Ahad, Mei 17, 2009

Kenangan Pencetus Kebangkitan2

ADA APA PADA NAMA?

Antara faktor kebangkitan aku dahulu adalah kerana sebuah nama. Muna, menjadi salah satu inspirasi bagiku untuk terus berusaha mencapai kejayaan. Aku tahu, akulah harapan keluarga. Masih aku ingat, kata mak nama Muna adalah sempena sebuah cita2 yang tercapai. Apa cita2 tersebut? Untuk mendapat anak perempuan. Dan selepas tiga nya lelaki barulah hajat emak dan ayahku tercapai. Dipanggil Muna kerana Munalah harapan.

Dan, aku tahu, aku juga menjadi harapan keluarga untuk mencipta kejayaan. Jadi, sudah semestinya aku mesti bertungkus lumus untuk itu. Dan, tika itu, itulah ‘mind setting’ ku. Alhamdulillah, sebuah kejayaan semasa PMR, aku dapat lihat emak menangis gembira dan itulah juga yang menggembirakanku. Dan, sebuah kejayaan juga semasa SPM, emak dan ayah berkira untuk melihat aku menjadi seorang doktor. Tapi, tidak, aku nekad untuk mengambil bidang senibina. Sekarang aku ingat mengapa aku di sini. Memang atas kehendakku sendiri. Jadi, kisah bahtera Nabi Nuh dan kisah sebuah nama kenapa harus aku lupa? Kenapa aku terlupa bagaimana keyakinan dan semangat seorang aku dahulu sehingga membawa aku ke sini?

‘Salam. Kak Yan, terima kasih atas nasihat Kak Yan hari tu. Najah akan ingat sampai bila2. Najah berazam biar najah tu betul2 menjadi kenyataan. Insya-Allah.’

Aku tersenyum membaca mesej daripada adik bernama Najah. Aku suka namanya, sebuah nama yang mampu membangkitkan semangat untuk terus berusaha mencapai kejayaan. Doaku buat Najah dan semua, ‘Semoga kalian berjaya di dunia dan akhirat. Amin.’

BELAJAR DARIPADA ADIK2

Apabila terkenangkan saat2 itu, betapa aku ini perlu meyakinkan adik2 tentang nikmat sebuah kejayaan. Itulah kali pertama sebenarnya aku belajar untuk menyampaikan. Merekalah sebenarnya yang mengajar aku untuk berkata2. Mereka jugalah yang mengajar aku untuk bangkit mencari semula punca kejayaan. Ya, itulah hakikatnya. Aku hanya memberikan sepatah dua kata, selebihnya terpulang kepada semua. ‘Adik, akak suka tekankan, untuk berjaya kita kena jaga dua perkara. Tahu tak apa dua perkara tu?’ Ada yang menggeleng tidak tahu, dan ada juga yang jawab, ‘solat!’ Aku mengangguk dengan jawapan tersebut, ‘Ya, solat kita kena jaga. Tapi, 2 perkara yang akak maksudkan adalah hubungan kita dengan Allah dan manusia. Inilah juga yang menjadi faktor kita berjaya. Insya-Allah. Hubungan kita dengan Allah harus dijaga dengan cukupkan solat, laksanakan kewajipan puasa dan sebagainya, manakala hubungan kita dengan manusia, kita perlu menjaga hati ibu, ayah, guru2, kawan2 dan semua yang ada di sekeliling kita’

‘Adik2 solat mesti penuh. Tu kan tiang agama. Kalau boleh buat solat hajat juga. Dan, kalau mampu, puasalah sunat.’ Aku tidak pasti adakah aku telah memberikan topik yang berat buat pelajar tingkatan 3 atau tidak. Aku tahu, ada segelintir daripada mereka masih tidak cukup solat. Bagiku itu adalah perkara biasa. Muda mudi yang masih remaja, aku tidak menyalahkan mereka kerana ada antara mereka yang tidak tahupun akibat melanggar perintah Allah, dan ada antara mereka juga yang tidak disuruhpun untuk solat. Tapi, aku gembira apabila ada usaha daripada mereka untuk mengetahui dan mengambil tahu.

‘Salam, Kak boleh saya tanya tentang qadha solat?’ Mesej Nizam pada suatu hari. Soalan seperti ini menyebabkan aku tahu, mereka bukan tidak mahu cuma mereka tidak tahu lalu mengambil inisiatif untuk mengambil tahu.

‘Kak, esok saya nak puasa sunat, macam mana niatnya ya?’

‘Kak, akak tahu tak, masa akak suruh pejam mata dan bayangkan keputusan selepas PMR dan bayangkan masa depan, Ika nampak satu jalan yang sangat lurus dan Ika gembira sangat. Apa tandanya?’

Bertubi2 soalan daripada adik2. Aku cuba menjawab dengan sebaik mungkin, tidak mahu melunturkan semangat mereka. Dan, sebenarnya, daripada mereka juga aku belajar sesuatu. Aku belajar untuk mengimbas kembali apakah faktor sebuah kejayaan. Aku belajar untuk mengimbas kembali bagaimana perasaan memperoleh kejayaan. Dan, sekarang, aku harus kembali bangkit. Jangan hanya pandai berkata2 menasihati orang sedangkan diri tidak kuat untuk menghadapi cabaran. Semoga berjaya buat semua! Boleh jadi hanya inilah sumbangan terakhir kita sebelum meninggalkan dunia. Masih aku ingat, selepas kematian arwah Kak Hajar, tiba sekeping surat daripada UIA di rumahnya, rupanya arwah Kak Hajar telah berjaya menerima anugerah dekan. Sehingga ke saat akhir hidupnya, masih memberikan bunga bahagia buat keluarganya. Sesuatu yang sangat aku kagumi dan harus kita contohi.insya-Allah.

Sekadar nasihat dan tulisan buat diriku sendiri yang sering saja lupa. Untuk bangkit, kenanglah kembali kejayaan kita yang pernah kita kecapi dulu. Ia tersangat manis tapi, dikecapi setelah melalui seribu keperitan dan kesusahan. Sampai di sini dahulu. Wallahu’alam.

'Aku harus bangkit! Kita harus bangkit!'

3 ulasan:

Mohd Mukhlis Bin Mohd Nazri berkata...

Sesungguhnya anak- anak itu benar memerlukan bimbingan dan perhatian daripada seseorang yang lebih mengetahui. Saya mengucapkan jutaan terima kasih atas sumbangan yang tela diberikan oleh ukhti dalam memberikan sinar baru kepada anak- anak ini. Sesunggunya kekangan yang dihadapi oleh seorang guru yang terpaksa menghadapi kerenah yang pelbagai membuatkan diriku dalam dilema. Dahulu diriku pernah berada dan berkongsi pandangan sepert mana saudari fikirkan kini. Maka saatku mula- mula mengajar aku mempraktikkan segala- segalanya. Hari pertama diriku memperkenalkan diriku sudah ku lihar bercucuran air mata yang ku lihat. Namun ia merupakan pengalaman baru apabila anak- anak ini sentiasa bersedia untuk menguji seseorang yang bernama guru. Alangkah bahagianya kalau semua hati itu dapatku sentuh dalam sekali pukal... Banyak kisah yang boleh dikongsi dan ana ucapkan tahniah kepada ukhti atas sumbangan yang diberikan. Jua tidak lupa untuk ana mendoakan agar 'muna' akan terus bersinar seperti indahnya bintang dilangit yang melakarkan sejuta kegembiraan buat mereka yang memahami dan mengagumi kekuasaan Tuhan. Apa yang penting ukhti mempersiapkan diri untuk melangkah ke suatu alam yang lebih mencabar seperti yang telah ana lalui. Kita doakan agar anak-anak ini akan dirahmati dan dikasihi Allah SWT. Barokallahufik..

lailafillah berkata...

salam yan..erm..kadang2..dgn adanya adik2 ni yg banyak mengajar kite..kadg2 kite sendiri terleka.tapi kerana ada adik yg sering bertanye..membuatkan kite tersedar sendiri..

Tanpa Nama berkata...

BERKULAT DAH BLOG NI NAMPAKNYA!!!

TAKDA UPDATE ,SIBUK DGN LANTERA KE !!

SIBUK DR NAJIB LAGI NI,KEH!KEH! GURAU JE