Khamis, Mac 10, 2011

Allah di Mana?


Aku lihat pada tag namanya, tertulis Abdullah. Usianya lingkungan 40-an barangkali. Sebaik aku duduk, Encik Abdullah tanya, ‘kenapa awak ada Nik tapi ayah awak tak ada?’ Tidak terkejut dengan soalan begitu, sudah berkali2 aku ditanya. Aku sekadar menjawab, ‘Sebab emak saya Engku.’ Aku sendiri tidak pasti, kenapa emak Engku, anak jadi Nik? Tapi, setahu aku juga, nama Nik yang hanya terdapat pada namaku dan adik2 perempuanku adalah bersempena nama arwah nenekku Engku Nik.

‘Kenapa, tak boleh ke kalau emak Engku anak dapat Engku jugak?’ Tanya Encik Abdullah lagi sambil menaip sesuatu. Pandangan matanya fokus pada skrin komputer. ‘Hmmm…Tak tahu… sebab, kena ikut ayah kot…’ Kedengaran pula seorang lagi pegawai trafik menjawab daripada tempatnya, ‘Memang macam tu…kalau perempuan ada gelaran kahwin ngan laki biasa tak dapat la gelaran kat anaknya.’ Hmmm… mungkin betul. Tapi, ayah bukan orang biasa juga… Ayah luar biasa. ;p ayah boleh buat apa sahaja yang dia suka. Ayah boleh jadi ahli motivasi, ayah boleh memasak, ayah boleh menjahit (masih ingat topi berjahit ‘nadia’ dan beg sekolah yang dibuat sendiri masa aku masuk darjah satu =)), ayah boleh buat perabot sendiri (perabot 2nd hand dibeli, dengan tangan ayah sekelip mata kelihatan baru), ayah boleh baiki tv yang tak boleh dibaiki di kedai, ayah pasang pintu rumah sendiri…pokoknya, ayah memang superb. Tapi, emak juga mestilah triple superb sebab emak melahirkan kami2. =) Dan emak super duper best cooker (read:chef) di rumah, dan aku best eater. ;p Oops, maaf, terkeluar topik. ;p

***

‘Maaflah saya nak cakap. Saya tak suka pangkat2 ni… Jangan terasa ya…’ Encik Abdullah seperti tidak mahu berhenti berbual. Tadi aku juga yang menyekatnya daripada waktu rehatnya. ‘Eh, takpun… semua orang sama je…Cuma mungkin nak jaga keturunan, tu yang ada nama gelaran di hadapan.’ Aku masih ingat cerita ibu saudaraku, Kalau dahulu orang tua2 cukup pantang berkahwin dengan orang yang dikatakan tidak bergelaran atau ‘orang biasa’ atau seseorang itu akan dapat ‘tuloh’ (refer pada kamus kelantan). Tapi, sekarang semua itu seakan sudah tidak valid. Semuapun orang biasa, tidak kira raja, perdana menteri, berpangkat dato’ dan sebagainya kelak dalam talkin tidak lagi dipanggil dato’ dan gelaran2 lain. Di hadapan Allah, semua berpangkat hamba, kalaupun berpangkat, yang tertinggi adalah yang bertakwa. Wallahu’alam.

‘Nanti depan Allah, Dia tak tengok semua tu kan?’ Encik Abdullah menyambung. Aku mengangguk sambil memerhati beliau beralih pandangan dari skrin komputer ke kertas di atas meja, menulis sesuatu. Haih, panjang pulak bualnya. Beliau menghulurkan resit padaku dan kusambut dengan niat untuk bangkit daripada tempat dudukku.

‘Sebelum tu… pakcik nak tanya satu soalan.’ Hee~ rasanya dah banyak pakcik tanya soalan. ;p Aku tak jadi bangun. Terus melekat di kerusi.

‘Kita semua tahu kan Allah tu ada. Tapi, di mana Allah sekarang?’ Terkejut aku. Alamak, adakah sedang mengujiku?

‘Hmmm…di mana2?’ Aku jawab dalam tanda soal. Sebenarnya tak tahu nak jawab macam mana. Di mana Allah? Tapi, Encik Abdullah tidak mahu menjawab apabila aku tanya apa jawapannya.

‘Lagi satu… Apa Allah buat sekarang?’

‘Hmmm… sedang melihat kita…’ Hmmm, what is the best answer? Tapi, soalan begini seperti pernah kudengar. Mungkin dalam kisah2 teladan atau mungkin pernah ditanya sebelum ini. Sekali lagi Encik Abdullah meninggalkan soalan tanpa jawapan.

‘Ni homework untuk awak ya… soalan2 ni ditanya oleh seorang orang tak beragama kepada seorang imam. Cuba teka siapa?’

‘Imam Abu Hanifah?’ Ok, serius aku pernah dengar kisahnya.

‘Yakin ke? Saya bagi klu. Soalan apa Allah buat sekarang…’ Encik Abdullah bangkit daripada tempat duduknya berjalan ke tempat duduk sebelah lalu tanya lagi… ‘Apa Allah buat ?’ Aku mengerutkan dahi. Tak dapat tangkap.

Melihatkan aku yang berkerut2 agaknya, lalu Encik Abdullah akhirnya menjawab, ‘dengan izin Allah juga saya dapat beralih dari tempat tadi ke sini. Allah gerakkan saya ke sini…Kisah Imam apa?’ Soal lagi.

‘Emmm…kisah Imam… ntah… tak tahu… tapi, macam pernah dengar.’ Pakcik meng’konfiuskan’ saya!

‘Macam ini, awak cari kisah ni… kalau dapat bagitahu saya. Takpun, kalau nak tahu nanti suruh ustaz tu cerita.’ Encik Abdullah menunjuk kearah seorang lagi pegawai trafik uia yang sedang membuka pintu pejabat. Aku memandang. Takkanlah aku kena datang sini semata2 untuk bagi jawapan melainkan sekali lagi ada urusan.

‘Takpun, kalau awak suka dengar tazkirah2 ni, datang je sini. Ustaz ni suka bercerita. Saya pun suka dengar cerita dia.’ Aku tersengih. Ada pulak gitu.

‘Pelik la pulak kalau saya datang sini semata2 nak dengar cerita…’ Bagitahuku.

‘Eh, takdelah pelik. Ilmu ni kat mana2 pun kita boleh tuntut. Di pondok guard ni pun boleh.’ Aku sengih lagi… Lama pula aku disini (guard house). Daripada kisah keturunan ke kisah imam masuk pula kisah pemimpin yang tidur atas pelepah tamar. Pemimpin yang zuhud. Cuba teka siapakah dia pemimpin yang zuhud itu? ;p

***

Balik bilik, terus aku menggoogle atau menggoggle. Dengan kemudahan yang ada… Senang saja nak cari jawapan kepada Encik Abdullah tadi. Dan….

***

Aku jumpa ini :

Perdebatan Imam Abu Hanifah dengan Seorang Atheis

sumber : http://lifeoftahaptest.friendhood.net/t518-perdebatan-imam-abu-hanifah-dengan-seorang-atheis


Terdapat banyak cerita tentang kehebatan Imam Abu Hanifah yang berjaya berdebat dengan golongan kafir dan sesat. Antaranya ialah cerita perdebatan beliau ketika umurnya masih muda.

Ceritanya begini: Seorang Dahri atau Mulhid (atheis) telah menemui Sheikh Hammad iaitu guru Imam Abu Hanifah. Sebelum itu, dia telah mencabar para ulama’ berdebat dengan mengatakan:

"Kalian mengatakan Allah itu wujud tanpa ada tempat, sedangkan setiap yang wujud mesti mempunyai tempat".

Ramai ulama telah kalah berdebat, kemudian si Dahri ini bertanya kepada orang ramai:

"Masih adakah ulama di kalangan kamu yang mampu berdepat denganku?"

Mereka menjawab: "Ada, beliau bernama Sheikh Hammad".

Si Dahri pun mohon Khalifah agar perintahkan Sheikh Hammad untuk berhujah dengannya. Khalifah memperkenankan permintaan Si Dahri dan memerintahkan Sheikh Hammad dengan diberi tangguh hingga keesokan harinya. Pada pagi esok, Imam Abu Hanifah yang masih kecil telah mendapati gurunya itu berada dalam keadaan dukacita. Beliau pun bertanyakan sebabnya. Gurunya menjawab:

"Aku telah dipanggil oleh Khalifah untuk berdebat dengan si Dahri dalam perhimpunan para ulama. Semalam aku juga telah bermimpi sesuatu yang buruk".

Imam Abu Hanifah: "Apa yang Tuan Guru mimpikan?"

Sheikh Hammad: "Aku bermimpi melihat sebuah dusun yang sangat luas yang terhias. Terdapat sepohon pokok kayu yang berbuah. Kemudian, muncul seekor babi dari suatu penjuru kampung dan memakan buah-buah pohon tersebut sehingga habis dedaun dan buah-buah tersebut. Hanya tinggal batang kayu sahaja. Kemudian, muncul pula seekor harimau daripada umbi pohon tersebut lalu terus menerkam babi itu dan membunuhnya."

Imam Abu Hanifah: "Allah Taala telah mengajarkan saya ilmu ta'bir mimpi. Saya mendapati mimpi ini baik bagi kita dan buruk bagi musuh kita. Jika Tuan Guru izinkan, bolehlah saya ta'birkannya."

Sheikh Hammad: "Ta'birkanlah wahai Nu'man" (nama sebenar Imam Abu Hanifah).

Imam Abu Hanifah: "Dusun luas yang terhias itu adalah agama Islam. Pohon kayu yang berbuah itu ialah para ulama. Batang kayu yang tertinggal itu ialah Tuan Guru sendiri. Babi yang muncul itu ialah si Dahri, manakala harimau itu yang membunuh babi tersebut ialah saya sendiri. Berangkatlah, saya akan turut menemani Tuan Guru. Dengan berkat hemat Tuan Guru dan berkat hadrat Tuan Guru, saya akan patahkan hujahnya."

Sheikh Hammad bergembira dengan kata-kata Imam Abu Hanifah itu, lalu bertolak bersama ke Masjid Jami'. Kemudian, Khalifah tiba di samping orang ramai telah berhimpun di sana. Si Dahri datang dan terus naik ke mimbar serta bertanya:

"Siapakah di kalangan kamu yang akan menjawab soalan-soalanku?"

Imam Abu Hanifah menjawab: "Nyatakan saja soalan kamu, orang yang tahu akan menjawabnya."

Si Dahri: "Siapakah engkau ini, wahai budak? Engkau bercakap denganku sedangkan orang-orang yang ada kemegahan, orang tua, berserban besar, berpakaian labuh dan berlengan baju yang luas tidak mampu berdebat denganku. Inikan pula kamu yang masih kecil, masih mentah dan hina."

Imam Abu Hanifah: "Allah Taala tidak memberikan ketinggian dan kebesaran kepada orang yang berserban besar, berpakaian penuh kemegahan dan berlengan baju yang luas, tetapi Allah memberi kepada para ulama seperti firman-Nya, bermaksud:

Dan (Allah memberikan kepada) orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat. Surah Al-Mujadalah (58) : 11

Si Dahri: "Engkaukah yang akan menjawab soalan-soalanku?"

Imam Abu Hanifah: "Aku akan menjawab dengan taufiq Allah."

Si Dahri pun mula bertanya: "Adakah Allah itu wujud?"

Imam Abu Hanifah: "Ya."

Si Dahri: "Di mana?"

Imam Abu Hanifah: "Allah tidak bertempat."

Si Dahri: "Bagaimana mungkin Dia wujud tapi tidak bertempat?"

Imam Abu Hanifah: "Dalilnya ada pada diri anda."

Si Dahri: "Mana dia?"

Imam Abu Hanifah: "Bukankah kamu mempunyai nyawa?"

Si Dahri: "Memang."

Imam Abu Hanifah: "Di manakah tempat nyawa atau roh kamu itu? Di kepala kamukah? Atau di perut kamu? Atau di kaki kamu?"

Si Dahri tercengang-cengang tidak tahu jawab. Kemudian Imam Abu Hanifah menyebutkan pula tentang air dengan mengatakan:

"Bukankah air susu itu mempunyai lemaknya?"

Si Dahri: "Ya."

Imam Abu Hanifah: "Di manakah terletaknya lemak itu di dalam susu? Adakah di sebelah atas atau di sebelah bawah?"

Sekali lagi Si Dahri tidak dapat menjawab. Imam Abu Hanifah menambah: "Sebagaimana roh juga tidak bertempat di dalam tubuh, lemak tidak bertempat di dalam susu, maka Allah juga tidak bertempat di alam buana ini."

Si Dahri menyoal lagi: "Apa yang ada sebelum Allah dan apa yang ada selepas-Nya?"

Imam Abu Hanifah: "Tiada sesuatu sebelum Allah dan tiada sesiapa selepas-Nya."

Si Dahri: "Bagaimana dapat memahami tiada sesuatu yang mendahului yang wujud dan tiada sesuatu selepasnya?"

Imam Abu Hanifah: "Buktinya ada pada anggota badanmu."

Si Dahri: "Apa dia?"

Imam Abu Hanifah: "Tiada sesuatu pun yang mendahului ibu jari tanganmu. Dan tiada sesuatu pun yang ada selepas jari kelingkingmu. (penulis: logik ini sangat tinggi, barangkali orang awam macam kita tidak memahaminya, wAllahua'lam) Begitu jugalah dengan Allah Taala. Tiada sesuatu sebelum-Nya dan tiada sesuatu selepas-Nya."

Si Dahri: "Ada satu lagi soalan yang ingin aku tanyakan."

Imam Abu Hanifah: "Kemukakanlah, Insya Allah aku akan menjawabnya."

Si Dahri: "Apakah yang dilakukan oleh Allah sekarang?"

Imam Abu Hanifah: "Cara engkau tidak betul. Sepatutnya orang yang menjawab mesti berada di mimbar dan orang yang bertanya berada di bawah. Aku akan menjawab jika aku berada di mimbar dan engkau pula di bawah."

Si Dahri pun turun, Imam Abu Hanifah pula di mimbar. Setelah beliau duduk, si Dahri itu pun bertanyakan soalan tadi.

Imam Abu Hanifah menjawab: "Inilah yang Allah Taala lakukan sekarang. Dia menggugurkan yang batil seperti kamu dari atas ke bawah dan menaikkan yang benar seperti aku dari bawah ke atas."

Si Dahri rasa tertewas dan hujahnya dipatahkan.

***

Aku rasa macam nak menjerit, ‘Pakcik, saya dah jumpa!’ Daripada masuk topik gelaran sehingga sesi tazkirah. Terima kasih pakcik! =) Baru ingat siapa yang pernah menceritakan kisah ini kepadaku…Cikgu Matematikku dahulu! =) Tak kira polis trafik atau cikgu matematik, kalau dengan tegas menggenggam prinsip Islam, bagiku, merekalah yang terbaik! insyaAllah. =)

Dan esoknya, aku kena saman. Haih! Memang kena pergi trafik lagi bagi jawapan pada Encik Abdullah. ;p

***

Wallahualam.

Note : dicatat minggu lepas, baru sempat post hari ini. =) Alhamdulillah. Semoga ada manfaat. =)

1 ulasan:

Fara berkata...

Mungkin saya boleh guna pakai hujah2 neh kalau ada yg bertanya soalan2 seperti Dahri, tetapi mungkin penjelasan saya tidak la sehebat Imam Abuu Hanifah :)