Khamis, Januari 29, 2015

Tholhah Al Fayyadh bin Mohamad Kamarul Helmi



Cerita tentang anak sulung ibu abi.

Dilahirkan pada 5 Januari 2015, 20 hari lebih awal daripada tarikh jangkaan doktor. Abi termenung di sisi ibu yang sangat kepenatan selepas melahirkan, di dalam bilik bersalin Hospital Selayang. Ibu nekad nak melahirkan Tholhah di kampung, nak anak ibu abi jadi orang Terengganu. Tetapi, sebaliknya percaturan Allah, selepas balik dari Giant membeli barang keperluan rumah, ibu sakit pinggang. Sakit yang amat (semasa di Giant dah terasa sakit tapi gagahkan juga berjalan). Jam 12 malam, sakit makin kerap dan ibu cuba untuk tak layankan sakit tersebut..Tapi, sakitnya pelik. Tak terfikir langsung Tholhah dah bersedia untuk melihat dunia lebih cepat daripada jangkaan. Ibu ajak abi ke hospital setelah sempat membaca blog ibu-ibu tentang sakit beranak. Mungkin yang ibu alami itulah namanya kontraksi. 

Dalam kereta, masih termenung, nak pergi hospital atau tak? Tapi, sakit (melampau lampau lampau) menyebabkan ibu stress dan memaksa abi bawa ibu ke hospital. Ok, skip...skip...skip... malas bercerita panjang. Cuma tepat jam 3.25pagi, Tholhah lahir ke bumi dengan mata terbuka luas. Sampai Subuh pun Tholhah tak mahu pejam mata. Mata Tholhah bulat pandang ibu. Kurang menangis, Alhamdulillah sejak lahir Tholhah sangat mudah diuruskan.

Tholhah al Fayyadh nama diberi setelah terbaca nama tersebut dalam lembaran kitab Biografi Nabi Muhammad SAW. Tholhah adalah nama sahabat nabi (Tholhah Ubaidillah) yang menjadi benteng pertahanan nabi dalam peperangan Uhud. Fayyadh merupakan gelaran diberikan untuk Tholhah oleh Nabi SAW kerana sifat pemurahnya. Maka, Ibu dan Abi bersetuju memberikan nama buat anakanda sulung kami dengan nama Tholhah Al Fayyadh. 

Tholhah yang soleh, Tholhah yang kami harapkan menjadi seorang yang hafaz al Quran, yang akan memberi syafaat kepada ibu abi kelak. insyaAllah amiin. Tholhah ini hari ini telah genap setahun dan sungguh cepat masa itu berlalu sejak Tholhah pertama kali melihat dunia ini 5 Januari tahun lalu. 

Tapi, Tholhah tahu? Dua tiga menjak ini Tholhah selalu demam dan kurang sihat. Tholhah tahu? Tholhah banyak menganggu tidur ibu abi dan banyak meresahkan ibu abi saban malam. Sering bimbangkan kesihatan Tholhah yang sering demam. Tholhah sedang menguji kesabaran ibu abi..dan, sebenarnya Tholhah menyebabkan ibu terfikir, pasti lebih susah nenda Tholhah membesarkan ibu dan adik beradik dulu-dulu, dan pasti susah juga Tok Umi Tholhah membesarkan abi dan adik beradiknya dahulu. Tholhah tetap menjadi penyejuk hati ibu abi walaupun susah manapun ibu abi perlu menjaga Tholhah, amanah daripada Allah. 

Tholhah setahun, dan masih belum mengerti. Tholhah yang setahun ini tidak lama lagi harus membiasakan diri untuk berbagi perhatian ibu abi. insyaAllah, semoga Tholhah dan adik-adik Tholhah kelak akan menjadi sahabat karib yang saling memerlukan antara satu sama lain. Dan semoga ibu abi dapat menjaga Tholhah dan adik-adik dengan sebaiknya.

Terima Kasih Allah atas kurniaanMu. Berikan kami kesabaran dalam mendidik dan mengasuh anak-anak syurga amanah daripadaMu ini sebaiknya. *sob sob*  

Tiada ulasan: