Jumaat, Mei 29, 2009

Sila Bersihkan Teratak!

Salam’alaik.

Terasa teramat lama tidak aku menulis. Sekali kita memulakan penulisan blog, seharusnya ada konsistensi dalam penulisan. Ya, itu yang cuba aku lakukan, istiqamah. Pernah dalam saat2 ini ingin sahaja aku menutup blog ini dengan rasminya. Tapi, apabila difikirkan kembali, tidak perlulah begitu. Jika aku lakukan demikian aku telah menyekat salah satu kemahuan dan hobiku, juga aku telah memutuskan usaha dakwahku melalui penulisan. Tapi, benarkah telah aku capai tujuan dakwah melalui penulisan ini? Aku takut andai penulisanku sendiri tidak sampai maksud untuk memberikan pengajaran dan teladan buat sahabat. Doaku, semoga sedikit sebanyak penulisanku memberikan manfaat kepada kalian yang membaca, andai tidak banyak, sedikitpun Alhamdulillah.

Aku tidak mahu memberikan sesuatu yang berat kepada sahabat, kerana aku sendiri merasakan aku masih di tahap awal proses tarbiah. Aku menulis dengan maksud untuk mentarbiah diriku sendiri, Insya-Allah. Ilmu juga masih tidak mencapai tahap seorang yang mampu memberikan banyak. Maaf ya sahabat untuk sebarang kesalahan kata dalam penulisanku. Aku masih lagi ibarat seorang bayi yang baru mula bertatih. Satu, dua tiga langkah, oops, terjatuh. Bangkit, cuba untuk melangkah lagi, tapi jatuh lagi. Itulah aku, masih dalam pembinaan diri untuk terus teguh dan gagah berdiri.

Aku masih mencari ilham, apa yang ingin aku tulis hari ini, bukanlah sangat berkelapangan tika ini, tapi, sementara membuat sedikit ‘research’ tentang ‘design dan elements’ yang akan kami aplikasikan untuk projek kali ini, aku mencuri sedikit masa untuk menulis.

Sejak akhir2 ini aku terasa benar2 jauh. Jauh daripada apa? Jauh dari Sang Pencipta. Sudah jauh. Diri tersangat risau. Aku rindu saat aku mengikuti Program Pengajian Pondok. Terasa benar2 rindu, hidup dalam serba sederhana menyebabkan aku terasa lebih dekat dengaNya. Aku rindukan suasana itu. Mengambil wuduk di tepi perigi, berdoa mendongak ke langit, melihat luasnya ciptaan Allah. Sangat menenangkan. Aku dan sahabat hanya belajar perkara asas Fardhu ‘Ain di sana. Tapi, aku tersedar, Asas Fardhu’ain juga masih terlalu banyak yang tidak aku tahu. Astaghfirullahal’adzim… Dalam keadaan seperti ini, layakkah aku bergelar seorang dai’e?

Aku buka buku Bahtera Penyelamat : Fathi Yakan, sampailah pada tajuk kedudukan hati dalam diri. (ahli kumpulan lain sibuk dengan macam2 perkara, maafkan aku, aku perlukan sedikit sarapan pagi ini. Terpaksa aku lupakan seketika beban kerja. ) Tertulis di mukasurat 102, ‘tiap da’i hendaklah insaf bahawa pengisian hatinya hendaklah lebih diutamakan daripada segala2nya. Kalau jasad dan ‘aqalnya diberi habuan dan ubatan untuk berfungsi dengan sempurna, maka demikianlah juga hati. Ia patut meningkatkan dan menjaga hatinya. Dengan hati inilah ia menjadi da’i, ia menjadi mu’min yang sebenar.’

Ya Allah, terasa berat taklifat ini. Menjaga hati, tapi, kenapa harus terasa berat? Sebab, hati itu adalah raja. Hati juga ibarat suis utama kepada anggota badan. Apabila ditekan suisnya, ‘on’, andai baik kondisinya, maka, semua anggota berfungsi. Andai baik hati, maka baiklah seluruh anggota badan kita. Insya-Allah.

Kerana semua ini, apabila diberikan taklifat sebagai naqibah usrah, untuk membawa adik2 ke dalam proses tarbiyah, aku terasa tersangat berat. Aku menerima, tapi, aku tersangat risau, tidak aku tahu mampukah aku menjadi sebagaimana Kakak2 naqibahku dahulu. Aku masih rindukan usrah selepas waktu subuh, aku masih rindukan usrah di Pj yang banyak menyentuh tentang pengisian hati. Aku masih rindu untuk di ‘beri’ dan di ‘suap’, tapi sampai bila? Kini tiba masanya aku ditaklifkan untuk memberi dan menyuap pula. Tapi, aku takut aku tidak mampu menyentuh hati adik2 dan tidak mampu untuk mengenyangkan mereka dengan suapan kecil daripadaku. Aku takut aku tidak mampu memberikan banyak ilmu kepada mereka. Pengetahuanku banyaknya hanya bersaiz sekecil semut merah. Jadi, apa yang mampu aku berikan?

Entri kali ini sekadar ingin membersihkan teratakku yang dikatakan telah berkulat ini. Sebarang kesalahan dalam penulisan yang tidak dirancang ini harap dimaafkan. Mungkin tidak dapat aku berikan banyak pengisian memandangkan jujurnya, aku telah lama meninggalkan sahabat2 ku yang bernama ‘buku’. Mungkin kerana itu jugalah aku terasa teramat kosong. Iman boleh berkurang dan bertambah dan aku teramat takut akan hakikat itu.

‘Ya Allah, Kau thabatkanlah hati kami dan langkah kaki kami dalam jalan perjuangan ini.’

Wallahu’alam.

Ahad, Mei 17, 2009

Kenangan Pencetus Kebangkitan2

ADA APA PADA NAMA?

Antara faktor kebangkitan aku dahulu adalah kerana sebuah nama. Muna, menjadi salah satu inspirasi bagiku untuk terus berusaha mencapai kejayaan. Aku tahu, akulah harapan keluarga. Masih aku ingat, kata mak nama Muna adalah sempena sebuah cita2 yang tercapai. Apa cita2 tersebut? Untuk mendapat anak perempuan. Dan selepas tiga nya lelaki barulah hajat emak dan ayahku tercapai. Dipanggil Muna kerana Munalah harapan.

Dan, aku tahu, aku juga menjadi harapan keluarga untuk mencipta kejayaan. Jadi, sudah semestinya aku mesti bertungkus lumus untuk itu. Dan, tika itu, itulah ‘mind setting’ ku. Alhamdulillah, sebuah kejayaan semasa PMR, aku dapat lihat emak menangis gembira dan itulah juga yang menggembirakanku. Dan, sebuah kejayaan juga semasa SPM, emak dan ayah berkira untuk melihat aku menjadi seorang doktor. Tapi, tidak, aku nekad untuk mengambil bidang senibina. Sekarang aku ingat mengapa aku di sini. Memang atas kehendakku sendiri. Jadi, kisah bahtera Nabi Nuh dan kisah sebuah nama kenapa harus aku lupa? Kenapa aku terlupa bagaimana keyakinan dan semangat seorang aku dahulu sehingga membawa aku ke sini?

‘Salam. Kak Yan, terima kasih atas nasihat Kak Yan hari tu. Najah akan ingat sampai bila2. Najah berazam biar najah tu betul2 menjadi kenyataan. Insya-Allah.’

Aku tersenyum membaca mesej daripada adik bernama Najah. Aku suka namanya, sebuah nama yang mampu membangkitkan semangat untuk terus berusaha mencapai kejayaan. Doaku buat Najah dan semua, ‘Semoga kalian berjaya di dunia dan akhirat. Amin.’

BELAJAR DARIPADA ADIK2

Apabila terkenangkan saat2 itu, betapa aku ini perlu meyakinkan adik2 tentang nikmat sebuah kejayaan. Itulah kali pertama sebenarnya aku belajar untuk menyampaikan. Merekalah sebenarnya yang mengajar aku untuk berkata2. Mereka jugalah yang mengajar aku untuk bangkit mencari semula punca kejayaan. Ya, itulah hakikatnya. Aku hanya memberikan sepatah dua kata, selebihnya terpulang kepada semua. ‘Adik, akak suka tekankan, untuk berjaya kita kena jaga dua perkara. Tahu tak apa dua perkara tu?’ Ada yang menggeleng tidak tahu, dan ada juga yang jawab, ‘solat!’ Aku mengangguk dengan jawapan tersebut, ‘Ya, solat kita kena jaga. Tapi, 2 perkara yang akak maksudkan adalah hubungan kita dengan Allah dan manusia. Inilah juga yang menjadi faktor kita berjaya. Insya-Allah. Hubungan kita dengan Allah harus dijaga dengan cukupkan solat, laksanakan kewajipan puasa dan sebagainya, manakala hubungan kita dengan manusia, kita perlu menjaga hati ibu, ayah, guru2, kawan2 dan semua yang ada di sekeliling kita’

‘Adik2 solat mesti penuh. Tu kan tiang agama. Kalau boleh buat solat hajat juga. Dan, kalau mampu, puasalah sunat.’ Aku tidak pasti adakah aku telah memberikan topik yang berat buat pelajar tingkatan 3 atau tidak. Aku tahu, ada segelintir daripada mereka masih tidak cukup solat. Bagiku itu adalah perkara biasa. Muda mudi yang masih remaja, aku tidak menyalahkan mereka kerana ada antara mereka yang tidak tahupun akibat melanggar perintah Allah, dan ada antara mereka juga yang tidak disuruhpun untuk solat. Tapi, aku gembira apabila ada usaha daripada mereka untuk mengetahui dan mengambil tahu.

‘Salam, Kak boleh saya tanya tentang qadha solat?’ Mesej Nizam pada suatu hari. Soalan seperti ini menyebabkan aku tahu, mereka bukan tidak mahu cuma mereka tidak tahu lalu mengambil inisiatif untuk mengambil tahu.

‘Kak, esok saya nak puasa sunat, macam mana niatnya ya?’

‘Kak, akak tahu tak, masa akak suruh pejam mata dan bayangkan keputusan selepas PMR dan bayangkan masa depan, Ika nampak satu jalan yang sangat lurus dan Ika gembira sangat. Apa tandanya?’

Bertubi2 soalan daripada adik2. Aku cuba menjawab dengan sebaik mungkin, tidak mahu melunturkan semangat mereka. Dan, sebenarnya, daripada mereka juga aku belajar sesuatu. Aku belajar untuk mengimbas kembali apakah faktor sebuah kejayaan. Aku belajar untuk mengimbas kembali bagaimana perasaan memperoleh kejayaan. Dan, sekarang, aku harus kembali bangkit. Jangan hanya pandai berkata2 menasihati orang sedangkan diri tidak kuat untuk menghadapi cabaran. Semoga berjaya buat semua! Boleh jadi hanya inilah sumbangan terakhir kita sebelum meninggalkan dunia. Masih aku ingat, selepas kematian arwah Kak Hajar, tiba sekeping surat daripada UIA di rumahnya, rupanya arwah Kak Hajar telah berjaya menerima anugerah dekan. Sehingga ke saat akhir hidupnya, masih memberikan bunga bahagia buat keluarganya. Sesuatu yang sangat aku kagumi dan harus kita contohi.insya-Allah.

Sekadar nasihat dan tulisan buat diriku sendiri yang sering saja lupa. Untuk bangkit, kenanglah kembali kejayaan kita yang pernah kita kecapi dulu. Ia tersangat manis tapi, dikecapi setelah melalui seribu keperitan dan kesusahan. Sampai di sini dahulu. Wallahu’alam.

'Aku harus bangkit! Kita harus bangkit!'