Isnin, Januari 16, 2012

Yang Memberi Hidup dan Mati

14 Januari 2012, Jumaat, pemergian Kak Ros, seorang kaunselor yang masih muda. Meninggalkan dua anak, seorang suami, dan keluarganya. Al fatihah. 

Masih ingat, sewaktu dalam rawatan di HUSM, Kak Ros cakap, Alhamdulillah dirinya memberikan kesan positif terhadap kemoterapi yang dijalani. Menghidap limfoma dan merupakan salah seorang yang sangat rapat dengan arwah Che Cik sewaktu di HUSM Kubang Kerian. Orangnya kecik2 dan sentiasa ceria dan bersemangat. Beliaulah antara yang sering memberi semangat kepada arwah Che Cik sewaktu di hospital. Sebelum Che Cik, seorang lagi antara yang rapat dengannya dipanggil dahulu, Kak Azah, menghidap leukemia. Sewaktu diberi pelepasan pulang daripada HUSM, doktor mengkhabarkan berita yang sangat berat untuk diterima, 90% sel darah putih masih dalam badannya walaupun telah tamat rawatan kemoterapi. Allahuakbar. 

Sewaktu Che Cik juga diberi pelepasan pulang (atas permintaannya), Che Cik terkejut apabila doktor mengizinkan. Waktu itu bulan Ramadhan…Che Cik teringin duduk di rumah bersama keluarga. Aku dengar perbualan Che Cik dengan Kak Azah, tiada tanda sedih, Che Cik sebut, ‘Azah kena kuat.’ Sedangkan dalam fikiranku, Che Cik lebih kena kuat. Kak Azah kelihatan lebih sihat berbanding Che Cik. Tapi, siapa sangka nombor giliran Kak Azah sampai terlebih dahulu selepas tertunai hasratnya untuk makan ikan masam manis. Tika itu, Che Cik menghampiriku, Che Cik cakap, ‘Mungkin takda harapan dah Che Cik ni…sebab tu doktor wi balik…’ Masa tu Allah saja tahu sebak diriku. Tapi, teringat pesan mak, ‘Jangan menangis depan Che Cik.’ 

Entah kenapa, aku masih terbayang2 wajah Che Cik, entah kenapa tiba2 aku rasa sangat rindu kan Che Cik. ‘Che Cik, Che Cik tahu tak Tira dapat 8A PMR? Che Cik tahu tak, Tira cakap dia sebak bila orang lain naik pentas dengan mak ayah, tapi, dia naik pentas tanpa maknya?’ Teringat waktu hari terakhir peperiksaan Tira, hari tu jugalah Che Cik pergi dan semua merahsiakan hal kematian Che Cik daripada Tira. Che Cik, Muna teringat Che Cik pernah sebut, ‘mintak2 lah sempat Tira jawab exam.’ Dan itu jugaklah yang mak, Che Ngah, dan kami semua doakan. Tak sangka, Allah makbulkan, cuma, Tira tak sempat pun tengok Che Cik buat kali terakhir. Allah…

Bila menerima khabar tentang kematian Kak Ros, semua kenangan bersama Che Cik datang menjenguk fikiran. Masa Che Cik pergi, Kak Ros ada datang melawat bersama suami dan anak2nya. Tak sangka, masa berlalu dengan pantas, dan akhirnya Allah jemput juga Kak Ros menemuiNya kemudian sedikit daripada Che Cik. Che Cik pernah cakap, ‘duduk di hospital ni, dalam seminggu ada je bebrapa kali katil ditolak ke bilik jenazah. Che Cik ni tunggu giliran je.’ Doa dipanjatkan, solat hajat didirikan, tapi, ajal maut semua di tangan Tuhan. Takkan cepat, takkan pula lambat walau sesaat. Orang sakit, atau orang sihat, semuanya sedang menunggu giliran. Entah kita yang nombor berapa?  

Inilah hidup, kita menyaksikan bayi2 dilahirkan saban hari dan kita juga menerima perkhabaran kematian yang kadang langsung tidak disangkakan. Begitulah fitrah alam, ada kelahiran dan ada kematian. Allah tahu, apa perlu dilakukan untuk menyeimbangkan kehidupan di dunia ini. Apabila saban hari menerima berita kematian, terfikir, apalah yang hendak disayangkan dengan dunia ini. Segala harta bukannya milik kekal kita. Terfikir juga, selagi masa masih ada, aku ingin sentiasa di sisi keluarga. Entah. Sebab itu juga aku tak tenang berada di sini, berjauhan daripada semua. Allah, kalau aku tahu aku yang ke berapa akan dijemput menemuiMu? Aku ingin sentiasa bersedia, moganya begitu. Aku ingin menemuiMu dalam akhlakku yang mulia untuk dipersembahkan, dalam buku amalanku yang penuh kebaikan dan bergred tinggi. Allah, peliharalah diri ini selagi nyawaku masih di jasad ini. Allah, rahmatilah aku, rahmatilah kami yang masih hidup di atas muka bumiMu ini, rahmatilah mereka yang telah kembali di sisiMu juga. Amiin.  

Untuk yang ke 23tahun, Kau berikan aku nafas, untuk yang ke 23 tahun, Kau berikan aku keupayaan untuk melihat dunia ini, untuk yang ke 23tahun, Kau tak putus memberikan aku rezeki, untuk yang ke 23tahun, Kau sempatkan aku merasai hidup ini. Terima Kasih Ya Allah, hari ini, Kau sampaikan usiaku yang ke 23tahun…Alhamdulillah…Kuharap, Selama 23tahun dalam pentas layar dunia ini, hidup ini tidak pernah aku siakan…Mengharap redha dan kasih sayangMu sentiasa… 

Catatan 16Januari2012

1 ulasan:

uwais al-bernamy berkata...

slmt hari lahir yan..