Isnin, Januari 16, 2012

Yang Memberi Hidup dan Mati

14 Januari 2012, Jumaat, pemergian Kak Ros, seorang kaunselor yang masih muda. Meninggalkan dua anak, seorang suami, dan keluarganya. Al fatihah. 

Masih ingat, sewaktu dalam rawatan di HUSM, Kak Ros cakap, Alhamdulillah dirinya memberikan kesan positif terhadap kemoterapi yang dijalani. Menghidap limfoma dan merupakan salah seorang yang sangat rapat dengan arwah Che Cik sewaktu di HUSM Kubang Kerian. Orangnya kecik2 dan sentiasa ceria dan bersemangat. Beliaulah antara yang sering memberi semangat kepada arwah Che Cik sewaktu di hospital. Sebelum Che Cik, seorang lagi antara yang rapat dengannya dipanggil dahulu, Kak Azah, menghidap leukemia. Sewaktu diberi pelepasan pulang daripada HUSM, doktor mengkhabarkan berita yang sangat berat untuk diterima, 90% sel darah putih masih dalam badannya walaupun telah tamat rawatan kemoterapi. Allahuakbar. 

Sewaktu Che Cik juga diberi pelepasan pulang (atas permintaannya), Che Cik terkejut apabila doktor mengizinkan. Waktu itu bulan Ramadhan…Che Cik teringin duduk di rumah bersama keluarga. Aku dengar perbualan Che Cik dengan Kak Azah, tiada tanda sedih, Che Cik sebut, ‘Azah kena kuat.’ Sedangkan dalam fikiranku, Che Cik lebih kena kuat. Kak Azah kelihatan lebih sihat berbanding Che Cik. Tapi, siapa sangka nombor giliran Kak Azah sampai terlebih dahulu selepas tertunai hasratnya untuk makan ikan masam manis. Tika itu, Che Cik menghampiriku, Che Cik cakap, ‘Mungkin takda harapan dah Che Cik ni…sebab tu doktor wi balik…’ Masa tu Allah saja tahu sebak diriku. Tapi, teringat pesan mak, ‘Jangan menangis depan Che Cik.’ 

Entah kenapa, aku masih terbayang2 wajah Che Cik, entah kenapa tiba2 aku rasa sangat rindu kan Che Cik. ‘Che Cik, Che Cik tahu tak Tira dapat 8A PMR? Che Cik tahu tak, Tira cakap dia sebak bila orang lain naik pentas dengan mak ayah, tapi, dia naik pentas tanpa maknya?’ Teringat waktu hari terakhir peperiksaan Tira, hari tu jugalah Che Cik pergi dan semua merahsiakan hal kematian Che Cik daripada Tira. Che Cik, Muna teringat Che Cik pernah sebut, ‘mintak2 lah sempat Tira jawab exam.’ Dan itu jugaklah yang mak, Che Ngah, dan kami semua doakan. Tak sangka, Allah makbulkan, cuma, Tira tak sempat pun tengok Che Cik buat kali terakhir. Allah…

Bila menerima khabar tentang kematian Kak Ros, semua kenangan bersama Che Cik datang menjenguk fikiran. Masa Che Cik pergi, Kak Ros ada datang melawat bersama suami dan anak2nya. Tak sangka, masa berlalu dengan pantas, dan akhirnya Allah jemput juga Kak Ros menemuiNya kemudian sedikit daripada Che Cik. Che Cik pernah cakap, ‘duduk di hospital ni, dalam seminggu ada je bebrapa kali katil ditolak ke bilik jenazah. Che Cik ni tunggu giliran je.’ Doa dipanjatkan, solat hajat didirikan, tapi, ajal maut semua di tangan Tuhan. Takkan cepat, takkan pula lambat walau sesaat. Orang sakit, atau orang sihat, semuanya sedang menunggu giliran. Entah kita yang nombor berapa?  

Inilah hidup, kita menyaksikan bayi2 dilahirkan saban hari dan kita juga menerima perkhabaran kematian yang kadang langsung tidak disangkakan. Begitulah fitrah alam, ada kelahiran dan ada kematian. Allah tahu, apa perlu dilakukan untuk menyeimbangkan kehidupan di dunia ini. Apabila saban hari menerima berita kematian, terfikir, apalah yang hendak disayangkan dengan dunia ini. Segala harta bukannya milik kekal kita. Terfikir juga, selagi masa masih ada, aku ingin sentiasa di sisi keluarga. Entah. Sebab itu juga aku tak tenang berada di sini, berjauhan daripada semua. Allah, kalau aku tahu aku yang ke berapa akan dijemput menemuiMu? Aku ingin sentiasa bersedia, moganya begitu. Aku ingin menemuiMu dalam akhlakku yang mulia untuk dipersembahkan, dalam buku amalanku yang penuh kebaikan dan bergred tinggi. Allah, peliharalah diri ini selagi nyawaku masih di jasad ini. Allah, rahmatilah aku, rahmatilah kami yang masih hidup di atas muka bumiMu ini, rahmatilah mereka yang telah kembali di sisiMu juga. Amiin.  

Untuk yang ke 23tahun, Kau berikan aku nafas, untuk yang ke 23 tahun, Kau berikan aku keupayaan untuk melihat dunia ini, untuk yang ke 23tahun, Kau tak putus memberikan aku rezeki, untuk yang ke 23tahun, Kau sempatkan aku merasai hidup ini. Terima Kasih Ya Allah, hari ini, Kau sampaikan usiaku yang ke 23tahun…Alhamdulillah…Kuharap, Selama 23tahun dalam pentas layar dunia ini, hidup ini tidak pernah aku siakan…Mengharap redha dan kasih sayangMu sentiasa… 

Catatan 16Januari2012

Ahad, Januari 08, 2012

Catatan Hari Ini Untuk Hari Esok

Menangis dengan dunia hari ini 
yang kelihatan huru hara pada pandangan mata ini
Menangis juga mengenangkan apakah nasib seorang manusia itu sebaik hari ini pada esoknya?
Menangis juga, adakah masih selamat hidup di bumi yang sudah tua ini?
dengan penghuninya yang semakin ghairah mencari harta,
yang penghuninya semakin berani membohongi dunia,
yang menyembunyikan kebenaran demi kepentingan dirinya.
yang semakin selesa membuat dosa...
yang semakin leka dengan kesenangan dan kemewahan.
yang semakin tamak haloba...
Lupakah yang hari esok itu mungkin bukan miliknya.
dengan dunia yang berada dihatinya, selamatkah dia?

Allah, tunjukkan kebenaran, balaslah kebatilan setimpalnya.


Ahad, Januari 01, 2012

Coretan Tahun Baru Masihi


Aku berharap dapat menulis sedikit bersempena tahun baru 2012 Masihi. 31 Disember 2011 di ambang melangkah ke tahun baru, banyak kisah yang aku baca(baru sempat terbaca) di dada2 blog dan akhbar online. Antaranya tentang tragedi berdarah di UPSI tentang himpunan kebebasan akademik, protes AUKU dan isu Adli, terbaca juga tentang catatan sahabat2 ke sambutan tahun baru di Dataran Kemerdekaan Shah Alam yang mencatat anggaran 80 000 rakyat Malaysia berhimpun untuk mendengar dan bertemu dengan Ustaz Azhar Idrus dan para jemputan, juga tidak kurang mendengar berita2 kemaksiatan yang masih berlaku yang menjadi tradisi malam Tahun Baru sejak bertahun2 sudah di Malaysia ini.

Ada juga catatan tidak puas hati rakyat yang cakna apabila kekejaman polis berlaku di UPSI untuk menyuraikan demonstrasi mahasiswa sedangkan tiada tindakan yang diambil untuk menyuraikan remaja2 yang asyik bermaksiat di ibu kota. Juga terbaca catatan Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat sempena tahun baru yang mencoretkan tentang -alangkah baiknya andai kita hanya mengunakan satu kelendar iaitu kalendar hijrah. Ini kerana masyarakat hari ini kerap terlupa tentang sirah yang tercatat semasa zaman junjungan dan kecintaan kita Nabi Muhammad SAW. Andai kalendar hijrah digunakan secara rasmi di Negara ini, diharapkan ia dapat membawa kesedaran dan ibrah kehidupan nabi SAW dalam kehidupan seharian kita untuk diteladani dan diikuti. Itulah antara buah fikir yang disampaikan tuan guru dalam catatan tahun barunya.   

Aku juga ingin mencoretkan secebis rasa hati apabila meningkatnya usiaku hari ini. Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah, seinifiniti pujian kepada Dia... Saat aku menulis ini aku masih punya kudrat dan keupayaan untuk berfikir dengan baik, masih punya mata untuk membaca dan mencari sumber, masih punya nikmat tangan dan jari jemari yang berupaya berlari2 di atas papan kekunci ini, juga antara yang besarnya, Allah masih mengurniakanku nyawa yang memberi aku peluang untuk terus mengubah diri menjadi lebih baik hari ini. insyaAllah.

InsyaAllah andai masih panjang umur, 15 hari daripada hari ini genaplah usiaku 23tahun. 23 itu angka yang besar bagiku, pejam celik, sudah 23 tahun tidak putus2 Allah mencurahkan nikmat ke atas diri ini. Angka ini menyaksikan sebuah perjalanan hidup yang dirasakan panjang padahal hanya sekejap cuma. Angka ini melakarkan pengalaman2 yang banyak mengajar diri ini akan erti kehidupan di dunia untuk memberi erti kehidupan di akhirat. Berharap kehidupan yang baik diperoleh di kehidupan abadi sana. Key : TAQWA. Ya Allah, aku sering hidup dalam kelalaian, bagaimana akan aku peroleh TAQWA?

Terputar2 diri ini pada sebuah roda yang paksinya sekejap di atas, sekejap di bawah. Kadang pening, tidak mampu menyeimbangkan diri dengan putaran kehidupan ini lantas diri tersungkur, tersembam ke tanah. Mujur, ada huluran tangan yang ikhlas membantuku bangkit semula daripada setiap kejatuhan. Alhamdulillah, orang2 di sekelilingku banyak mengenalkan aku kepada Sang Pencipta kehidupan. Alhamdulillah, mereka disekelilingku ini juga tidak putus memberi kata semangat agar diri terus bertahan dengan putaran roda yang memeningkan. Bertahan dan terus bertahan sehingga akhirnya putaran tersebut berhenti dengan izin Allah, jangan pula kita sengaja hentikan kerana putus asa dan kerana tidak sanggup menghadapinya. Teruskan perjalanan ini walau terasa sukar dan penuh duri mencucuk diri. Teruskanlah sehingga tarikh yang tercatat di luh mahfuz itu tiba menandakan terputusnya hubungan kita dengan dunia. Sama2lah kita mencari redhaNya tanpa henti tanpa sedikitpun rasa putus asa. insyaAllah.

Alhamdulillah, dalam kekosongan yang agak panjang, Allah menemukan aku kembali kepada usrah. Yang sekian lama aku rindukan, yang sekian lama aku cari. Allah menguji sejauh mana kita berusaha untuk mencari. Jihad- bersungguh2 mencari dan Allah akan berinya sebagai satu hadiah yang termanis dapat kita rasai. Mulakan tahun baru dengan bertasbih kepadaNya, mendengar esak tangis sahabat mengadu pada Allah membuatkan diri lebih bersyukur, jumlah kami sedikit tapi, kami terasa lebih kuat dalam munajat kepadaNya. Inilah rabithah kami. ‘Ya Allah, moganya kamilah antara tentera Mu yang mengembalikan semula kegemilangan dan kemenangan Islam di bumiMu ini.’ Baru hari ini terasa hatiku yang jauh ini dekat kembali. Dulu jauh, jauh sangat, jauh sangat sehingga sukar sekali untuk bertemu denganNya, bertahajud kepadaNya saat orang lain masih berselimut dingin. Semoga tahun baru ini, aku sentiasa bermuhasabah diri dan memperbaiki diri menjadi yang lebih baik. Istiqamah dalam kebaikan, mulakan walau sedikit, tak perlu drastik, asalkan statik -istiqamah.  

Sebelum mengakhiri coretan hati di tahun baru, ingin ku berkongsi sedikit ilmu yang keperoleh daripada Ustazah Mursyidah di subuh tahun baru tentang kisah Ibrahim Adam.

Sewaktu Ibrahim Adam (seorang ulama besar) sewaktu berkunjung ke Basrah, beliau telah ditanya oleh penduduk negeri itu, ‘Kenapa nasib kami tidak berubah sedangkan kami selalu berdoa kepada Allah dan bukankah Allah berjanji akan mengabulkan doa hambaNya?’

Ibrahim Adam menjawab bahawa doa itu tertolak kerana sepuluh penyakit hati :

1. Kalian mengaku mengenal Allah tetapi tidak menunaikan hak2Nya
2. Kalian membaca al-Quran tetapi tidak mentadabburnya
3. Kalian mengaku mencintai Rasulullah SAW, tetapi sunnahnya tidak kalian ikuti
4. Kalian mengaku bahawa syaitan itu adalah musuh kalian, tetapi kalian tidak berusaha memerangi
5. Kalian berdoa agar dijauhkan seksa neraka tapi, kalian sering berbuat dosa
6. Kalian berdoa dimasukkan ke syurga tetapi kalian tidak beramal soleh untuknya
7. Kalian yakin kematian itu pasti datang tetapi kalian tidak bersedia untuk menghadapinya
8. Kalian sentiasa nampak keburukan oranng tetapi tidak nampak keburukan sendiri
9. Kalian menerima nikmat daripada Allah tetapi kalian enggan bersyukur kepadaNya
10. Kalian kuburkan orang yang meninggal dunia tetapi kalian tidak mengambil pengajaran daripadanya.

Jom sama2 kita tanam azam untuk berubah menjadi yang lebih baik. Koreksi diri yuk! InsyaAllah, kita cuba ya. =)