Sabtu, Februari 20, 2010

Pengaduan Hamba


Ya Allah, hari ini hampir sahaja aku menangis kerana seolah tak mampu lagi menanggung ujian daripadaMu. Aku cuba hadapi dengan tenang walau pada hakikatnya hatiku sedikit resah. Adakah aku ini khalifah yang telah melaksanakan tanggungjawabnya dengan baik? Ya Allah, aku benar seakan berputus asa dengan hidup ini. Memikul beban tanggungjawab ini bukanlah satu perkara yang mudah, tetapi, ia satu tanggungjawab yang akan dipersoalkan di akhirat kelak. Ya Allah, sama sekali aku tidak mampu menanggungnya. Tapi, masakan aku lupakan janjiMu yang sememangnya benar? Kemanisan menanti di hujung kepahitan.

Ya Allah, ini aduan seorang hamba yang mengharapkan limpahan rahmat daripadaMu. Kadang aku rasakan hidup ini seakan tiada erti. Di fikiranku, ‘kenapa perlu aku bersungguh dengan semua perkara sedangkan hayatku bakal berakhir dengan kematian juga?’ Pemikiran seperti ini sering timbul menunjukkan aku benar2 hambaMu yang tersangat lemah. Ya Allah ampunkan aku.

Hari ini Kau menguji aku tentang pengorbanan. Pengorbanan atas sedikit masa pinjaman daripadaMu. Adakah aku sanggup berkorban tenaga dan masa untuk sebuah kebaikan? Jika diikutkan. Mana aku punya masa yang sebegini banyak. Membahagikan kepada puluhan perkara dan tanggungjawab. Tapi, aku sedar inilah ujian. Sekadar sebuah ujian untuk menguji ketabahan dan kesabaran seorang hamba. Masa ini milikMu, masakan aku harus bersifat bakhil atas setiap pinjaman dan milikMu? Tanggungjawab harus dilaksanakan dalam tempoh masa yang sedikit cuma.Tanggungjawab yang tidak terkira banyaknya.

Masalah datang bertimpa, masalah yang menguji ketaatan seorang hamba. Sekali lagi aku seakan mahu menangis dengan semua ini. Tapi, masakan aku mahu bersikap cengeng begitu sedangkan aku tahu Kau sentiasa ada. Kau Melihat dan Mendengar segalanya. Kau tahu isihatiku dan Kau tahu kesusahan dan kegusaran hatiku. Ya Allah, Kau limpahkanlah ketenangan ke atas ku. Walau ribuan perkara cuba menghimpit akal warasku, aku mohon, Kau mudahkanlah segala urusanku. Aku mohon ya Allah, ketenangan bagi diriku agar aku mampu menenangkan mereka di sekelilingku.

Aku tahu, pinta hambaMu ini terlalu banyak yang kadang membuatkan aku malu sendiri. Tidak setimpal dengan amal ibadatku, aku meminta yang berlebihan daripadaMu. Tapi, pada siapa lagi harus aku mengadu dan meminta? Ujian yang Kau timpakan pada setiap manusia itu berbeza. Ada yang lebih berat dan tersangat berat daripadaku. Aku sebolehnya tidak mahu membebankan mereka walau pada hakikatnya aku sering membebankan mereka. Ya Allah, ampunkan aku.

Ya Allah, andai Kau melihat hambaMu ini hampir merasa putus asa. Kau tariklah aku kembali. Kadang aku cuba untuk lari daripada masalah kerana aku tahu manusia punya hak untuk membuat keputusan dan pilihan dalam hidupnya. Samaada menghadapi masalah atau lari daripada masalah. Tapi, saat itu Kau temukan aku dengan firmanMu dalam surah al Baqarah ;

155. Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu Dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. dan berilah khabar gembira kepada orang-orang Yang sabar:

156. (Iaitu) orang-orang Yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: "Sesungguhnya Kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah Kami kembali."

157. mereka itu ialah orang-orang Yang dilimpahi Dengan berbagai-bagai kebaikan dari Tuhan mereka serta rahmatNya; dan mereka itulah orang-orang Yang dapat petunjuk hidayahNya.

Dan aku sedar. Andai lari pilihanku, aku telah gagal dalam ujianMu, aku gagal untuk meraih hadiah lumayanMu. Daripada ayatMu ini aku tahu Kau menyediakan tiga ganjaran bagi mereka yang bersabar dalam menghadapi masalah iaitu kesejahteraan di dunia dan akhirat, rahmat dan kasih sayangMu, dan petunjuk dalam menghadapi berbagai kesulitan yang dihadapi.

Benar aku sangat perlukan tiga ganjaran ini. Sejahtera dunia akhirat, rahmat kasih sayangMu dan petunjukMu. PetunjukMu sangat aku dambakan agar aku tidak terpesong di pertengahan jalan. Ya Allah, kau kuatkanlah hati ini agar ia terletak pada tempatnya yang hak. Agar aku tidak berlaku zalim pada sekeping hati yang rindukan rahmat kasih sayangMu.

Ya Allah, sungguh pengaduan seorang hambaMu yang dhaif ini tersangat panjang. Tapi, aku tidak mampu mengelak daripada terus menjadi seorang hamba yang kuat mengadu. Aku sering terdengar omongan sahabatku bahawa bila Kau timpakan ujian bermakna Kau rindukan suara hambaMu. Sekarang aku datang menjadi salah seorang hamba yang Kau rindukan untuk mendengar suara pengaduanya. Ya Allah, aku tidak mampu menahan semua ini seorang. Aku sungguh tidak mampu.

Ya Allah, andai sahaja aku tahu Kau telah meletakkan aku di sini untuk menjadi seorang pejuang, untuk menjadi seorang pemimpin manusia…mungkin aku sudah berserah terlebih dahulu andai inilah hakikat yang harus aku hadapi. Tapi, Kau letakkan aku di jalan ini bukan dengan percuma, malah Kau berikan dan janjikan sebuah bayaran yang sangat tinggi kelak bila berakhirnya urusanku di dunia ini dengan mengikut syariatMu.

Ya Allah… Kadang aku terfikir kembali… Untuk apa sebenarnya Kau menghidupkan seorang aku di dunia ini sedangkan aku hanya ibarat seekor semut kecil yang tidak mampu menyumbang apa2 untuk dunia mahupun agama. Tapi, Kau lah yang lebih mengetahui. Sedangkan seekor semut juga bertasbih dan tidak leka daripada memuji kebesaranMu. Mungkinlah sang semut lebih mulia berbanding hambaMu yang bergelar manusia ini. HambaMu yang sering hidup dalam kelekaan nikmat dunia ini. Ya Allah, ampunkan aku.

Ya Allah, pengaduan hambaMu ini tidak sampai di sini. Kau lebih mengetahui bahawa hampir sahaja hambaMu ini tersungkur dalam perjalanan yang panjang. Namun, Kau datangkan satu suara dalam diriku untuk terus bangkit dan melangkah. Kau tempatkan aku disini dalam kalangan hambaMu yang perlukan bimbingan, pasti ada sesuatu yang Kau mahu aku lakukan. Juga ada dua pilihan, samaada aku diamkan atau aku suarakan. Suara aku kecil benar untuk didengar ribuan manusia. Aku mengadu. Dan Kau bukakan satu jalan bagiku agar suaraku mampu didengari ramai. Dan jalan itu adalah melalui sebuah taklifat yang berat sekali. Menjadi seorang yang dinamakan pemimpin. Aku masih tersangat kecil untuk menjadi seorang pemimpin. Aku rasa seakan tidak layak dan seakan tidak mampu. Tapi, Kau datangkan pula sahabat2ku di sisiku agar aku sentiasa kuat berada di tempat ini. Syukur padaMu ya Allah.

Ya Allah, mungkin manusia penat mendengar ini semua. Tapi, aku tahu tidak bagiMu. Ya Allah, andai sahaja aku boleh meminta agar Kau hentikan masa. Ingin sekali aku minta begitu. Agar semua perkara dapat aku selesaikan dalam masa yang telah ditetapkan. Aku ingin melaksanakan sebaiknya tanggungjawab aku sebagai seorang pelajar, seorang pejuang, seorang pemimpin, seorang anak, seorang hamba dan andai ada tanggungjawab lain yang harus aku laksanakan. Apapun, yang penting aku tetap harus berusaha. Ampunkan hambaMu ini ya Allah, andai aku sering meminta dengan usaha yang lampau sedikit. Ampunkan aku…

Sehingga akhirnya, Kau lah yang Mengetahui apa yang terbaik untuk hambaMu ini. Aku berserah dan pasrah dengan setiap ketetapanMu.insyaAllah.Kupinta, Kau kurniakan aku sedikit kekuatan untuk aku terus berdiri teguh di atas jalan kebenaran ini. Sekeping hati ini, Kau kurniakanlah sebuah jiwa yang besar, cekal dan tabah dengan setiap ujian dan cubaan daripadaMu. Semoga semua ini berakhir dengan kesudahan yang baik dan diterima sebagai satu kebaikan di sisi Mu. Jangan ada perbuatan ku ini hanya sia2 yang mengundang murkaMu…

Ya Allah, Kau peliharalah dan bantulah kami pejuang agamaMu. Amiin~

2 ulasan:

a.j. berkata...

fastai'nu bissabri was solah ... ada sebabnya diletakkan "wa" ... bukan "au"

Mohd Azhar Zakaria berkata...

‘kenapa perlu aku bersungguh dengan semua perkara sedangkan hayatku bakal berakhir dengan kematian juga?'

jawapan-kerana kematian itu bukan pengakhir segalanya...tetapi merupakan titik mula kepada segalanya...