Rabu, Jun 08, 2011

Jiwa Tua Berdosa

‘Betul ke kalau kita buat macam ni berdosa?’

‘Betul ke kalau kita buat macam tu berdosa?’

Betulkah sesuatu yang dilakukan itu ada dosa pahalanya? Tapi, kenapa kita tak nampak dosa kita? Betul ke di kiri kanan kita ada malaikat yang sedang mencatat baik buruk? Benarkah setiap kita punya buku catatan amalan? Manusia suka bertanya dan tak puas selagi tidak terbukti kebenaran di hadapan mata. Kerana itu juga manusia sentiasa saja lalai dan leka.

Dosa ibarat zarah bergetaran, ia berjisim tapi tidak kelihatan. Oleh itu, dosa sering dilakukan, tidak henti malah berterusan. Istiqamah! Padahal dosa itu sedang ditimbang2 walau labuh bahu kiri tidak dirasakan. Astaghfirullah...

Setitik demi setitik kotoran menghitamkan hati. Pada jiwa yang semakin tua, hati sudah kelat, berkulat, hitam pekat lagi berkarat... Astaghfirullah...

Kerana dosa, pipi tidak lagi basah, hati tidak bergetar sebaik mendengar namaNya disebut2. Kerana dosa, diri tidak lagi bersalah ketawa berdekah2 sehingga seisi dunia mendengarnya. Kerana dosa.. Penglihatan mata hati semakin kabur lalu menjadi buta terhalang dek tebalnya dosa! Astaghfirullah...

***

Allah! Kerana dosa, hari ini aku semakin jauh dariMu. Setelah menyedari, ibarat halilintar memanah diriku. Jiwa terbakar dalam rasa bersalah. Resah, gelisah...Benarkan, Kau kan menerima taubat hambaMu?

Aku hamba berdosa yang telah hampir buta mata hati. Aku hamba berdosa yang hampir padam cahaya hati. Allah, sinarkan kembali hidayahMu, bukakan kembali pintu petunjukMu agar aku terus menyedari saat dosa aku lakukan.

Tidak kira sekecil mana dosa dilakukan, ‘innal jibal laminal hasho’. Bukit besar asalnya daripada pepasir dan batuan kecil juga. Begitulah dosa, walau kecil, jika dikumpul, takut besar pula jadinya. Allah, peliharalah...Allah, ampunilah jiwa tua hamba yang berdosa ini...

***

“Katakanlah (Wahai Muhammad): "Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas (berdosa) terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dialah jua yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Az-Zumar : 53)

Wallahu'alam.

Tiada ulasan: