Selasa, Ogos 30, 2016

Saat Kematian

Di luar jendela. Gelap. Awan sedang berarak membawa kandungan yang sungguh berat. Hitam pekat. Sekejap saja lagi mungkin, maka gugur lah kandungan itu sebagai hujan bagi menyejukkan bumi. Awan itu, mungkin awan yang sama baru tiba dari kepulauan melayu. Siapa tahu? Tetapi lebih besar kemungkinan yang gelap gelita itu adalah cebisan awan hasil tiupan taufan dari Tokyo sana. Kawan lab cakap, “typhoon is coming! Perhaps tonight.”  
.
Sungguh aku merindukan tanah air ku. Walau sekejap cuma aku berada jauh di tanah orang, namun tetap kurindukan dan tak pernah lekang sedetikpun ingatan ku pada tanah tumpah darahku itu. Semalam kira-kira jam 8 malam waktu Sapporo, aku menerima perkhabaran sedih. Tok saudaraku telah kembali ke rahmatullah. Antara tok saudara yang paling rapat dan banyak berkongsi cerita setiap kali berjumpa. Rapat kerana rumah hanya beberapa langkah. Terlalu dekat. Dan yang paling selalu Tok Pa Tanya aku, ‘Muna, bila nak ajar Tok Pa auto cad?’ Sering, soalan yang sama.  Padahal, aku tidak pernah master autocad. Terkial2 mahu mengingati segala shortcut. Apatah lagi sekarang. Mungkin langsung sudah kulupa semuanya. Ingin dibuka aja,mungkin gagal.
.
Yang terakhir ku temui arwah Tokpa adalah pada hari raya yang lepas, iaitu betul-betul sebelum berhijrah ke Hokkaido. Waktu itu sudah dirasakan sesuatu yang berbeza, kesihatannya sentiasa terjejas dan aku punya perasaan yang lain dalam hati namun kudiamkan. Al fatihah untuk Tokpa, dan tidak lupa untuk Tok Ayah yang genap setahun hari ini pemergiannya. Dan, sungguh aku bertuah sempat mengenali dua susuk tubuh yang penuh kata hikmat dan pengalaman ini. Walau mungkin tidak banyak kenangan bersama, namun yang secebis itu tetap kukenang sampai bila-bila. Untuk Tok Ayah, aku sentiasa ingat perwatakannya yang lembut, dan sentiasa ku ingat nyanyian lagu Negara Jepun yang tersimpan elok dalam kotak memorinya. Membesar dalam zaman penjajahan Jepun- pengalamannya jika beliau menulis pasti tidak cukup sebiji buku diterbitkan.
.
Al Fatihah untuk yang telah pergi. Juga yang sentiasa hadir kepadaku, yang sentiasa dikenang jua adalah, arwah Che Cik. Yang paling diingati kerana terlalu banyak juga waktu kami bersama. Sepanjang waktu Che Cik sakit, itulah waktu yang paling banyak aku bermuhasabah. Soal kematian dan kehidupan. Betapa kematian itu dekat dan betapa kehidupan ini sungguh sekejap. Setiap kali terjaga di lewat malam tika itu, perkara pertama akan aku lihat dan rasa adalah degup jantungnya. Semangatnya untuk terus hidup benar-benar memberi semangat kepadaku, dalam setiap perkara yang dilakukan, ‘jangan pernah putus asa!’ Merasai ada rentak dan irama degup jantung itu sungguh indah.
.
Juga degup jantungku hari ini, setiap hela nafasku pada hari ini, syukur padaNya yang masih memberikan ruang dan waktu untuk membetulkan dan memperbaiki hidup. Sungguh, Dia telah mencukupkan bagi aku semuanya. Rezeki yang tidak pernah putus dan sentiasa cukup.
Selagi diri ini hidup, harus lebih banyak belajar dan memperbaiki diri. Sebuah kematian- itu adalah satu peringatan yang benar-benar menyentap jiwa. Permainan emosi yang boleh jadi sangat dasyat. Sebuah peringatan yang paling terkesan dalam diri. Lihatlah sebuah kematian, saat itu kita akan rasa takut dan bimbang, bagaimana agaknya, akhir hayat kita nanti? Justeru, perbaiki diri. Semoga pengakhiran yang baik buat kita semua. Tidak kira di sudut bumi manapun kita berada. Amiin~
.
Dan, langit gelap terus gelap. Masih belum tanda mahu menggugurkan rahmatnya. Mungkin benar, ‘typhoon is coming- tonight!’ ~
.
Otsukare sama desu~
.
1655, 30 Ogos 2016,
Makmal Pengurusan Sisa Pepejal,
Fakulti Kejuruteraan,

Hokkaido Universiti, Hokkaido,
Jepun.

Selasa, Februari 17, 2015

Heroes


Alhamdulillah. Sekarang, saat ini dikurniakan dan dipinjamkan 3 hero untuk berada di sampingku. seorang bernama suami untuk memberi bakti dan dua anak lelaki untuk berbakti insyaAllah. Macam mana ya perasaannya? Alhamdulillah, rasa sangat sangat dan sangat bersyukur. Ada orang masih sedang tercari2 imam dan pendampingnya, ada yang sudah punya pendamping tetapi masih ternanti2kan cahaya mata dan hatinya, dan dalam pada ramai yang masih mencari dan ternanti, Allah mengurniakan kami pelbagai nikmat yang tidak terhitung. 

Penat untuk menguruskan 2 anak yang masih kecil. Dalam tempoh berpantang ini, penatnya kurang terasa memandangkan aku punya ramai pembantu di sini. mak, ayah dan adik bongsu ku banyak sangat membantu dan aku masih belum mula memandikan sendiri adik Nu'man. Walaupun sudah bergelar ibu dua anak, tapi, dalam tempoh sebulan ini mungkin aku masih belum berani memandikan anak kecil yang masih merah dan terlalu rapuh badannya. Aku lebih percaya untuk mak dan ayah saja yang memandikan adik.

Bagaimana dengan si abang? Abang Tholhah lebih banyak melakukan cubaan meraih perhatianku. Pantang mendengar suara adik merengek, Abang tholhah akan merengek lebih kuat lagi menyaingi dan menenggelamkan suara adiknya. dan pantang aku mengangkat adik ke riba, abang tholhah terlebih dahulu menghenyak punggungnya ke ribaku. Abang Tholhah tidak mahu lagi menyusu botol yang mana agak sangat mencabar bagiku. Lihat sahaja botol susu, abang Tholhah akan menepis2 dan menangis2. Nampaknya tidak penting lagi bagiku untuk menjadi agen Wildan. Sekarang masa untuk memberi perhatian kepada abang Tholhah...dan adiknya (hakikatnya sering abang yang terlebih diberi perhatian). 

Apapun, seronok sebenarnya memikirkan aku dan suami sudah punya 2 anak untuk diuruskan. Keletah si abang sangat banyak mencuit hati tetapi banyak juga yang menguji kesabaran ibu dan abi ini. Baru dua sudah sangat mencabar rasanya. Hero yang aku harus memberi bakti iaitu suamiku terpaksa banyak berkorban juga. Aku kadang2 (selalu sebenarnya) terpaksa mendahulukan dua hero cilik penyejuk hati kami ini. Kesian hero besar, sabar ya! ;) 

Ingin bercerita panjang sebenarnya. Niat asal ingin menceritakan tentang beza kelahiran pertama dan kedua...tapi, sangat panjang ceritanya, maka, lainkali lah jika punya kelapangan waktu. ;p. Sebelum heroes terjaga, ada lebih baik aku beradu dulu. Bila sudah terjaga, jawabnya, terpaksa juga aku bersengkang mata. 

Semoga Allah mudahkan semuanya. Semoga Allah mudahkan menjaga amanah ini.