Jumaat, Januari 02, 2009

Jutaan penduduk dunia protes keganasan rejim Yahudi-Utusan Malaysia



sebahagian penduduk Islam Australia berhimpun di sebuah taman di Sydney untuk menunaikan solat Jumaat dan mengadakan protes besar-besaran terhadap keganasan Israel ke atas penduduk Palestin, semalam.

- AFP
JAKARTA 2 Jan. - Penduduk dunia menyertai protes antarabangsa bagi membantah serangan Israel ke atas Genting Gaza yang genap seminggu hari ini serta mengutuk tindakan Amerika Syarikat (AS) yang menyokong sekutu rapatnya itu.

Serangan hari ketujuh oleh tentera Yahudi ke atas penduduk Palestin setakat ini telah meragut 420 nyawa dan mencederakan 2,100 yang lain.

Di Indonesia, puluhan ribu penduduk beragama Islam berarak di Jakarta selepas solat Jumaat menuju ke kedutaan AS di sini sambil mengusung roket-roket palsu yang bertulis "Sasaran: Tel Aviv, Israel".

Wanita dan kanak-kanak turut serta dalam perarakan anjuran Parti Keadilan Sejahtera itu sambil mengibarkan bendera Indonesia dan Palestin serta melaungkan "Allahu Akbar"

Kutipan derma yang disasarkan sebanyak AS$200,000 (RM693,400) untuk disumbangkan kepada penduduk Palestin turut diadakan pada perarakan yang disertai oleh 200,000 orang itu.

Protes turut dijalankan di bandar-bandar lain di Indonesia selepas solat Jumaat dalam bantahan terbesar sejak Israel mula membedil Gaza.

Ratusan penduduk Islam di Srinagar, Kashmir pula membakar bendera Israel sambil melaungkan slogan anti-Yahudi dan anti-AS

Mereka juga mengibarkan bendera Palestin dan potret ketua Hizbullah, Hassan Nasrallah.

Kashmir sendiri sudah dua dekad mengalami pemberontakan bagi menentang pemerintahan India yang telah meragut lebih 47,000 nyawa.

Sementara itu, lebih 1,000 penduduk Afghanistan tidak ketinggalan menyertai demonstrasi mengutuk Israel, hari ini.

Protes di bandar Herat itu turut menyaksikan bendera Israel dicarik hingga koyak dan patung Presiden Israel, Shimon Peres dibakar.

"Ini adalah perang antara Islam dan orang kafir. Kami mengumumkan jihad di wilayah ini bagi menentang mereka yang mengiktiraf Israel sebagai negara dan menyokongnya," kata seorang imam, Farooq Hussaini.

Di Kabul, seramai 3,000 orang berkumpul di sebuah masjid utama mengadakan perarakan selepas solat Jumaat dengan mengutuk Israel, AS dan penyokong mereka serta membakar bendera AS dan Britain.

Sementara itu, ribuan penduduk Islam di Australia pula berarak di Sydney hari ini bagi menyatakan sokongan kepada rakyat Palestin dan mengutuk serangan oleh Israel.

Lebih 4,000 berarak sambil membawa bendera Palestin di Parry Park dan mengecam tindakan kejam tentera Yahudi.

"Israel melancarkan tindakan pengganas dan di luar batas kemanusiaan maka menjadi tanggungjawab semua orang yang percaya pada kebebasan untuk menyokong agar tindakan kejam ini dihentikan," kata seorang imam, Ibrahim Abu Mohammad.

Para penunjuk perasaan itu kemudiannya menunaikan solat Jumaat di taman berkenaan sebelum meneruskan protes tersebut.

Di Filipina, puluhan penunjuk perasaan berkumpul di Manila dengan membawa sepanduk yang menyifatkan negara Yahudi itu "pembunuh kanak-kanak" dan "penjenayah perang."

"Ini adalah serangan oleh angkatan tentera antara terkuat di dunia ke atas penduduk yang hanya mampu menyerang balas dengan roket lama, kayu dan batu," kata penganjurnya, Reihana Melencio.

- Agensi

Sedarlah, kita bertuah punya masa untuk mengikuti pembelajaran.

Sedarlah, kita bertuah punya keamanan,

Sedarlah, kita bertuah boleh bergelak ketawa,

Sedarlah, kita bertuah punya walau sedikit wang,

Sedarlah, kita bertuah dengan hanya sesuap makan...

Sedarlah, bahawa kita sentiasa perlu disedarkan...

Kerana kita sering menyangka kita tidak bertuah...

Pada hakikatnya kita sangat2 bertuah...

Ya... kita sangat bertuah...

Jadi, berikanlah sedikit tuah kita kepada mereka..

Berdoalah demi kesejahteraan saudara kita di sana...

Kerana mungkin hanya itu yang paling kita mampu lakukan...

TAKBIR!!


Tiada ulasan: