14 Januari 2012, Jumaat, pemergian Kak Ros, seorang
kaunselor yang masih muda. Meninggalkan dua anak, seorang suami, dan
keluarganya. Al fatihah.
Masih ingat, sewaktu dalam rawatan di HUSM, Kak Ros cakap,
Alhamdulillah dirinya memberikan kesan positif terhadap kemoterapi yang
dijalani. Menghidap limfoma dan merupakan salah seorang yang sangat rapat
dengan arwah Che Cik sewaktu di HUSM Kubang Kerian. Orangnya kecik2 dan
sentiasa ceria dan bersemangat. Beliaulah antara yang sering memberi semangat
kepada arwah Che Cik sewaktu di hospital. Sebelum Che Cik, seorang lagi antara
yang rapat dengannya dipanggil dahulu, Kak Azah, menghidap leukemia. Sewaktu
diberi pelepasan pulang daripada HUSM, doktor mengkhabarkan berita yang sangat
berat untuk diterima, 90% sel darah putih masih dalam badannya walaupun telah
tamat rawatan kemoterapi. Allahuakbar.
Sewaktu Che Cik juga diberi pelepasan pulang (atas
permintaannya), Che Cik terkejut apabila doktor mengizinkan. Waktu itu bulan
Ramadhan…Che Cik teringin duduk di rumah bersama keluarga. Aku dengar perbualan
Che Cik dengan Kak Azah, tiada tanda sedih, Che Cik sebut, ‘Azah kena kuat.’
Sedangkan dalam fikiranku, Che Cik lebih kena kuat. Kak Azah kelihatan lebih
sihat berbanding Che Cik. Tapi, siapa sangka nombor giliran Kak Azah sampai
terlebih dahulu selepas tertunai hasratnya untuk makan ikan masam manis. Tika
itu, Che Cik menghampiriku, Che Cik cakap, ‘Mungkin takda harapan dah Che Cik
ni…sebab tu doktor wi balik…’ Masa tu Allah saja tahu sebak diriku. Tapi,
teringat pesan mak, ‘Jangan menangis depan Che Cik.’
Entah kenapa, aku masih terbayang2 wajah Che Cik, entah
kenapa tiba2 aku rasa sangat rindu kan Che Cik. ‘Che Cik, Che Cik tahu tak Tira
dapat 8A PMR? Che Cik tahu tak, Tira cakap dia sebak bila orang lain naik pentas
dengan mak ayah, tapi, dia naik pentas tanpa maknya?’ Teringat waktu hari
terakhir peperiksaan Tira, hari tu jugalah Che Cik pergi dan semua merahsiakan
hal kematian Che Cik daripada Tira. Che Cik, Muna teringat Che Cik pernah
sebut, ‘mintak2 lah sempat Tira jawab exam.’ Dan itu jugaklah yang mak, Che
Ngah, dan kami semua doakan. Tak sangka, Allah makbulkan, cuma, Tira tak sempat
pun tengok Che Cik buat kali terakhir. Allah…
Bila menerima khabar tentang kematian Kak Ros, semua
kenangan bersama Che Cik datang menjenguk fikiran. Masa Che Cik pergi, Kak Ros
ada datang melawat bersama suami dan anak2nya. Tak sangka, masa berlalu dengan
pantas, dan akhirnya Allah jemput juga Kak Ros menemuiNya kemudian sedikit
daripada Che Cik. Che Cik pernah cakap, ‘duduk di hospital ni, dalam seminggu
ada je bebrapa kali katil ditolak ke bilik jenazah. Che Cik ni tunggu giliran
je.’ Doa dipanjatkan, solat hajat didirikan, tapi, ajal maut semua di tangan
Tuhan. Takkan cepat, takkan pula lambat walau sesaat. Orang sakit, atau orang
sihat, semuanya sedang menunggu giliran. Entah kita yang nombor berapa?
Inilah hidup, kita menyaksikan bayi2 dilahirkan saban hari
dan kita juga menerima perkhabaran kematian yang kadang langsung tidak
disangkakan. Begitulah fitrah alam, ada kelahiran dan ada kematian. Allah tahu,
apa perlu dilakukan untuk menyeimbangkan kehidupan di dunia ini. Apabila saban
hari menerima berita kematian, terfikir, apalah yang hendak disayangkan dengan
dunia ini. Segala harta bukannya milik kekal kita. Terfikir juga, selagi masa
masih ada, aku ingin sentiasa di sisi keluarga. Entah. Sebab itu juga aku tak
tenang berada di sini, berjauhan daripada semua. Allah, kalau aku tahu aku yang
ke berapa akan dijemput menemuiMu? Aku ingin sentiasa bersedia, moganya begitu.
Aku ingin menemuiMu dalam akhlakku yang mulia untuk dipersembahkan, dalam buku
amalanku yang penuh kebaikan dan bergred tinggi. Allah, peliharalah diri ini
selagi nyawaku masih di jasad ini. Allah, rahmatilah aku, rahmatilah kami yang
masih hidup di atas muka bumiMu ini, rahmatilah mereka yang telah kembali di
sisiMu juga. Amiin.
Untuk yang ke 23tahun, Kau berikan aku nafas, untuk yang ke
23 tahun, Kau berikan aku keupayaan untuk melihat dunia ini, untuk yang ke
23tahun, Kau tak putus memberikan aku rezeki, untuk yang ke 23tahun, Kau
sempatkan aku merasai hidup ini. Terima Kasih Ya Allah, hari ini, Kau sampaikan
usiaku yang ke 23tahun…Alhamdulillah…Kuharap, Selama 23tahun dalam pentas layar
dunia ini, hidup ini tidak pernah aku siakan…Mengharap redha dan kasih sayangMu
sentiasa…
Catatan 16Januari2012
1 ulasan:
slmt hari lahir yan..
Catat Ulasan