Selasa, Februari 08, 2011

Pakistan Timur (Bangladesh)


Pertama, cuba teka ini bendera negara apa?
Kalau putih di tengah macam familiar kan?!;p Tapi, merah tu bukan sengaja diwarnakan, warna asalnya memang merah. =)

Jawapannya, inilah bendera negara Bangladesh. tapi, hijau tiada tona. tona hitam-hijau di tepi tu sekadar menambah rasa klasik dan 'cool' pada bendera. ;p


Bangladesh punya satu sejarah yang sangat panjang. ia pernah berada dalam India dan juga pernah menjadi sebahagian daripada Pakistan dengan nama East-Pakistan. Tapi, oleh kerana Bangladesh diduduki ramai penduduk etnik Bengali, maka, mereka menuntut kemerdekaan sendiri yang akhirnya pada tahun 1971 negara Bangladesh menjadi negara Bangladesh. ;p (maaf atas kesilapan bahasa andai ada)

Bangladesh diduduki oleh hampir 90 peratus rakyat beragama Islam dan menjadi negara kedua penganut Islam teramai. Tapi, sedihnya, Bangladesh juga tergolong dalam antara negara termiskin di dunia.


Bangladesh sangat padat dengan kenderaan dan beca terutama di bandarnya Dhaka. Tapi, kemalangan yang dicatatkan bukanlah seteruk di Malaysia. (mungkin gara2 hon setiap saat)


Ia semacam India, tapi, definitely bukan India. Tapi, budaya dan pembentukan tamadun di Bangladesh sedikit sebanyak dipengaruhi oleh India. Sejarah Bangladesh yang pernah dijajah British dan pernah punya banyak 'kingdom' dan juga punya 4 fasa pemerintahan Islam menjadikan Bangladesh sebenarnya satu negara yang kaya dengan sejarah dan 'heritage'. Cuma, tak ramai yang menyedarinya.


Kenapa aku tiba2 bercerita pasal Bangladesh. Baiklah, bangladesh sekarang dilanda rusuhan ekonomi (mengikut berita yang diterima beberapa hari lepas) juga sedang dilanda satu wabak yang dinamakan wabak nipa yang mengakibatkan kematian hampir 80 peratus pesakit yang mengidapnya. Puncanya adalah daripada air jus kurma (kurma yang dimakan kelawar). Aku tidak membuat sebarang pencarian (research) tapi hal ini diberitahu kawan2ku. Jadi, andai salah, tolong betulkan. Jadi, doakan keselamatan semua ya! InsyaAllah.


-Lalbagh Fort, Dhaka Bangladesh-

Menulis kali ini sekadar menghilangkan rasa mengantuk membaca buku sejarah Bangladesh. apa2pun, jangan pandang rendah pada negara yang dinamakan Bangladesh ya! ;p Ia sangat kaya dengan sejuta cerita dan sejarah.

sampai di sini. Wallahu'alam. =)

Yang benar,
Orang yang sedang cuba menghafal sejarah Bangladesh padahal sejarah Malaysia pun belum khatam. ;p
"Allah, permudahkanlah urusan kami~"

Selasa, Februari 01, 2011

Kebangkitan Rakyat Mesir : Saat Sekutu Israel Dijatuhkan Allah


Mesir dikenali bukan kerana piramidnya. Ini kerana binaan yang menakjubkan bukan sahaja wujud di Mesir, tetapi juga di Indonesia dengan Candi Borobudur, di China dengan Tembok Besar, Patung Zues di Olimpia, Greek dan banyak lagi binaan-binaan lain di seluruh dunia. Bukanlah kemuliaan dan kehebatan Mesir di kehebatan binaan piramidnya yang lebih merupakan lambing kezaliman penguasa terdahulu terhadap rakyatnya di zaman tersebut.

Sesungguhnya kehebatan Mesir ialah kerana Universiti al-Azhar yang diasaskan pada tahun 970M. Itulah hebatnya Mesir. Bumi anbiya’ yang dipilih Allah SWT untuk menjadi tuan rumah kepada universiti tertua di dunia ini telah melahirkan generasi ulama terbilang yang bertebaran menyebarkan ilmu ke serata dunia. Atas kemuliaan ini, pemimpin Mesir sewajarnya terdiri daripada mereka yang mempunyai komitmen dengan Islam.

Sayangnya, Mesir hari ini ditadbir oleh rejim diktator yang sedikitpun tidak mencerminkan kemuliaan Universiti al-Azhar. Lihatlah bagaimana Syed Qutb telah dibunuh dengan kejam hanya kerana menulis kitab Maalim fit Tariq dan tafsir Fil Zilal al-Quran. Sekalipun dibunuh atas tuduhan memberontak, beliau tetap dipuji oleh ulama-ulama terkemudian seperti Syeikh Mutawalli Sya’rawi dan Dr. Zaghloul Najjar. Kedua-dua ulama ini setiap kali menyebut nama Syed Qutb pasti akan diikuti dengan rahimahullah rahmatan wasiatan (semoga Allah merahmatinya dengan rahmat yang luas).

Kezaliman rejim Hosni Mubarak di Mesir terbukti dengan kemenangan besarnya yang dicemari dengan penyelewengan besar-besaran setiap kali diadakan pilihanraya. Kemenangannya yang mencapai 99% merupakan hasil demokrasi tempang dan cacat. Di dalam masa yang sama, rejim inilah yang menangkap ribuan pimpinan Ikhwanul Muslimin bagi menghalang mereka bertanding di dalam pilihanraya. Jika benar Hosni Mubarak menang besar di dalam pilihanraya dengan sokongan rakyat, dari mana datangnya penunjuk perasaan yang berjumlah ratusan ribu pada hari ini?

Rejim inilah juga yang menghulurkan tangan persahabatan dengan Israel pada saat Israel dikutuk di seluruh dunia kerana menzalimi rakyat Palestin. Mereka menidakkan fatwa yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa al-Azhar pada 18 Jamadil Awwal 1375H bersamaan 2 Januari 1956M yang mengharamkan sebarang bentuk kerjasama dengan negara haram Israel. Di antara mereka yang bersidang pada hari itu ialah Syaikh Isa Manun, Dekan Fakulti Syariah dari Mazhab Syafi'i, Syaikh Mahmoud Shaltout, dari Mazhab Hanafi, Sheikh Mohamed Thaneikhi, Pengarah Badan Dakwah dan Bimbingan Keagamaan, dari mazhab Maliki, Syaikh Muhammad Abdul Lathif As-Subki, Pengarah Penyelidikan Universiti Al-Azhar dari mazhab Hanbali dan Syaikh Zakaria Al-Birri, Bahagian Jawatankuasa Fatwa.

Sesungguhnya tangan Hosni Mubarak ialah tangan berlumuran dengan darah rakyat Palestin. Kekuasaannya tegak di atas susunan tulang tulang para ulama yang dikorbankan demi untuk memenuhi tuntutan hawa nafsunya. Hari ini, tindakan paling tidak demokratik telah dilaksanakan dengan menutup semua akses internet dan talian telefon semata-mata untuk membendung kebangkitan rakyat.

Dalam hal ini, saya menyetujui pandangan Syeikh Dr Yusuf al-Qaradawi supaya Hosni Mubarak meletakkan jawatan dan akur dengan kehendak rakyat Mesir demi kebaikan rakyat Mesir dan umat Islam keseluruhannya. Semoga Allah SWT akan menaikkan penguasa yang benar-benar berkhidmat untuk rakyat dan Islam khususnya membela nasib umat Islam di tanah yang bersempadan dengan Mesir iaitu Palestin. Padanlah kalau pihak yang kecut perut sekarang ini dengan perkembangan yang berlaku ialah Israel.

Sekian, wasalam.

Tuan Guru Datuk Bentara Setia Nik Abdul Aziz Nik Mat,

Menteri Besar Kelantan merangkap al-Mursyidul Am PAS.

Bertarikh : 27 Safar 1432H bersamaan 1 Februari 2011M

sumber