Ahad, September 13, 2009

Fasa 3 Ramadhan : Pesanan Buat Diri

Hari kelmarin telah berlalu

Ia menjadi saksi yang jujur

Menyusul kemudian hari baru

Mengisi kehidupanmu yang telah mundur

Jika engkau pergunakan harimu itu

Manfaat yang engkau peroleh akan kembali kepadamu

Sedang hari yang telah berlalu

Tidak akan pernah menghampirimu

Jika kelmarin engkau berbuat kekejian

Maka padukanlah dengan sebuah kemuliaan

Janganlah engkau berharap esok melakukan kebaikan

Jangan2 ketika hari esok datang

Engkau telah menghilang

-Mahmud bin Al Husayn-

Salam'alaik.


Sudah beberapa hari berada di rumah. Memang seronok apabila berada di samping keluarga. Tapi, kurasakan lebih bermakna apabila Ramadhan ini aku berada dalam komuniti UIA. Bukanlah apa, sering telinga ini mendengar nasihat2 dan tazkirah2 sahabat yang menyuburkan lagi iman di hati ini sebaik sebelum waktu berbuka tiba. Berbuka puasa di SHAS sangat meriah. Yang tidak dikenali lantas menjadi kenalan rapat. Silaturahim terjalin semakin erat. Dan, itulah saat yang sangat bermakna yakni menambah kenalan dan sahabat. Kukira hari2 terakhir Ramadhan ini pasti SHAS penuh dibanjiri umat yang ingin memburu lailatul qadar. Teringat aku pada sahabat2 yang masih berada di UIA untuk berittikaf di SHAS. Ruginya aku. Tapi, tak mengapalah, Ramadhan bagi kedua ibu bapaku pasti lebih bermakna apabila anak2 pulang berada di samping mereka. =)


Memburu Lailatul Qadar


Sering aku melihat, dan sering aku rasakan… Hari2 terkahir Ramadhan terlebih suram daripada kebiasaan. Aku teringat pada hari pertama Ramadhan, Subhanallah, SHAS benar2 dibanjiri bukan sahaja warga UIA malah orang luar juga. Tiada lagi saff kosong yang tinggal, semuanya dipenuhi umat Islam yang ingin merebut pahala sunat Ramadhan yang istimewa. Tidak kira muslimin dan muslimat. Dan aku rindukan pemandangan seperti itu, pada Ramadhan pertama yang manusia berebut2 untuk berada di saff hadapan.


Seharusnya momentum ibadat di akhir Ramadhan perlulah ditingkatkan semaksima mungkin. Kerana pada fasa ketiga Ramadhan inilah punya satu malam yang cukup istimewa. Malam seribu bulan. Sering saja kita diingatkan tentang malam yang istimewa ini. Tapi setakat mana sudah kita beribadat padanya?Aku sendiri tidak pasti samada aku telah terlepas malam itu atau belum. Kadang2 aku terasa seakan diri ini tidak layak untuk memperoleh malam istimewa tersebut. Tapi, tetap di dalam hatiku mengharapkan aku berjaya memperolehinya. Moga2 kita semua memperolehnya. Amin.


Momentum Sepanjang Tahun


Ramadhan sering disebut sebagai ‘madrasah Ramadhan’. Mengapa? Kerana padanyalah kita banyak bermuhasabah dan padanyalah kita semua berlumba2 untuk membuat amal kebaikan sebanyak mungkin. Padanya kita memperoleh seribu keinsafan, padanya juga kita mengalami proses tarbiyah. Pada fatrah ini kita dilatih untuk bersabar, kita dilatih untuk bersyukur dan kita dilatih untuk beramal. Tapi, adakah hanya di bulan ini kita melakukan ini semua? Wahai diri, wahai sahabat2, bukanlah begitu. Pada madrasah ini kita menuntut ilmu, pada madrasah ini kita banyak beramal. Maka, pada luar madrasah ini seharusnya kita istiqamah melakukan semua itu. Sebagaimana di sekolah kita menuntut ilmu, adakah ilmu kita hanya berakhir di situ? Tidak bukan? Ilmu yang kita peroleh haruslah dipraktikkan melalui pekerjaan dan setiap perbuatan kita sebaik kita tamat pengajian.


Begitulah ibaratnya madrasah Ramadhan. Sebelas bulan yang lain ibarat penentu amalan kita pada madrasah Ramadhan samaada berkesan ataupun tidak. Andai Ramadhan tidak juga mampu mencorak amalan baik pada bulan yang lain, ini bermaksud ada sesuatu yang tidak kena dengan amalan Ramadhan kita. Dan, di sinilah istiqamah memainkan peranan yang sangat penting. Istiqamah melakukan amal kebaikan, Sebagai contoh, qiammullail bukan hanya dalam Ramadhan, tetapi juga di bulan yang lain. Sedekah jariah juga bukan sekadar dalam Ramadhan tetapi juga dalam bulan yang lain. Barulah bermakna Ramadhan kita kali ini kerana telah berjaya mencorak diri kita untuk terus istiqamah beramal. insyaAllah.


Akhir kalam. Kata orang, jadilah kita hamba Rabbani bukan hamba Ramadhani. Salam memanfaatkan sisa2 terakhir Ramadhan daripadaku buat semua. Tingkatkan momentum ibadat dan amal kebaikan, semoga kita terus istiqamah melakukannya sehingga akhir hayat.


Wallhu’alam. Wassalam.

Rabu, September 02, 2009

Setabah Ka'ab bin Malik

Salam’alaik
.

TIDAK TERTANGGUNG OLEHKU UJIAN INI!


Malam itu, 9 Ramadhan. Sudah aku ceritakan tentang Ka’ab bin Malik yang tidak turut serta berperang. Malam itu, kisah Ka’ab bin Malik telah membuka pintu hatiku dan telah menetapkan dalam hatiku untuk terus berjuang atas landasan kebenaran dan Islam yang dicintai ini. insyaALlah. Aku baru sahaja diuji sedikit. Sekadar sebesar habuk yang berterbangan berbanding sahabat Nabi Muhammad SAW itu yang diuji dengan ujian yang sangat besar. Tidak besarkah ujian andai kita dipulaukan oleh segenap umat manusia? Sungguh, tidak termampu olehku!


KA’AB BIN MALIK DIPULAU


Setelah memberikan alasan yang jujur, Rasulullah SAW berkata kepada Ka’ab bin Malik, “Kini, pergilah kau sehingga Allah menurunkan keputusan-Nya kepadamu!” Beberapa ketika kemudian Ka’ab bin Malik dan dua lagi sahabat yang berkata benar tidak lagi dibenarkan berbicara dengan orang lain. Begitu sekali denda yang harus diterima oleh Ka’ab bin Malik kerana tidak menunaikan kewajipan jihad. Bukan setakat itu sahaja, malah, Ka’ab bin Malik turut menerima pandangan serong masyarakat sekeliling. Ramai yang menyalahkannya dalam urusan ini sehingga pernah terdetik di hatinya seakan mahu berpatah masa dan memberikan alasan palsu kepada Rasulullah sebagaimana yang dilakukan oleh 80 yang lain.


‘Tak lama setelah itu, aku mendengar Rasululah melarang kaum muslimin berbicara dengan kami bertiga, di antara lapan puluh orang yang tidak ikut dalam perang tersebut. Kami memencilkan diri daripada masyarakat umum. Sikap mereka sudah lain kapada kami sehingga rasanya aku hidup di suatu negeri yang lain dari negeri yang aku kenal sebelumnya.’


Dan, kerana ujian yang sedikit ke atasku ini, seharusnya aku mencontohi ketabahan Ka’ab bin Malik dalam mendepani hari2nya. Betapa dia tabah, dan betapa dia sabar dalam menghadapi ujian tersebut. Jika difikirkan, bolehkah seorang manusia hidup dalam keadaan dia tidak boleh berbicara dengan orang lain? Dan bolehkah manusia hidup seratus peratus hanya bergantung pada dirinya sahaja? Ya Allah, jika itu aku, betapa kosongnya dunia dan aku memang tidak mampu hidup begitu!Aku memang tidak berdaya!


‘Kedua rakanku itu hanya menyendiri di rumah masing-masing menangisi nasib diri, tetapi aku yang paling kuat dan tabah di antara mereka. Aku keluar untuk solat jemaah dan keluar masuk pasar meski tidak seorang pun yang mau berbicara denganku atau membalas bicaraku. Aku juga datang ke majlis Rasullah SAW. sesudah baginda solat. Aku mengucapkan salam kepada baginda, hati kecilku bertanya-tanya memperhatikan bibir baginda, “Apakah baginda menggerakkan bibirnya menjawab salamku atau tidak?”’


Bukan itu sahaja ujian hidup seorang Ka’ab bin Malik, Rasulullah SAW turut tidak mengendahkan kehadirannya. Dan, kemudiannya datang juga sepucuk surat daripada raja Ghassan yang cuba menggunakan peluang untuk memanggil Ka’ab bin Malik ke Ghassan mengikut raja tersebut. Selain itu juga, Ka’ab turut menerima ujian yang lebih berat apabila terpaksa menjauhkan diri daripada isteri yang dikasihinya.


Orang-orang di pasar itu menunjuk kepadaku, lalu orang itu datang kepadaku dan menyerahkan sepucuk surat kepadaku. Surat daripada raja Ghassan. Setelah kubuka, isinya seperti berikut, “… Selain dari itu, bahawa sahabatmu sudah bersikap dingin terhadapmu. Allah tidak menjadikan kau hidup terhina dan sirna. Maka, ikutlah kami di Ghassan, kami akan menghiburmu!”


Hatiku berkata ketika membaca surat itu, “Ini juga salah satu ujian!” Lalu aku memasukkan surat itu ke dalam tungku dan membakarnya.


Pada hari yang ke-40 dari pengasinganku di kampung halaman sendiri, ketika aku menanti-nantikan turunnya wahyu tiba-tiba datanglah kepadaku seorang pesuruh Rasulullah SAW. menyampaikan pesannya, “Rasulullah memerintahkan kepadamu supaya kamu menjauhi istrimu!”


YA ALLAH, THABATKANLAH HATI INI!


Daripada kisah Ka’ab bin Malik sbenarnya banyak pengajaran yang dapat diambil. Pertamanya bermula daripada kronologi Ka’ab bin Malik tidak turut serta berjihad. Semua diseru untuk berjihad, sedangkan Ka’ab bin Malik masih ragu2 dan dilemma samada ingin turut serta awal atau menurut di belakang. Bagaimanakah kondisi kita sekarang? Adakah kita juga sedang mendepani masalah ‘malas’ dan ‘enggan’ sehingga tanggungjawab yang sepatutnya kita laksanakan tidak terlaksana? Hidup kita sering dihujani berbagai mehnah dan ujian. Apatah lagi apabila kita dinamakan pejuang Islam. Apabila ada seruan mengajak kita melaksanakn tanggungjawab sebagai seorang pejuang, apakah reaksi kita? Kadang2 seribu alasan diberikan semata2 untuk tidak melakukan sesuatu tanggungjawab. Aku tidak mengatakan ini terjadi kepada sesiapa, tetapi, sejujurnya inilah yang kadang berlaku kepada diriku sendiri. Dan, inilah nasihat yang selayaknya buat diriku yang mudah lupa.


Ya Allah, thabatkan hati ini untuk berjuang di jalanMu!


YA ALLAH, TABAHKANLAH HATI INI!


Sebaik berlaku jujur pula, Ka’ab bin Malik ditimpakan berbagai ujian hebat. Dia dipulaukan oleh semua masyarakat kampungnya. Malah, dia terpaksa berpisah daripada isteri yang dicintainya. Betapa tika itu jiwa Ka’ab bin Malik terganggu dan sedih. Tapi, di sebalik semua ujian tersebut, terserlah sifat seorang Ka’ab bin Malik yang seharusnya dicontohi. Dia sangat tabah dan sabar dalam menghadapi ujian2 tersebut. Dan, akhirnya berkat kesabaran dan doanya saban hari, dia dibebaskan daripada ujian tersebut setelah Rasulullah SAW menerima wahyu daripada Allah SWT. Dan, sifat inilah yang seharusnya kita contohi. Jika nak dibandingkan ujian yang Allah timpakan ke atas kita, tersangat kecil.


YA ALLAH, IKHLASKANLAH HATI INI!


Ketiga, Ka’ab bin Malik merupakan seorang yang ikhlas dan sangat jujur. Dalam kisah di atas kita boleh lihat sifat jujur yang ada pada diri Ka’ab bin Malik. Tapi, di mana pula ikhlasnya? Ikhlasnya Ka’ab bin Malik adalah, betapa dia ikhlas terhadap Allah dan Rasulnya. Ka’ab bin Malik tidak kisah andai masyarakat ingin memulaunya, tapi, dia tetap ke masjid untuk menunaikan solat jemaah bersama Rasulullah SAW. Selain itu Ka’ab bin Malik juga tidak berpaling daripada landasan yang lurus apabila ditawarkan kesenangan oleh Raja Ghassan. Kita? Bolehkan kita memupuk sifat ikhlas sebegitu? InsyaAllah. Semoga kita dikurniakan sifat ikhlas itu walaupun hakikatnya tiada siapa boleh menimbang dan menilai ‘ikhlas’ yang hadir pada hati kita.


YA ALLAH YAKINKANLAH DIRI INI!


Ka’ab bin Malik yakin bahawa Allah akan menurunkan wahyu pada Nabi Muhammad SAW untuk sebarang keputusan atas kesilapan yang dia lakukan itu. Dia menanti dengan sabar dan penuh redha akan sebuah jawapan daripada Allah SWT.


‘Pada waktu sedang shalat subuh di suatu pagi dari malam yang ke-50 ketika aku sedang duduk berdzikir minta ampun dan mohon dilepaskan daripada kesempitan hidup dalam alam yang luas ini, tiba-tiba aku mendengar teriakan orang-orang memanggil namaku. ‘Wahai Ka’ab bin Malik, bergembiralah! Wahai Ka’ab bin Malik, bergembiralah!”’


‘Mendengar berita itu aku langsung sujud memanjatkan syukur kepada Allah. Aku yakin pembebasan hukuman telah dikeluarkan. Aku yakin, Allah telah menurunkan ampunan-Nya. Rasulullah menyampaikan berita itu kepada shahabat-shahabatnya seusai shalat subuh bahawa Allah telah mengampuni aku dan dua orang shahabatku. Berlumba-lumbalah orang mendatangi kami, hendak menceritakan berita germbira itu. Ada yang datang dengan berkuda, ada pula yang datang dengan berlari dari jauh mendahului yang berkuda. Sesudah keduanya sampai di hadapanku, aku berikan kepada dua orang itu kedua pakaian yang aku miliki. Demi Allah, saat itu aku tidak memiliki pakaian kecuali yang dua itu.’


Yakinlah bahawa keampunan Allah pasti datang untuk hambaNya yang bertaubat dan menyesali akan kesilapannya. Dan yakinlah bahawa andai kita menolong agama Allah, Allah pasti akan permudahkan urusan kita. insyaAllah.


YA ALLAH, KURNIAKAN AKU SIFAT2 TERPUJI


Sabar, Tabah, Ikhlas, Jujur, Thabat, Yakin.


Ya Allah, masukkan ke dalam hatiku sifat terpuji yang dapat menempatkan aku di sisi Mu. Aku hamba yang lemah, yang terkadang bersifat ragu. Kau thabatkanlah aku di jalan ini. Aku bersifat lemah yang kadang menipu. Kau gantikannya dengan sifat jujur. Aku bersifat lemah, sukar untuk dipupuk rasa ikhlas, Kau ikhlaskanlah hati ini. Aku bersifat lemah yang sering berputus asa, Kau kurniakan kepadaku sebuah ketabahan agar tidak mudah putus asa. Aku bersifat lemah yang sering hilang keyakinan. Kau pasakkan keyakinan dalam diriku terhadap ketetapanMu, kebesaranMu, dan keagunganMu.Amiin.


Akhir kalam. Sampai di sini dahulu. Sebarang salah dan silapku sepanjang penulisanku harap dapat dimaafkan dan diberi teguran. Semoga Ramadhan kali ini dapat membantu kita memupuku sifat2 yang terpuji insyaAllah.


Wallahu’alam. Wassalam.