Selasa, Oktober 20, 2009

Hanya Sebuah Cerita

Salam’alaik.

Adakah aku sedang menceritakan kisah peribadiku di sini? Maafkan aku. Tiba2 aku teringat kisah hidupku pada zaman dahulu. Ingin sekali aku berkongsi. Anggap sahaja aku menulis agar aku sentiasa ingat kisah ini sehingga ke akhir hayatku.insyaAllah.

Aku dilahirkan sebagai seorang anak perempuan sulung. Oleh sebab aku sahaja anak perempuan tika itu (3 abang dan seorang adik lelaki) aku mungkin sedikit lasak (awas, jangan gelak!) Aku melihat kanak2 hari ini ramai sudah menggunakan teknologi sebagai alat permainan mereka dan teman rapat mereka. Tidak pada waktu kecilku. Dilahirkan pada akhir 80an (1989) dan membesar dalam awal 90an membuatkan aku masih sempat merasa kehidupan sebagai seorang kanak2 kampung yang tahan lasak.

KEJAR SANG KETAM

Masih aku ingat tika itu, aku dan adikku Fadhil (kami sangat kamceng disebabkan jarak umur yang hanya setahun) dan kawan2 kami bermain sekeliling tempat kelahiran kami (Kuala Ibai, Kuala Terengganu). Suasana tempat tumpahnya darahku sangat nyaman, dikelilingi jiran tetangga yang ramah mesra, dan petempatannya terletak berhampiran dengan kawasan paya Kuala Ibai (aku tidak tahu nama tempat tersebut, tapi, kawasan rumahku bernama Taman Purnama, Kuala Ibai). Tika itu aku masih lincah, bermain di paya bersama2 adikku dan kawannya yang dipanggil Yo. Kami bersama2 bermain kejar2 sang anak ketam yang sedang menyorok di sebalik ribuan lubang tanah paya. Dan, itulah kenangn yang masih kuingat.

PERLUMBAAN KASUT RODA

Masih juga aku ingat, waktu kecilku di Kuala Ibai, tika itu ‘Roller Blade’ baru sahaja menembusi pasaran Negara Malaysia. Aku tersangat ingin memilikinya. Dan, aku memaksa ayah membelinya. Lalu, ayah turuti. Cuma masalahnya, waktu itu roller blade susah didapati dalam saiz sebesar tapak kakiku, lalu ayah beli yang bersaiz sebesar tapak kakinya. Bagiku itu bukanlah satu penghalang untuk kuterus menjadi jaguh roller blade di Kuala Ibai (yeke?). Masih aku ingat, kami (kawan2 di Kuala Ibai) berlumba roller blade keliling kampong. Dan, aku sangat bersemangat tika itu. Tak mahu mengaku kalah dengan kawan2ku dan abangku. Sangat kelakar apabila diimbas kembali.

KAYUHAN KENCANG LE RUN

Ada satu hari yang sangat nyaman, waktu itu ayahku baru membeli basikal LeRun untuk abang sulungku Fathi (untuk memudahkan beliau ke sekolah merentas jambatan ke Chendering), aku sangat teringin mengayuhnya sedangkan aku tersangat kecil berbanding basikal tersebut. Tapi, aku tetap mahu. Dan, apabila aku katakan aku mahu (tika itu), bererti aku mahu! Ayah tetap sabar menuruti kerenahku. Akhirnya aku berjaya mengayuhnya dan sangat hebat kurasakan kerana aku berjaya mengayuh dalam keadaan ayahku berada di tempat duduk belakang. (Padahal ayah menongkatkan kakinya agar aku tidak jatuh) dan waktu itu umurku baru 6 tahun.

MERENTAS DESA

Masih aku ingat juga, waktu itu aku baru sahaja bersekolah dalam darjah satu. Dan tika itu hanya aku dan abang2ku yang bersekolah. Ada satu hari, kami menunggu ayah untuk membawa kami pulang dari sekolah (Sekolah Kebangsaan Pusat Kuala Ibai), tapi, beberapa jam kami tunggu, ayah tidak datang. Ayah sibuk dengan kerjanya (Pegawai Perhilitan). Dan, abangku membawaku merentas desa untuk pulang ke rumah. Walaupun tersangat penat, itulah satu cabaran yang perlu aku lalui.

Aku masih kecil, aku takutkan angsa. Orang selalu kata, angsa suka patuk orang. Jadi dalam merentas desa, aku sering berjalan berhimpit2 di belakang abang2ku kerana takutkan angsa liar (atau peliharaan kot) . Alhamdulillah, aku dan abang2ku berjaya sampai ke rumah dengan selamat. Cuma yang sedihnya, kami tidak dapat memasuki rumah kerana tiada orang di rumah. Lalu, abangku menggunakan skill mengcungkil mangga yang entah dari mana dia belajar. Dan, berjayalah kami masuk. =)

KE PULAU RHU – BOT NELAYAN

Waktu itu aku darjah 3, aku memang sukakan aktiviti lasak dan mencabar. Tambahan pula ayah dan abang2ku juga begitu. Aku masih ingat ayah pernah membawa aku, abang sulungku dan adik lelakiku ke tepi gunung (lupa namanya, di Terengganu). Ayah ajar abang memanjat gunung, dan aku hanya menyibuk di belakang. Dan, antara aktiviti yang paling aku suka adalah berkhemah. Ayah dan adiknya (bapa saudaraku) merancang untuk ke Pulau Rhu. Untuk menjimatkan wang, kami ke Pulau Rhu dengan menaiki Bot Nelayan. Yang seronoknya menaiki bot nelayan adalah, kami belajar untuk menahan bau hanyir ikan. Allah saja yang tahu! Dan, perjalanan yang sepatutnya mengambil masa 30minit menjadi sejam lebih memandangkan pergerakan bot tersebut yang agak lambat. Malah, kami sempat baring2 (dalam bau hanyir) dan berlagak ala2 Titanic di hadapan bot. Indah sungguh pengalaman tersebut. Sampai di Pulau Rhu, ibarat itu tempat kepunyaan kami. Subhanallah, indahnya.

KE PULAU RHU – BOT LAJU

Waktu itu masih dalam musim tengkujuh. Kami nekad untuk ke Pulau Rhu. Dengan menaiki bot laju kepunyaan bapa saudara, kami bertolak dari Pantai Air Tawar ke Pulau Rhu. Pagi cuaca baik, kami bertolak secara ‘trip by trip’. Sangat seronok. Kami akan ke tempat yang pernah menyimpan memori kami. Di Pulau Rhu tiada orang yang menghuni. Ada beberapa chalet yang terbiar dan ada beberapa ekor burung unta di dalam kandangnya (rumah burung unta juga dipanggil kandang ye?), lonely ostriches. Kami mandi manda dan berjalan keliling pulau menikmati keindahan ciptaan Allah. Petang, tiba2 langit mendung. Ayah kata di darat (maksudku di daratan Pantai Air Tawar) telahpun hujan terlebih dahulu. Pasti laut sangat bergelora. Tapi, kami terpaksa juga pulang hari itu. Lalu, kami pulang juga ‘trip by trip’. Yang lelaki pulang terlebih dahulu. Aku dan saudara2ku yang perempuan dan ayahku menunggu giliran kami di pulau. Kami menunggu sangat lama. Tidak juga muncul kelibat bapa saudaraku. Resah. Kesejukan. Segala meja kerusi terbalik. Ribut kencang. Bagaimana kami mahu pulang? Aku risau,rasanya semuapun sangat risau. Tapi, kami tetap terpaksa menunggu. Pasir memasuki mata. Tak tertahan sakitnya. Terus menunggu.

Rupanya, bot laju bapa saudaraku terbalik sebelum sampai di daratan, enjin rosak. Dan, kami di pulau masih menunggu agak cemas. Menunggu bot penyelamat datang. Seterusnya tidak perlulah diceritakan, dalam besar ombak kami redah untuk sampai ke rumah sebelum malam.

BERSUKAN

Tahun 1998 aku dan keluarga berpindah ke Kuala Lumpur. Sewaktu aku darjah tiga, aku bersekolah di Sekolah Kebangsaan Menjalara. Agak kekok bagiku. Aku yang sudah sangat pekat dengan loghat Terengganu perlu menyesuaikan diri untuk berbahasa ‘standard’. Aku terasa seakan mahu memberontak. Mana tidaknya, satu keadaan yang sangat tidak menyeronokkan bagiku. Suasana kampung dan bandar manakan sama. Di kampung ada laut, ada sungai, ada padang luas, ada ramai kawan. Apabila aku datang ke Kuala Lumpur, segalanya berubah. Tiada lagi kawan2 yang rapat seperti dahulu. Tapi, tidak mengapalah aku tetap cuba untuk menyesuaikan diri. Dan, entah bagaimana secara tiba2 aku telah melibatkan diri dalam sukan secara tak sengaja.

Aku tidak tahu bagaimana seawal umur 9tahun, berada di sekolah baru, tapi, aku boleh mewakili sekolah dalam pertandingan olahraga. Paling tidak boleh aku lupakan, aku wakil sekolah dalam acara lompat tinggi (jangan gelak!). Waktu itu aku darjah tiga. Dan, waktu itu juga Stadium Bukit Jalil baru sahaja siap, tapi, aku sudah berpeluang bermain di atas padangnya. (selalu sahaja menjadi wakil lompat tinggi, tapi, tak pernah menang. Sekadar di peringkat sekolah sahaja menang.) Selain lompat tinggi, aku turut mewakili sekolah dalam acara balapan 100m khususnya. Dan, bukan aku sahaja, adikku turut terlibat sama. Dan, inilah antara pengalaman yang paling aku ingat sehingga hari ini.

Abang2ku aktif bolah sepak, juga aktif hoki. Aku masih ingat, aku rapat dengan seorang cikgu yang bernama Cikgu Aidil, beliaulah yang banyak memberikan galakan padaku untuk bersukan sehingga akhirnya beliau memasukkan namaku dalam pertandingan hoki. Ini adalah kerana memang tradisi agaknya daripada abang sulungku hinggalah kepada adik2ku (kecuali adik bongsu) kami semua aktif bermain hoki. Aku tiada masalah untuk mengaktifkan diri dalam hoki kerana abangku sudah punya kayu hoki di rumah. Ada yang mengajak aku bermain bola jaring, tetapi bagiku bola jaring ‘terlalu perempuan’ dan tidak mencabar.

Meningkatnya usiaku, semakin aku mampu berfikir selayaknya bagaimana perempuan harus berperwatakan. Aku mula mengundurkan diri dalam sukan bukan kerana aku tidak suka, tapi, kurasakan tidak sesuai. Masuk tingkatan 1, aku senyap. Tapi, kawan2ku tetap melihat aku sebagai seorang yang aktif sehingga mereka mengajakku mewakili sekolah dalam pertandingan bola jaring. Pada awalnya aku tidak mahu, kerana aku rasakan aku bukan lagi seperti aku yang dahulu. Hakikatnya jiwaku mahu, Cuma malu. Akhirnya setelah meminta izin ibu bapaku, aku aktif dalam permainan bola jaring. Satu pengalaman yang cukup indah bagiku. (Pernah di’belasah’ St Marry dan Sri Puteri 20-0. Rasa nak tergelak!;P)

SENYAP

Perpindahan ke Machang Kelantan menyebabkan aku senyap. Tingkatan tiga, memang seharusnya aku menumpukan perhatian kepada pelajaranku. Tiada lagi orang yang melihat aku sebagai seorang yang aktif, sebaliknya aku menumpukan pada pelajaranku kerana ada satu misi yang belum tercapai. Dari dulu (darjah 6) aku berangan ingin memasuki MRSM, tapi, oleh kerana keputusan UPSR tidak seberapa, aku sama sekali tidak layak. Kerana itu, aku mesti melaksanakan satu impian tersebut. Aku mesti! Dan Alhamdulillah, aku berjaya realisasikannya.

PENGALAMAN GURU TERBAIK

Mengapa aku ceritakan ini semua? Aku sendiri tidak pasti. Tapi, ada satu perasaan yang terdetik di hatiku. Aku teringin sekali menjadi aktif seperti dulu. Dulu, ayah sering (dalam 2bulan sekali) membawa kami berkhemah dan beraktiviti lasak. Berkhemah ibarat menjadi aktiviti wajib keluarga kami. Di situlah aku banyak belajar tentang sesuatu yang baru. Aku sangat rindukan zaman itu. Apabila aku melihat anak2 (atau kanak2) zaman sekarang, aku teringat zaman aku dahulu. Aku merasa sangat beruntung kerana masih sempat hidup di zaman telefon bimbit adalah ‘limited edition’. Aku melihat pada sepupu2 ku yang telah punya PSP pada usia 8 tahun, juga punya telefon bimbit pada usia 5tahun. Adakah ini semua yang harus menjadi permainan mereka? Di mana kita meletakkan erti hidup bagi mereka?

Kurasakan, hidupku sangat bererti kerana ibu bapaku memberikan erti padanya. Ayah dan mak memberi peluang kepadaku untuk memilih jalan hidup ku sendiri bukan bererti mereka hanya membiarkan, tapi, itulah cara mereka mendidik. Tidak mengapalah andai aku terjatuh dan sikit2 terluka, kerana didikan itulah menjadikan aku seperti aku sekarang. Walaupun kadang terasa cengeng tapi, pasti ada suara yang mengingatkanku, ke mana perginya seorang aku yang dahulu lasak, tahan ujian? Bagiku ibu bapa tidak seharusnya melahirkan anak yang manja. Sesekali harus dibiarkan mereka berdikari, boleh hidup sendiri. Dan, kerana itu jugalah aku boleh berdiri dan berjalan seperti hari ini. Alhamdulillah.

Kita… Jangan pula setelah diberi kebebasan untuk memilih kita terpilih jalan yang salah. Pilihlah jalan yang dirasakan terbaik dan kita pasti akan merasakan kemanisannya. insyaAllah. Aku? Aku tidak lagi seaktif dahulu, sekarang aku punya jalanku sendiri yang aku rasakan terbaik. Dan, insyaAllah aku ingin terus thabat dalam jalan ini. Terima kasih setingginya buat mak dan ayah kerana telah banyak membimbingku dan menyokongku dalam setiap perkara yang aku lakukan. Aku memang tersangat rindu pada zaman kecilku, dan kalau boleh aku mahu generasi baru juga merasainya. Tapi aku sedar perubahan zaman menyebabkan segalanya berubah. Apabila aku pulang ke tempat kelahiranku Kuala Ibai, suasananya sudah berbeza. Sudah membangun, dan kawasan perumahan bertambah. Tiada lagi pondok kecil yang sering aku dan kawan2ku jadikan tempat bermain, padang di hadapan rumah juga sudah menjadi kawasan perumahan. Dan, aku tidak tahu apa telah jadi kepada sungai belukar yang sering dikata orang ‘dihuni nenek kebayan’. Rindunya zaman itu, zaman aku mengaut jutaan pengajaran, pengalaman dan kenangan.

Rasanya sampai di sini dahulu ceritera hidupku.Walaupun seakan sekadar sebuah penulisan kosong, semoga punya manfaat daripadanya. Wallahu’alam. Wassalam.

p/s : aku sebenarnya lebih kagum dengan kisah hidup anak2 Palestin. Mereka tabah, mereka kuat dan mereka lasak. Ingin sekali aku menjadi seperti mereka. Biar memegang senjata mempertahankan agama tercinta. Biar tergadai jiwa dan raga kerananya. Tapi, mereka sebenarnya lebih mengenal erti kehidupan dan perjuangan berbanding kita yang hidupnya senang.


Masjid Terapung (Fatimah Az-Zahra) simbol Kuala Ibai

2 ulasan:

ili amirah berkata...

seronoknye bace kisah zaman kanak-kanak yan..
teringat zaman muda-muda dulu..
sekarang dah segan
dulu rasanya takde ape yang kita tak boleh buat
sekarang, semua benda pun dah tak berani nak buat, kan?

munadhia berkata...

salam.kak ili~ pjg umur..best2 zaman budak2.masa 2 byk bnda x tau. semua bnda x takout.huhu~redah je.tapi, skarang, bile kt blaja, bile kt menuntut ilmu, kna la aplikasikan smua tu kan. dgn ilmu dgn sndirinya jugk ad buah malu dan segan dalam diri. behave sebagaimana seorg muslim harus berpewatakn. bukan brmakna semuanya kt xleh buat, tapi, ada cara dan batasnya. =)

bg yan, bukan brmakna jugak perempuan x boleh wat aktiviti lasak. juga ada cara dan msti kena pada tmpatnya.insyaAllah. =)

trima ksih kak ats komennya. =)