Bismillahirrahmanirrahim
Sangat berharap teks khutbah Jumaat peringatan tentang hari Nakba ini akan dibaca dlam bulan Mei sebagaimana telah dirangka oleh Aqsasyarif ini. Ia bukan masalah Palestin semata, tapi, ia masalah akidah yang bermaksud tanggungjawab KITA SEMUA untuk cakna dan beri perhatian. Hayatilah insyaAllah.
Ringkasannya;
Kita sentiasa tidak lupa (ingat) hari guru dan hari ibu pada mei. (nota : hari ibu adalah setiap hari, bukan hanya satu spesifik hari) tapi, adakah kita ingat apa yang berlaku pada Mei 1948? (saya sendiri tak ingat apa yang berlaku 1948 sebab mak ayah saya pun belum lahir pada tahun ni) jadi, adakah kita tahu apa yang berlaku pada 15mei1948? iaitulah hari NAKBA. Saya hanya tahu selepas 18 tahun hidup di dunia ini iaitu sewaktu di'usrah'kan di asasi UIApj, itu pun selalu saja lupa. Seolah2 semangat cinta dan cakna Palestin itu boleh datang dan pergi begitu saja sedangkan apa yang berlaku di Palestin adalah melibatkan aqidah Islam. Allahuakbar! Sedikit tentang Nakba yang saya baca dari blog2.
NAKBA - bencana besar/malapetaka
NAKBA PALESTIN - Negara Haram Israel telah diistiharkan secara rasminya pada 15hb Mei 1948 yang menyebabkan hilangnya negara Palestin daripada peta dunia antarabangsa. Ini merupakan tragedi kemanusiaan terburuk abad lalu yang direstui oleh masyarakat antarabangsa!
KESAN - lebih 60% rakyat Palestin diusir keluar negara dan penindasan terus berlaku terhadap rakyat Palestin sehingga hari ini.
***
اَلْحَمْدُ للهِ الَّذِيْ لَهُ مَا فِى
السَّمَوَاتِ وَمَا فِى الأَرْضِ وَلَهُ الْحَمْدُ فِى الآخِرَةِ وَهُوَ
الْحَكِيْمُ الْخَبِيْرُ. أَشْهَدُ أَنْ لآ اِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لآ
شَرِيْكَ لَهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اَللَّهُمَّ صَلِّ
عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِيْنَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللهِ! اِتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاَ
تَمُوْتُنَّ إِلاَّ وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ.
Hari ini khatib hendak membawa perhatian sidang Jumaat kepada satu
peristiwa besar yang menimpa umat ini pada abad yang lalu. Persitiwa tersebut
dikenali sebagi Nakbah yang membawa maksud malapetaka besar. Secara rasminya
kemuncak peristiwa Nakbah berlaku pada 15 Mei 1948. Pada petang 14 Mei 1948,
bendera Union Jack diturunkan di Palestin dan sebagai gantinya berkibarlah
bendera The Star of David dan pada keesokkan harinya iaitu pada 15 Mei 1948
negara haram Israel diistiharkan oleh Perdana Menterinya yang pertama David Ben
Gurion.
Kenapa peristiwa Nakbah yang kini sudah memasuki ulangtahun ke 64 ini
wajar mendapat perhatian kita sebagai umat Islam. Sebabnya ialah kerana inilah
tragedi kemanusiaan terburuk abad lalu yang direstui oleh masyarakat
antarabangsa. Tragedi ini bukan sahaja dirancang oleh pertubuhan Zionis
antarabangsa bahkan mendapat kelulusan rasmi dari kuasa-kuasa Barat dan penaja
kepada PBB iaitu British dan Amerika Syarikat. Tragedi Nakbah menyaksikan
800,000 rakyat Palestin diusir dari rumah-rumah dan tanah air mereka dan duduk
di khemah-khemah pelarian sehingga hari ini. Jumlah mereka kini sudah mencecah
lebih dari 5 juta orang dan sehingga kini mereka tidak mendapat sebarang
pembelaan termasuklah dari negara-negara umat Islam.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah.
Jika ada di kalangan kita merasakan tragedi Nakbah ini tiada kena
mengena dengan diri kita, maka ada sesuatu yang tidak kena dengan pandangan
hidup kita sebagai seorang muslim. Apakah asas kepada perkara ini?
Yang pertama inilah akibat dari leburnya konsep ummah dan digantikan
dengan konsep negara bangsa nation state yang dipaksakan
oleh penjajahan ratusan tahun ke atas umat Islam. Umat ini diiktiraf oleh
Al-Quran sebagai umat yang satu. Firman Allah SWT dalam Surah al-Anbiya ayat
92: “Sesungguhnya kamu ini adalah umat yang satu dan Aku adalah Tuhanmu, maka
hendaklah engkau menyembah akan Daku.”
إِنَّ هَـٰذِهِۦۤ أُمَّتُكُمۡ أُمَّةً۬
وَٲحِدَةً۬ وَأَنَا۟ رَبُّڪُمۡ فَٱعۡبُدُونِ
Di tempat yang lain Allah berfirman, ‘Sesungguhnya kamu adalah umat yang
satu dan Aku adalah Tuhanmu, maka hendaklah engkau bertaqwa kepadaKu.” – Surah
al-Mukminun ayat 52
وَإِنَّ هَـٰذِهِۦۤ أُمَّتُكُمۡ
أُمَّةً۬ وَٲحِدَةً۬ وَأَنَا۟ رَبُّڪُمۡ فَٱتَّقُونِ
Oleh kerana begitu mendalamnya konsep nation
state yang diperkenalkan oleh penjajah maka kita pada hari ini tidak lagi
menganggap umat Islam di luar dari batas sempadan antarabangsa sebagai saudara
yang wajib dibela dan dipertahankan. Bahkan kadang-kadang timbul pula sentimen
merendah-rendahkan muslim di negara lain atau dari bangsa lain. Oleh kerana
robohnya konsep umat ini, kesatuan umat Islam berjaya dipecahkan dan
sememangnya itulah yang menjadi hasrat musuh-musuh Islam. Musuh Islam amat
menyedari asas kepada kekuatan umat Islam bukan kekuatan ekonomi atau hasil mahsulnya
tetapi kekuatan persaudaraan yang terbina di atas asas aqidah yang kukuh.
Apabila aqidah berjaya dihakis dari jatidiri umat Islam, tidak ada lagi sisa
kekuatan ukhuwah yang terbina di atasnya. Akhirnya mudahlah wilayah umat Islam
dijajah satu persatu. Bahkanlegacy penjajahan itu berterusan apabila mereka melakarkan sempadan-sempadan
politik yang palsu sehingga wujudlah 50 negara Islam yg merdeka dan 19 negara
lain yang bergabung bersama wilayah bukan Islam. Negara-negara Islam ini hanya
dipisahkan oleh garisan lurus yang dilukis dengan pembaris seperti halnya Mesir
dan Sudan, Libya, Tunisia, Maghribi, Mauritania, Chad, Somalia, Ethopia dan
Eritrea.
Seperti halnya Jordan, Syria, Iraq dan bahkan
Palestin. Seperti juga halnya Malaysia dan Indonesia yang dipisahkan di
peringkat awal lagi oleh satu garisan lurus yang merentas Selat Melaka pada
tahun 1824 hasil persetujuan British dan Belanda. Justeru negara Islam yang
jumlahnya 69 buah dan menempatkan 1.6 billion umat Islam tidak mampu membela
saudara seagamanya di Palestin. Hakikatnya Palestin di kelilingi oleh
negara-negara Arab-Islam yang kaya-raya dengan hasil petroluemnya tetapi
seolah-olah mandul tidak dapat berbuat apa-apa.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah.
Ketidakpedulian umat Islam terhadap saudaranya di Palestin lebih parah
dari sekadar kegagalan memenuhi tuntutan ukhuwah. Sebabnya ialah bumi Palestin
bukan sekadar satu dari wilayah umat Islam yang dikuasai oleh musuh, tetapi
lebih penting dari itu ia adalah tanah suci umat Islam. Mungkin umat Islam
terlupa bahawa kita punya tiga tanah suci dan bukan dua. Di samping Makkatul
Mukarramah dan Madinatul Munawarah, kita punya tanah suci yang ketiga iaitu
Baitul Maqdis di mana terletaknya Masjid al-Aqsa. Ia menjadi transit atau
tempat persinggahan Nabi Muhammad SAW dalam peristiwa Isra dan Mikraj. Ia
mengisyaratkan Baitul Maqdis mempunyai makna yang cukup besar bagi Rasulullah
SAW dan bagi umat Islam. Di samping itu Masjid al-Aqsa itu sendiri mempunyai
pelbagai kelebihan berdasarkan hadis-hadis yang berkaitan. Bersembahyang di
masjid al Aqsa menjanjikan pahala sehingga lima ratus kali lipat berbanding
bersembahyang di tempat yang lain.
“Solat di Masjidil Haram adalah sama dengan 100,000 kali solat (di
tempat lain), dan solat di masjidku (di Madinah) adalah sama dengan solat 1000
kali, dan solat di Baitul Maqdis adalah sama dengan 500 kali solat.” – Riwayat
at-Tabarani
Masjid al Aqsa juga merupakan kiblat pertama umat Islam sebagaimana yang
dinyatakan berikut.
Al-Hazimi mengemukakan satu riwayat daripada al-Barra’ bin `Azib:
Daripada al-Barra’ bin `Azib bahawa perkara yang dilakukan oleh Rasulullah SAW
apabila sampai di Madinah ialah menemui datuk neneknya dari kalangan Ansar dan
baginda bersembahyang mengadap ke arah Baitul Maqdis selama 16 bulan atau 17
bulan.
Rasulullah SAW juga menganjurkan agar umat Islam menziarahi Masjid
al-Aqsa dan bersama dalam menguruskannya.
Abdullah ibn umar bertanya pada Rasulullah SAW, “Ya Rasulullah,
terangkan kepada kami hukum menziarahi Baitul Maqdis.” Jawab Rasulullah
SAW, “Ziarah dan solatlah di sana. Sekiranya tidak mungkin (ziarah dan
solat) maka kirimkanlah minyak untuk lampu-lampu (bagi menerangi masjid).” –
Sahih Bukhari
Jika membiayai pengurusan masjid manjadi tanggungjawab seluruh umat
Islam apatah lagi tanggungjawab untuk membebaskannya dari penaklukan dan cengkaman
musuh. Lantaran itu Saidina Umar al-Kahttab RA telah mengistiharkan Baitul
Maqdis yang melingkari Masjid al-Aqsa sebagai tanah wakaf umat Islam yang wajib
dipertahankan sepanjang zaman sebaik sahaja menerima kunci kota tersebut
setelah ianya dibuka dan dibebaskan dari cengkaman kerajaan Rom Timur
(Byzantium).
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah.
Peristiwa Nakbah yang telah dirancang sejak tahun 1897, disususli dengan
penaklukan British ke atas Palestin pada tahun 1917, direstui oleh Parlimen
British melalui lobi Yahudi yang mengizinkan bangsa Yahudi untuk memasuki
Palestin sebagaimana yang termaktub dalam deklarasi Balfour 1917, dan
pembahagian Palestin kepada negara Arab dan Yahudi oleh resolusi PBB 181 pada
tahun 1947 dan pencerobohan pengganas-pengganas Yahudi yang merampas tanah air
rakyat Palestin pada tahun 1948 sebenarnya adalah titik hitam kepada
penderitaan yang berlanjutan sehingga kini.
Pengistiharan negara haram Israel pada tahun 1948 telah membuka laluan
kepada penaklukan seluruh bumi Palestin pada tahun 1967. Pada tahun tersebut
Baitul Maqdis timur di mana terletaknya Masjid al-Aqsa, Tebing Barat dan
Semenanjung Gaza diduduki oleh Israel. Masjid Al-Aqsa terus dikepung dan
dikuasai oleh Yahudi Zionis sehingga ke hari ini. Mereka telah melakukan
pelbagai rancangan jahat untuk meruntuhkan masjid tersebut termasuklah dengan
peristiwa pembakaran masjid pada 21 Ogos 1969 dan meletakkan bahan letupan di
bawah binaan masjid. Di samping itu mereka juga menggali terowong di bawah
masjid serta mendirikan kuil (synagogue) sementara di
bawah permukaan masjid. Kesemua peristiwa ini gagal untuk menggerakkan dhamir
umat Islam untuk berjuang bersungguh-sungguh untuk membebaskan tanah sucinya
sebagaimana yang pernah dilakukan oleh Salahuddin al-Ayubbi ketika Baitul
Maqdis dikuasai oleh kaum salibiyyah.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah.
Apa yang lebih mengecewakan lagi ialah sikap pemimpin-pemimpin negara
umat Islam terhadap isu Palestin. Di saat ini ketika rakyat Palestin di Gaza
menghadapi kepungan paling dahsyat sehingga sampai ke tahap membunuh, pemimpin
negara-negara Islam diam membisu seribu bahasa. Rakyat Gaza berhadapan dengan
sekatan bahan api, bekalan elektrik dipotong, tidak ada barangan yang boleh
dibawa masuk atau keluar, terputus bekalan ubat-ubatan, makanan dan keperluan
asas yang lain, bahkan bekalan klorin untuk merawat air minuman juga dinafikan
kepada mereka.
Hari ini pesakit-pesakit meninggal semata-mata kerana hospital tiada
bekalan elektrik dan tidak dapat membekalkan ubat-ubat untuk peyakit kronik
seperti pesakit buah pinggang, kencing manis dan kanser. Ini tidak termasuk
rakyat Palestin yang dibunuh oleh tentera Israel yang melancarkan serangan demi
serangan ke atas penduduk awam. Bilangan orang awam yang terbunuh akibat
serangan peluru berpandu dan bedilan meriam Israel untuk tahun ini sahaja telah
mencecah ratusan, termasuk kanak-kanak dan orang tua yang tidak berdaya. Dalam
keadaan yang begitu kritikal apakah yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin
negara umat Islam?
Walau bagaimanapun janji Allah itu benar. Tidak ada sesuatu pun kehendak
Allah yang boleh disekat. Kita menyaksikan hari ini bagaimana rejim-rejim
negara Arab yang mengkhianati saudara-saudara seagama di Palestin ditumbangkan
oleh rakyatnya satu persatu. Rejim Hosni Mubarak yang telah menindas rakyatnya
selama lebih dari 30 tahun dan mewarisi satu pemerintahan yang melaksanakan
dasar Amerika Syarikat dan melindungi Israel akhirnya dijatuhkan dengan penuh
penghinaan. Kembalinya gerakan Ikhwan Muslimin yang telah memimpin umat Islam
selama lebih 80 tahun di Mesir tetapi ditindas selama ini adalah berita yang
amat menggembirakan umat Islam seluruh dunia. Ikhwan Muslimin yang berada di
barisan hadapan mempertahankan negara Palestin sejak perang 1948 insya Allah
akan kembali memimpin umat ini untuk mengembalikan baitul Maqdis dan Masjid
al-Aqsa kepada umat ini.
Abu Hurayrah menyampaikan dari Rasulullah SAW, “Sebahagian dari umatku
tidak akan berhenti berjihad di pintu-pintu Dimashq (Damsyik) dan di
pintu-pintu al-Quds (Palestin) dan di sekelilingnya. Pengkhianatan dan
pembelotan bagi sesiapa yang berkhianat tidak akan menyakiti mereka sedikitpun.
Mereka akan tetap menang, mempertahan kebenaran sehingga saat datangnya
kiamat.” – Riwayat At-Tabarani
Allah SWT adalah adalah sebaik-baik perancang. ”Mereka merancang dan
Allah merancang dan Allah adalah sebaik-baik perancang.” – Surah al-Imran ayat
54
وَمَڪَرُواْ وَمَڪَرَ ٱللَّهُۖ وَٱللَّهُ
خَيۡرُ ٱلۡمَـٰكِرِينَ
Manusia tidak dapat mengatasi perancangan Allah. Turki adalah satu
contoh yang amat jelas. Musuh-musuh Islam menjatuhkan Khilafah Uthmaniah dan
meletakkan Mustafa Kamal Antartuk untuk menegakkan sistem pemerintahan sekular
yang anti Islam. Mereka mahu memastikan khilafah Islam yang pernah menaungi
dunia Islam ini tidak akan bangkit lagi. Justeru apabila Israel berdiri pada
tahun 1948, Turki adalah antara negara yang paling awal mengiktirafnya. Turki
menjadi sekutu paling kuat Israel.
Tetapi apa yang berlaku? Bibit-bibit tarbiyah
imaniah yang disemai oleh Syeikh Badiuzaman Syed Nursi akhirnya melahirkan
pemimpin-pemimpin islam yang kembali meletakkan asas-asas Islam dalam
pemerintahan. Dengan penuh hikmah Raccip Tayyep Erdogan menggunakan hubungan
diplomatik yang wujud di antara negaranya dan Israel untuk menekan dan mengugut
Israel. Bahkan Turki kini menjadi negara yang menerajui usaha-usaha memecahkan
tembok kematian yang dibina oleh Israel untuk menjerut rakyat Palestin di Gaza
dengan misi-misi kemanusiaan Mavi Marmara, Land
Convoy, misi Ramadhan dan beberapa misi AQSA2Gaza yang dijangka akan memasuki
Gaza mulai bulan Mei hingga September ini.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah.
Kita ingin mengingatkan seluruh umat Islam, isu yang berkaitan dengan
permasalahan bumi Palestin bukan isu politik tetapi ia adalah isu yang berkait
langsung dengan akidah umat Islam. Apakah jawapan yang bakal kita berikan nanti
di hadapan Allah SWT, apabila umat Islam membiarkan saudara-saudara seagamanya
dizalimi, dianiaya, dibiarkan mati kebuluran bahkan dibunuh dengan kejam oleh
rejim Zionis Yahudi? Kekecewaan dan rasa dukacita kita terhadap kebobrokan
sebahagian umat Islam dan pemimpin-pemimpinnya terubat apabila kita teringat
kepada hadis Rasulullah SAW yang memberi khabar gembira dari sebegitu banyak
hadis. Di antaranya:
Nahik Ibn Surim al-Sakuni menyampaikan dari Rasulullah SAW, “Kamu akan
memerangi golongan kafir sehingga sebahagian kamu yang tinggal akan berperang
di Sungai Jordan, kamu di sebelah timur (Jordan pada hari ini) dan mereka di
sebelah barat (Palestin yang terjajah).” – Dari Ibn Hajar al-Asqalani
Muadz bin Jabal menyampaikan dari Rasulullah SAW, “Allah Maha Besar akan
member kamu kekuatan untuk menawan as-Syams (Palestin) selepas
kewafatanku.Orang laki-laki dan wanita akan bertahan di sana sampai kiamat.
Sesiapa di kalangan kamu yang memilih salah satu dari pantai-pantai as-Syams
(termasuk Gaza) atau Baitul Maqdis adalah mereka itu berada di dalam jihad
sehingga hari pengadilan.”
Rasulullah SAW mengatakan berhubung penghuni Tanah Suci (al-Quds),
“Mereka dan isteri-isteri mereka, anak-anak mereka dan hamba (pembantu-pembantu
mereka – lelaki dan perempuan) adalah di dalam ‘ribat (pengawal pada kubu) pada
jalan Allah.”- At-Tabarani
Muawiyah bin Abi Sufyan menyampaikan dari Rasulullah SAW, “Ada di
kalangan umat ku yang sentiasa berada di atas al-haq. Tiada sesiapa yang
menentang mereka akan menyakiti mereka sehingga datangnya kiamat.” Para sahabat
bertanya, “Di mana mereka itu?” Rasulullah SAW menjawab, “Mereka berada di
Baitul Maqdis dan di sekitar Baitul Maqdis.” – Imam Ahmad
Hadis-hadis yang terbit dari lidah Rasulullah SAW adalah satu bukti
bahawa apa yang berlaku pada hari ini adalah satu kebenaran yang telahpun
disusun oleh Allah SWT. Kita pada hari ini amat beruntung kerana para sahabat
hanya mendengar beritanya dari Rasulullah SAW sedang kita menyaksikan dengan
mata kepala kita sendiri. Alangkah ruginya jika kita tidak mengambil sebanyak manfaat
dari peristiwa ini untuk menyuburkan iman kita dan keyakinan kita untuk
berjuang pada jalan Allah?
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِى
الْقُرْآنِ الْعَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الأيَاتِ
وَالذِّكْرِ الْحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ
السَّمِيعُ الْعَلِيْمُ. أَقُوْلُ قَوْلِيْ هَذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ
الْعَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ
وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ الأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالأَمْوَاتِ، فَاسْتَغْفِرُوْهُ،
إِنَّهُ هُوَ الْغَفُوْرُ الرَّحِيْمُ.
15 Mei 2012 (Sempena Bulan Naqbah)
Prof Madya Dr. Hafidzi Mohd Noor
Pengerusi Aqsa Syarif