyudah katanya. Buktinya dalam beberapa entries;
'Hujan, tak menunjukkan tanda-tanda ianya akan berhenti, tetapi aku tidak mampu mengikut perangai hujan. Mungkin aku harus berhenti di sini'
'Langit terang buat pertama kalinya sejak aku pulang, tetapi fikiran aku tidak seterang langit. Mungkin aku harus berhenti disini.'
Kenapa tiba2 menulis tentang abangku ini? Nothing, cuma, aku teringat, dari dulu aku suka meniru perbuatan abang keduaku ini. contoh : Masa kecil dia sangat suka melukis dan aku masih ingat gaya dia melukis. Akan duduk meniarap atas lantai marmar yang sejuk sambil melukis. Dan, aku masih ingat, lukisannya seperti penulisannya, tidak pernah habis cerita dan skripnya. Masa kecik aku ikut gayanya, aku tidak pandai melukis, tapi aku buat2 pandai melukis. Selalu nak compete dengannya. Lepas tu tunjuk pada ayah, ayahpun kata 'muna boleh jadi Arkitek!' That's how idea to become an architect appear to my mind.
Aku juga sangat teruja apabila Dedec (panggilan abangku) sangat pandai menggunakan komputer lagi2 melukis dengan hanya menggunakan paint. Aku tidak tahu bagaimana tangannya boleh jadi selembut itu menggerakkan mouse sehingga dia mampu menghasilkan lukisan2 pemain bola yang diminatinya. Dan, dalam diam, aku cuba juga. Tapi, sampai sekarang aku tidak pandai menggunakan paint. giveup~
Itulah sekadar cerita. Sebenarnya nak bercakap soal cita2, tapi, termelalut hal lain. Buat Encik Fakhari, maaf ya meletakkan kisahmu disini. Sekadar masih mencari2 sesuatu untuk dicitakan~
**********
Semasa kau kecil dan hatimu seperti buku catatan yang baru dibuka, kau selalu tulis "hidup baru bermula dan kita akan terus hidup". Ketika itu kau percaya bahawa tiada yang mampu menghalang cita-citamu untuk terus berjaya. Tetapi sekiranya berlaku perubahan dalam dunia yang kita tinggal ini menyebabkan kau menangis dan berputus asa, tulislah "hidup baru bermula dan semuanya hanya untuk sementara". Ya, berjaya atau tidak bukan penentu pencapaian anda semasa hidup di dunia ini, tetapi kesungguhan yang ditunjukkan untuk mencapainya lebih diutamakan. Kerana setiap orang boleh berjaya sekiranya bernasib baik, tetapi orang yang bernasib baik tidak mampu bertahan lama tanpa usaha. Tetapi sekiranya usaha itu tidak membuahkan hasil, usahlah berputus asa. Anda boleh berbangga dengannya. Tiada seorang pun yang boleh mempertikaikannya.-kharix-
**********
Pada suatu hari, aku berjalan seorangan di satu jalan lurus yang sunyi. Tiba-tiba satu cahaya terpancar dari langit. Dengan perasaan berdebar-debar, aku cuba beranikan diri untuk memandang ke atas. Owh... lampu jalan baru menyala rupanya. Aku meneruskan perjalananku... (aku sendiri tak tahu apa motif tulisan ini tapi, fakhari, sila menulis lagi dan melukis lagi, tulisan kamu always make me laugh!~ Jangan marah untuk entry ni dan jangan delete blog plop~) ;p
1 ulasan:
ooo ... suka melukis rupanya =)
Catat Ulasan