Selasa, Ogos 30, 2016

Saat Kematian

Di luar jendela. Gelap. Awan sedang berarak membawa kandungan yang sungguh berat. Hitam pekat. Sekejap saja lagi mungkin, maka gugur lah kandungan itu sebagai hujan bagi menyejukkan bumi. Awan itu, mungkin awan yang sama baru tiba dari kepulauan melayu. Siapa tahu? Tetapi lebih besar kemungkinan yang gelap gelita itu adalah cebisan awan hasil tiupan taufan dari Tokyo sana. Kawan lab cakap, “typhoon is coming! Perhaps tonight.”  
.
Sungguh aku merindukan tanah air ku. Walau sekejap cuma aku berada jauh di tanah orang, namun tetap kurindukan dan tak pernah lekang sedetikpun ingatan ku pada tanah tumpah darahku itu. Semalam kira-kira jam 8 malam waktu Sapporo, aku menerima perkhabaran sedih. Tok saudaraku telah kembali ke rahmatullah. Antara tok saudara yang paling rapat dan banyak berkongsi cerita setiap kali berjumpa. Rapat kerana rumah hanya beberapa langkah. Terlalu dekat. Dan yang paling selalu Tok Pa Tanya aku, ‘Muna, bila nak ajar Tok Pa auto cad?’ Sering, soalan yang sama.  Padahal, aku tidak pernah master autocad. Terkial2 mahu mengingati segala shortcut. Apatah lagi sekarang. Mungkin langsung sudah kulupa semuanya. Ingin dibuka aja,mungkin gagal.
.
Yang terakhir ku temui arwah Tokpa adalah pada hari raya yang lepas, iaitu betul-betul sebelum berhijrah ke Hokkaido. Waktu itu sudah dirasakan sesuatu yang berbeza, kesihatannya sentiasa terjejas dan aku punya perasaan yang lain dalam hati namun kudiamkan. Al fatihah untuk Tokpa, dan tidak lupa untuk Tok Ayah yang genap setahun hari ini pemergiannya. Dan, sungguh aku bertuah sempat mengenali dua susuk tubuh yang penuh kata hikmat dan pengalaman ini. Walau mungkin tidak banyak kenangan bersama, namun yang secebis itu tetap kukenang sampai bila-bila. Untuk Tok Ayah, aku sentiasa ingat perwatakannya yang lembut, dan sentiasa ku ingat nyanyian lagu Negara Jepun yang tersimpan elok dalam kotak memorinya. Membesar dalam zaman penjajahan Jepun- pengalamannya jika beliau menulis pasti tidak cukup sebiji buku diterbitkan.
.
Al Fatihah untuk yang telah pergi. Juga yang sentiasa hadir kepadaku, yang sentiasa dikenang jua adalah, arwah Che Cik. Yang paling diingati kerana terlalu banyak juga waktu kami bersama. Sepanjang waktu Che Cik sakit, itulah waktu yang paling banyak aku bermuhasabah. Soal kematian dan kehidupan. Betapa kematian itu dekat dan betapa kehidupan ini sungguh sekejap. Setiap kali terjaga di lewat malam tika itu, perkara pertama akan aku lihat dan rasa adalah degup jantungnya. Semangatnya untuk terus hidup benar-benar memberi semangat kepadaku, dalam setiap perkara yang dilakukan, ‘jangan pernah putus asa!’ Merasai ada rentak dan irama degup jantung itu sungguh indah.
.
Juga degup jantungku hari ini, setiap hela nafasku pada hari ini, syukur padaNya yang masih memberikan ruang dan waktu untuk membetulkan dan memperbaiki hidup. Sungguh, Dia telah mencukupkan bagi aku semuanya. Rezeki yang tidak pernah putus dan sentiasa cukup.
Selagi diri ini hidup, harus lebih banyak belajar dan memperbaiki diri. Sebuah kematian- itu adalah satu peringatan yang benar-benar menyentap jiwa. Permainan emosi yang boleh jadi sangat dasyat. Sebuah peringatan yang paling terkesan dalam diri. Lihatlah sebuah kematian, saat itu kita akan rasa takut dan bimbang, bagaimana agaknya, akhir hayat kita nanti? Justeru, perbaiki diri. Semoga pengakhiran yang baik buat kita semua. Tidak kira di sudut bumi manapun kita berada. Amiin~
.
Dan, langit gelap terus gelap. Masih belum tanda mahu menggugurkan rahmatnya. Mungkin benar, ‘typhoon is coming- tonight!’ ~
.
Otsukare sama desu~
.
1655, 30 Ogos 2016,
Makmal Pengurusan Sisa Pepejal,
Fakulti Kejuruteraan,

Hokkaido Universiti, Hokkaido,
Jepun.

Tiada ulasan: