Selasa, April 07, 2009

Kejayaan


‘Merenung ke luar jendela, menanti bunga kuning gugur, sudah 2,3 hari, ia masih mekar menayangkan keindahan menambahkan seri pemandangan. Lalu diri terbayang keindahan sakura di Negara jepun. Sekali ia gugur, ribuan pencinta sakura datang, hanya kerana ia bernama sakura. Andai aku sakura, pasti ramai yang datang tatkala aku gugur, tapi, hakikatnya, aku seorang manusia penerima amanah menjaga dunia daripada sebarang bencana kejahatan manusia. Sekali aku gugur, entahkan aku dikenang entahkan aku dilupakan.’

Hari ini seperti biasa bangkit sahaja daripada tidur terus menghadap buku. Aku dan sahabat2 yang lain masing2 sibuk mempersiapkan diri untuk menghadapi peperiksaan yang bakal ditempuh. Aku mencari2 soalan spot untuk 3 subjek akan datang iaitu subjek ‘History of Islamic Architecture’, ‘Building Construction and Materials2’ dan ‘Environmental Science and System’. Tiba2 aku teringat bahawa ini semua hanyalah peperiksaan di dunia. Masing2 bertungkus lumus untuk mendapat ‘grade’ A yang diidam2kan. Bagaimana pula persediaan kita untuk menghadapi peperiksaan di alam kubur kelak? Ala kadar sahaja mungkin. Ini adalah kerana pertamanya, kita tidak nampak tarikh sebenar Izrail AS akan datang menjemput kita, keduanya, kita berasa masih terlalu muda untuk melalui alam tersebut. Ketiganya, kita bukan sahaja telah mendapat soalan spot malah telah bocor pun soalan sebenar yang bakal ditanya di alam kubur kelak. Tambahan pula, jawapan kepada soalan Munkar dan Nakir itu juga sudah kita tahu. Jadi, adakah ‘kacang’ benar untuk menjawab soalan di kubur kelak?

Aduhai, malanglah bagi kita yang berfikiran begitu. Hakikat yang perlu kita tahu dan sedar adalah pertamanya, janganlah selalu menganggap sesaat selepas ini nyawa ini masih menjadi milik jasad ini. Allah jualah yang Maha Mengetahui bila saat, waktu dan tarikhnya kita bakal meninggalkan dunia. Keduanya, muda bukan satu penghalang untuk Izrail datang menjemput kita. Tiada belas kasihan pada usia yang muda kerana Izrail merupakan hamba Allah yang taat dan sangat menepati masa, tidak terawal dan terlewat sesaatpun. Bukan seperti kita manusia, punya istilah jam melayu, jam jepun, jam randek, jam dinding dan sebagainya yang setiap satunya punya banyak kekurangan dan tiada ketepatan sejati (erk.. ada ke ayat ni?!). Ketiganya, untuk menjawab soalan bocor tersebut, di dunia memanglah tersangat ‘kacang’ tapi, kita perlu ingat, kelak kita mungkin akan lupa semuanya. Kita akan menjawab soalan tersebut berdasarkan persediaan kita semasa hayat kita di dunia. Amalan kitalah yang menjadi penentu cemerlang, baik, sederhana, atau gagal dalam peperiksaan alam sana kelak.

Kalau di dunia, kejayaan cemerlang mampu untuk mengubah kehidupan kita. Dengan kecemerlangan seseorang mampu untuk mendapat pekerjaan yang terbaik, pangkat terbaik, harta terbaik, rumah terbaik dan segalanya terbaik. (semoga amalan kita juga terbaik!) Begitulah juga di alam kubur kelak andai amalan di dunia kita mencapai tahap yang terbaik, insya-Allah di kubur kita akan mendapat kediaman kubur yang terbaik, luas lagi bercahaya. Insya-Allah.

Apa yang ingin aku sampaikan sebenarnya? Sengaja aku mencuri sedikit masa untuk mengingatkan diriku sendiri yang selalu lupa. Kadang2 aku asyik meletakkan matlamat untuk mendapat A di dunia, sehingga terlupa sepatutnya aku meletakkan matlamat A untuk akhirat. Bukan setakat A, tetapi matlamat A++ dan + untuk akhirat, dan secara tidak langsung, matlamat ini akan menjadikan kita bergred A di dunia. =) insya-Allah. Dan sebenarnya, tika ini aku mengimpikan sebuah kematian yang baik sebagaimana arwah Kak Siti Hajar. Aku sangat takut menghadapi hayat yang panjang. Aku takut kerana aku tidak tahu siapakah aku pada masa akan datang. Ya Allah, andai hayat ini masih panjang, biarlah hidupku ini sentiasa menyumbang untuk Islam.amin..

Tanya sama diri :

Siapakah aku pada sesaat, seminit, sejam, sehari, seminggu, setahun, sedekad dan seabad daripada sekarang?

Dan berdoalah:

Semoga aku adalah aku yang punya jiwa memperjuangkan Islam dulu, kini, dan selamanya.amin.

Sampai di sini dahulu, sambung belajar insyaAllah. =) Salam muhasabah daripadaku buat semua sahabat.

Wassalam.

Sabtu, April 04, 2009

Khabar Iman




Salam’alaik.

Aku tersentak apabila ada sahabat yang bertanya ‘apa khabar iman di hati?’. Sejenak aku berfikir. Ya, apa khabar imanku yang sekian lama tidak aku hisab atas kesibukan yang amat sejak akhir2 ini? Adakah sibuk boleh dijadikan alasan sehingga aku terlupa untuk menjaga nikmat besar iman? Ya Allah! Terima kasih kepada sahabat yang bertanyakan khabar imanku. Sungguh aku sendiri terlupa untuk memantau tahap kesihatan imanku. Sibuk dengan peperiksaan, sibuk dengan ‘portfolio day’, sibuk dengan macam2 sehingga aku mengabaikan kesihatan iman. Iman, sihatkah kau?

Ya Allah, kata iman di hati ini, dia sedang jatuh sakit. Walaupun mungkin tidak parah, tapi, dia merajuk denganku lalu jatuh sakit. Dia merajuk lantaran aku sedikit mengabaikannya.Duhai hati, maafkan aku. Aku akui sejak akhir2 ini aku terlupa untuk memberimu makan yang enak2 dan berkhasiat, aku terlupa untuk menyegarkanmu.Hati, aku sedih kerana aku hanya mampu memberikan paling banyak dua mukasurat alunan ayat cinta Allah kepadamu. Selebihnya aku lebih banyak berkejar ke sana ke mari dalam melaksanakan tugasku sebagai seorang pelajar. Ya Allah, sekarang juga aku merasa rindu!

Dulu aku rajin melengkapkan jadual muhasabah harian, sekurang2nya aku dapat menilai sejauh mana tahap ibadatku, sebanyak mana usahaku menyuburkan iman di hati. Tapi, sejak akhir2 ini, aku tidak lagi mengisi jadual tersebut malah buku catatan harianku juga semakin kosong. Benarkah aku tidak sempat ataupun aku sengaja tidak menyempatkan diri? Ya Allah, aku ini sangat lemah, sehingga kadang2 aku berlaku kejam terhadap diri sendiri, membiarkan diri kehausan air hikmat penyubur iman. Ya Allah, aku rindu saat itu, saat aku mampu mengalirkan air mata kerana rindukanMu, saat aku mengalirkan air mata mengingati dan takutkan azabMu. Tapi, kenapa sekarang ia tidak lagi mahu jatuh? Mataku kering tidak sebasah dulu, pipiku juga kering tidak selembap dahulu. Aku tahu, itu tandanya khabar imanku kurang baik.

Menghayati kisah ashabul ukhdud. Betapa sucinya jiwa orang yang menjaga imannya. Sehingga sanggup dibakar hidup2 demi menyelamatkan iman. Aku juga harus begitu. Dugaan dan cabaran buatku tidaklah setinggi itu, hanya kecil dugaannya, diduga dengan sedikit kesibukan. Hanya itu! Jadi, aku seharusnya lebih menjaga sebaik2nya iman, jaga sehingga ia boleh dibawa bersama sihat walafiat ketika roh bercerai daripada jasad. Sepanjang masa, aku perlu belai iman sebaiknya. Suburkannya dengan berzikir sekurang2nya. Ya, itulah yang sepatutnya lebih2 lagi sebagai seorang yang bernama pembela dan pejuang agama.

Apa khabar iman? Ayuh, kita muhasabah bersama2. Dalam kita sibuk menghadapi peperiksaan, jangan pula kita lupa untuk menjaga iman. Jangan juga hanya kerana peperiksaan, barulah kita rasa mahu dekat denganNya sekadar untuk dipenuhi satu permintaan dan hajat. Moga kita terus istiqamah dalam beribadat dan melakukan kebaikan Semoga hati kita dalam keadaan sihat sejahtera, jika tidak, perlulah dirawat segera! Salam imtihan dan salam menjaga keimanan.

"Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah kamu bersedih hati, pada
hal kamulah orarg-orang yang paling tinggi darjatnya, jika kamu orang-orang
yang beriman."
(Aali Imran: 139)

Wallahu’alam.