Jumaat, Februari 26, 2010

Sabtu, Februari 20, 2010

Pengaduan Hamba


Ya Allah, hari ini hampir sahaja aku menangis kerana seolah tak mampu lagi menanggung ujian daripadaMu. Aku cuba hadapi dengan tenang walau pada hakikatnya hatiku sedikit resah. Adakah aku ini khalifah yang telah melaksanakan tanggungjawabnya dengan baik? Ya Allah, aku benar seakan berputus asa dengan hidup ini. Memikul beban tanggungjawab ini bukanlah satu perkara yang mudah, tetapi, ia satu tanggungjawab yang akan dipersoalkan di akhirat kelak. Ya Allah, sama sekali aku tidak mampu menanggungnya. Tapi, masakan aku lupakan janjiMu yang sememangnya benar? Kemanisan menanti di hujung kepahitan.

Ya Allah, ini aduan seorang hamba yang mengharapkan limpahan rahmat daripadaMu. Kadang aku rasakan hidup ini seakan tiada erti. Di fikiranku, ‘kenapa perlu aku bersungguh dengan semua perkara sedangkan hayatku bakal berakhir dengan kematian juga?’ Pemikiran seperti ini sering timbul menunjukkan aku benar2 hambaMu yang tersangat lemah. Ya Allah ampunkan aku.

Hari ini Kau menguji aku tentang pengorbanan. Pengorbanan atas sedikit masa pinjaman daripadaMu. Adakah aku sanggup berkorban tenaga dan masa untuk sebuah kebaikan? Jika diikutkan. Mana aku punya masa yang sebegini banyak. Membahagikan kepada puluhan perkara dan tanggungjawab. Tapi, aku sedar inilah ujian. Sekadar sebuah ujian untuk menguji ketabahan dan kesabaran seorang hamba. Masa ini milikMu, masakan aku harus bersifat bakhil atas setiap pinjaman dan milikMu? Tanggungjawab harus dilaksanakan dalam tempoh masa yang sedikit cuma.Tanggungjawab yang tidak terkira banyaknya.

Masalah datang bertimpa, masalah yang menguji ketaatan seorang hamba. Sekali lagi aku seakan mahu menangis dengan semua ini. Tapi, masakan aku mahu bersikap cengeng begitu sedangkan aku tahu Kau sentiasa ada. Kau Melihat dan Mendengar segalanya. Kau tahu isihatiku dan Kau tahu kesusahan dan kegusaran hatiku. Ya Allah, Kau limpahkanlah ketenangan ke atas ku. Walau ribuan perkara cuba menghimpit akal warasku, aku mohon, Kau mudahkanlah segala urusanku. Aku mohon ya Allah, ketenangan bagi diriku agar aku mampu menenangkan mereka di sekelilingku.

Aku tahu, pinta hambaMu ini terlalu banyak yang kadang membuatkan aku malu sendiri. Tidak setimpal dengan amal ibadatku, aku meminta yang berlebihan daripadaMu. Tapi, pada siapa lagi harus aku mengadu dan meminta? Ujian yang Kau timpakan pada setiap manusia itu berbeza. Ada yang lebih berat dan tersangat berat daripadaku. Aku sebolehnya tidak mahu membebankan mereka walau pada hakikatnya aku sering membebankan mereka. Ya Allah, ampunkan aku.

Ya Allah, andai Kau melihat hambaMu ini hampir merasa putus asa. Kau tariklah aku kembali. Kadang aku cuba untuk lari daripada masalah kerana aku tahu manusia punya hak untuk membuat keputusan dan pilihan dalam hidupnya. Samaada menghadapi masalah atau lari daripada masalah. Tapi, saat itu Kau temukan aku dengan firmanMu dalam surah al Baqarah ;

155. Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu Dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. dan berilah khabar gembira kepada orang-orang Yang sabar:

156. (Iaitu) orang-orang Yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: "Sesungguhnya Kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah Kami kembali."

157. mereka itu ialah orang-orang Yang dilimpahi Dengan berbagai-bagai kebaikan dari Tuhan mereka serta rahmatNya; dan mereka itulah orang-orang Yang dapat petunjuk hidayahNya.

Dan aku sedar. Andai lari pilihanku, aku telah gagal dalam ujianMu, aku gagal untuk meraih hadiah lumayanMu. Daripada ayatMu ini aku tahu Kau menyediakan tiga ganjaran bagi mereka yang bersabar dalam menghadapi masalah iaitu kesejahteraan di dunia dan akhirat, rahmat dan kasih sayangMu, dan petunjuk dalam menghadapi berbagai kesulitan yang dihadapi.

Benar aku sangat perlukan tiga ganjaran ini. Sejahtera dunia akhirat, rahmat kasih sayangMu dan petunjukMu. PetunjukMu sangat aku dambakan agar aku tidak terpesong di pertengahan jalan. Ya Allah, kau kuatkanlah hati ini agar ia terletak pada tempatnya yang hak. Agar aku tidak berlaku zalim pada sekeping hati yang rindukan rahmat kasih sayangMu.

Ya Allah, sungguh pengaduan seorang hambaMu yang dhaif ini tersangat panjang. Tapi, aku tidak mampu mengelak daripada terus menjadi seorang hamba yang kuat mengadu. Aku sering terdengar omongan sahabatku bahawa bila Kau timpakan ujian bermakna Kau rindukan suara hambaMu. Sekarang aku datang menjadi salah seorang hamba yang Kau rindukan untuk mendengar suara pengaduanya. Ya Allah, aku tidak mampu menahan semua ini seorang. Aku sungguh tidak mampu.

Ya Allah, andai sahaja aku tahu Kau telah meletakkan aku di sini untuk menjadi seorang pejuang, untuk menjadi seorang pemimpin manusia…mungkin aku sudah berserah terlebih dahulu andai inilah hakikat yang harus aku hadapi. Tapi, Kau letakkan aku di jalan ini bukan dengan percuma, malah Kau berikan dan janjikan sebuah bayaran yang sangat tinggi kelak bila berakhirnya urusanku di dunia ini dengan mengikut syariatMu.

Ya Allah… Kadang aku terfikir kembali… Untuk apa sebenarnya Kau menghidupkan seorang aku di dunia ini sedangkan aku hanya ibarat seekor semut kecil yang tidak mampu menyumbang apa2 untuk dunia mahupun agama. Tapi, Kau lah yang lebih mengetahui. Sedangkan seekor semut juga bertasbih dan tidak leka daripada memuji kebesaranMu. Mungkinlah sang semut lebih mulia berbanding hambaMu yang bergelar manusia ini. HambaMu yang sering hidup dalam kelekaan nikmat dunia ini. Ya Allah, ampunkan aku.

Ya Allah, pengaduan hambaMu ini tidak sampai di sini. Kau lebih mengetahui bahawa hampir sahaja hambaMu ini tersungkur dalam perjalanan yang panjang. Namun, Kau datangkan satu suara dalam diriku untuk terus bangkit dan melangkah. Kau tempatkan aku disini dalam kalangan hambaMu yang perlukan bimbingan, pasti ada sesuatu yang Kau mahu aku lakukan. Juga ada dua pilihan, samaada aku diamkan atau aku suarakan. Suara aku kecil benar untuk didengar ribuan manusia. Aku mengadu. Dan Kau bukakan satu jalan bagiku agar suaraku mampu didengari ramai. Dan jalan itu adalah melalui sebuah taklifat yang berat sekali. Menjadi seorang yang dinamakan pemimpin. Aku masih tersangat kecil untuk menjadi seorang pemimpin. Aku rasa seakan tidak layak dan seakan tidak mampu. Tapi, Kau datangkan pula sahabat2ku di sisiku agar aku sentiasa kuat berada di tempat ini. Syukur padaMu ya Allah.

Ya Allah, mungkin manusia penat mendengar ini semua. Tapi, aku tahu tidak bagiMu. Ya Allah, andai sahaja aku boleh meminta agar Kau hentikan masa. Ingin sekali aku minta begitu. Agar semua perkara dapat aku selesaikan dalam masa yang telah ditetapkan. Aku ingin melaksanakan sebaiknya tanggungjawab aku sebagai seorang pelajar, seorang pejuang, seorang pemimpin, seorang anak, seorang hamba dan andai ada tanggungjawab lain yang harus aku laksanakan. Apapun, yang penting aku tetap harus berusaha. Ampunkan hambaMu ini ya Allah, andai aku sering meminta dengan usaha yang lampau sedikit. Ampunkan aku…

Sehingga akhirnya, Kau lah yang Mengetahui apa yang terbaik untuk hambaMu ini. Aku berserah dan pasrah dengan setiap ketetapanMu.insyaAllah.Kupinta, Kau kurniakan aku sedikit kekuatan untuk aku terus berdiri teguh di atas jalan kebenaran ini. Sekeping hati ini, Kau kurniakanlah sebuah jiwa yang besar, cekal dan tabah dengan setiap ujian dan cubaan daripadaMu. Semoga semua ini berakhir dengan kesudahan yang baik dan diterima sebagai satu kebaikan di sisi Mu. Jangan ada perbuatan ku ini hanya sia2 yang mengundang murkaMu…

Ya Allah, Kau peliharalah dan bantulah kami pejuang agamaMu. Amiin~

Selasa, Februari 16, 2010

Sahabat...La Tahzan



Salam ‘alaik.

Teringat diri akan satu kisah. Kisah dongeng Cinderella. Bukanlah kerana Cinderella berkahwin dengan putera raja yang ingin dibanggakan, tetapi, aku kagum dengan kebaikan Cinderella dan ketabahan yang dimiliki Cinderella dalam mengatasi kejahatan ibu dan kakak2 tirinya.

Jika Cinderella hanyalah sebuah kisah dongeng yang direka2, aku teringat akan satu kisah seorang kawan di waktu kecilku. Aku selalu membayangkan dialah Cinderella di dalam kisah dongeng Cinderella.

Ceritanya bermula, kawan yang aku kenali adalah tidaklah terlalu rapat denganku. Sekadar kawan biasa2 sahaja. Dia cantik tapi, agak pendiam. Aku kenal dia. Masakan aku tidak kenal wajah2 yang sudah bersama daripada darjah 3 sehingga darjah 6. Sewaktu darjah 6, aku mula mengetahui kisah2 hidupnya. Aku pelik akan sikapnya yang sering menyendiri sehingga apabila kami naik ke peringkat darjah yang seterusnya, dia berubah. Dia seakan memberontak. Di sekolah, dia sering melanggar peraturan sekolah. Tapi, aku tahu dia bukan seperti itu.

Sehingga pada suatu hari, baru ku tahu rumahnya hanya berdekatan dengan rumahku. Sewaktu itu dalam darjah 5 atau 6. Aku sering bermain di kawasan perumahanku. Waktu itu permainan kami ‘rounders’. Sedang bermain aku ternampak satu kelibat yang sangat aku kenali. Aku bertanya pada kawan sepermainanku. Ku tanya, ‘tu bukanke Ifah (bukan nama sebenar)?’ Kawanku mengiayakan.

Aku tanya lagi, ‘kenapa tak ajak dia main sekali. Jomlah!’ Aku meluru ke arah rumah tersebut. ‘Ifah jom main skali!’ Laungku. Tapi, dia diam. Dan dia memang sangat pelik. Dia tidak seperti kawan2ku yang lain. Kawanku kemudian menarik lenganku kuat.

‘Shhh… jangan! nanti mak dia marah. Nampak tak dia tengah buat apa?’

Aku memandang ke arah Ifah, dia seperti sedang menbasuh dan menyentap lantai. ‘Buat apa?’

‘ Basuh tahi angsa!’ Jawab kawanku. ‘Kenapa?’ Soalku.

Kawanku tidak menjawab. Tapi, aku teringin sekali mengetahuinya. Aku diamkan diri sehingga satu hari aku membuka mulut untuk bertanya pada kawanku tentang Ifah. Kawanku itu jiran Ifah.

‘Perasan tak dia selalu buat hal kat sekolah?’ Soal kawanku apabila aku bertanya tentang Ifah.

‘Tau2. Dia selalu wat masalah disiplin. Kenapa ya?’ Aku pelik bukan kerana apa. Aku pernah berbual dengan Ifah tapi, dia tidak menunjukkan sebarang sikap kasar dan sebagainya. Dia bercakap dengan nada baik denganku.

‘Gini… dia anak angkat mak dia. Hari tu masa dia cuci tahi angsa. Mak dia suruh. Dia selalu kena dera dengan maknya. Tiap pagi dan petang sebelum gi skolah dia kena siapkan semua kerja. Dia tak dibenarkn keluar bermain macam kita2 smua.’ Aku terkejut mendengar penjelasan daripada rakanku itu.

‘Kalau dapat tengok, di sekolah dengan di rumah dia berbeza sangat. Di sekolah dia macam sorang yang sangat kasar sebab dia cuba melepaskan tekanan hidup. Dia hanya bebas di sekolah. Kemudian dia akan dikongkong semula di rumah.’ Sekarang aku faham. Dia terkurung dan terseksa di rumah. Maknya tak bagi kebebasan untuknya apatah lagi kebahagiaan untuk dia rasa. Aku sangat kesian dengannya. Hampir setiap hari aku melihat sorotan matanya kea rah kami tatkala kami bermain. Dia hanya mampu melihat tak boleh merasa perasaan seorang kanak2 yang bebas menikmati hidupnya.

***

Aku tak mampu membuat apa2. Hanya perasaan kesian sahaja. Kadang2 aku mendekati pagar rumahnya. Melihat dia sedang melakukan kerja2 rumah. Aku kesian tapi, aku tidak mampu membantu. Pagar rumah dikunci. Untuk datang lebih dekat, aku perasan riak wajahnya pasti akan berubah. Aku tahu dia kurang menyenangi kehadiranku.

Apabila mengetahui kisah hidupnya baru aku sedar kisah Cinderella bukanlah dongengan tapi memang wujud di alam realiti. Terpulang pada manusia bagaimana ingin mengatasi masalah demikian. Apabila manusia bertuhankan Allah, pasti dia akan lebih tabah dengan menganggapnya sebagai ujian semata. Tapi, andai manusia bertuhankan nafsu. Pasti dia sudah melakukan perkara sebaliknya kerana merasa betapa seksanya hidup begitu.

Andai manusia bertuhankan Allah, ujian juga dianggap satu kemanisan, tapi, andai manusia bertuhankan nafsu, dia pasti akan merasa tekanan hidup yang melampau kerana ujian adalah satu kepahitan.

***

Satu hari dalam tingkatan 1 atau 2 (aku lupa) aku masih bersekolah dengannya. Dia datang ke sekolah dengan satu wajah yang sangat mengejutkanku. Ada satu kelainan. Baru aku perasan dahinya kosong tidak berkening. Aku benar2 terkejut. Masakan aku ingin bertanya padanya. Sekali lagi aku merisik pada kawanku. Kenapa jadi begitu. Aku yakin pasti ada sesuatu yang tak kena.

‘Semalam, dia kena marah dengan maknya teruk sangat. Tak tahu atas kesalahan apa. Dia dibotakkan kepala dan kening juga.’ Aku terkejut. Sangat terkejut. Masih ada manusia yang sekejam itu. Aku terasa tersangat marah. Kenapa maknya ingin mengambil dia sebagai anak angkat kalau diperlakukan sekejam itu?!

‘Dulu masa mak dia lahirkan dia. Orang selalu kata dia membawa sial dalam keluarga. Ada saja benda yang tak kena sejak kelahiran dia. Sebab tu maknya tak mahukan dia. Serahkan pada keluarga angkat. Tak silap keluarga angkat diapun ada ikatan kekeluargaan. Tapi, tak tahulah betul tak.’ Kawanku menjelaskan apabila aku bertanya. Aku terasa ingin membantu. Tapi, aku benar2 tiada daya. Aku sendiri tidak pernah melihat keluarga angkatnya.

Sehingga pada suatu hari, aku ‘stayback’ di rumah kawanku (jirannya). Kami bersekolah sesi petang, jadi, sengaja aku berada di rumah kawanku memandangkan pada tingkatan 1 aku tidak lagi tinggal di Menjalara B, keluarga kami telah berpindah ke Menjalara A berdekatan dengan SMAKL dan agak jauh daripada sekolahku tika itu. Seperti biasa apabila stayback, kami mula membuat kacau di dapur kawan. Kami geledah dapur untuk memasak. Apabila keluar ke dapur basah. Aku terlihat seseorang yang amat aku kenali. (Setiap ruang belakang rumah kawanku itu bersambung dengan ruang belakang rumah2 jiran.) Aku melihat seseorang sedang menyentap belakang periuk. Dialah Ifah. Aku sedih melihatnya, memang benar dia telah dibotakkan kepala. Kawanku berbisik, ‘Setiap hari dia kena basuh belakang periuk sampai licin.Jangan tinggal hitam!’

Ya Allah, begitu sekali ujianMu ke atasnya! Semoga dia terus tabah.

***

Setelah sekian lama. Aku tidak lagi mendengar berita tentangnya. Malah, tidak lagi aku melihat kelibatnya di sekolah. Sehingga aku berpindah rumah ke Kelantan. Aku tidak mendengar lagi sebarang berita tentangnya. Apapun aku mendoakan kesejahteraannya. Semoga dia berjumpa sebuah kebahagiaan yang dicari. Aku harap agama ini akan menjaganya agar dia tidak berputus asa dengan hidupnya.

***

Apa motif aku menceritakan hal ini sebenarnya? Bukanlah apa2. Sekarang, aku telah berusia 21 tahun. 21 tahun aku telah menghirup udara milik Allah ini. Aku diberi peluang untuk menikmati udara Islam dan Iman juga. Alhamdulillah. Dalam tempoh usiaku ini, aku juga telah menghadapi dan melihat pelbagai ragam hidup manusia. Mungkin bagi sesetengah orang pada usia begini aku masih tidak cukup merasa garam. Tetapi, sebenarnya aku sudah mula pandai membezakan antara masinnya garam dan bagaimana manisnya gula. Maksud aku, pengalaman yang aku timba semakin hari semakin bertambah. Daripada didoktrin pemikiran kanak2 ku dengan kisah2 dongeng seperti Cinderella sehingga aku sendiri melihat realiti kisah Cinderella. Ini semua banyak mengajar aku sebenarnya.

Sekarang, aku telah menghadapi beberapa ujian. Ujian aku tidak berat kerana aku hanya menjadi seorang pendengar, tetapi bahu yang memikul itulah yang lebih merasa beratnya ujian tersebut.

***

Buat sahabat yang sangat aku kasihi, aku teringat akan seorang kawan di waktu kecilku kisahnya hampir sama denganmu. Seperti biasa aku tidak mampu berbuat apa2 melainkan hanya mampu memberikan kata semangat di sisimu. Aku sedih apabila aku hanya mampu mendengar luahan kesedihanmu. Tapi, apakan dayaku...

Aku kadang terasa bodoh apabila aku menceritakan masalahku sedangkan berbanding aku lebih ramai yang punya masalah yang lebih besar. Lalu aku terfikir, apa salahnya andai aku menghadiahkan sebuah kegembiraan tatkala sahabat dalam kesdiahan. Yang aku mampu berikan hanyalah sebuah senyuman untuk menenangkanmu.

***

Pernah aku menunjukkan kerut di dahi tatkala seorang sahabat berada dalam kegusaran dan masalah. Aku tersilap langkah sebenarnya kerana cuba berlaga kesedihan. Kali ini, aku harus lebih kuat untuk menguatkan sahabat2 di sekelilingku. Aku harus kuat dan bersemangat untuk menyerahkan sedikit semangatku kepada sahabat2ku.

Buat sahabatku, aku yakin kau tahu kepada siapa aku tujukan tulisan ini. Aku tujukan buatmu agar kau tidak terus meratap dengan ujian Allah ini. Kau harus lebih tabah! Dan, kau harus belajar mengunyah kepahitan ujian ini untuk ditelan kemanisannya satu hari kelak. Satu hari, aku yakin ganjaran Allah buatmu pasti lebih besar atas kemenanganmu menjadi seorang hamba yang tidak lupa untuk bersyukur.

Aku tidak layak memberikan sebarang kata2 sebenarnya kerana bukanlah aku yang menanggung beban ujian tersebut. Tapi, aku ingin sekali merasainya untuk belajar menyelami perasaan hatimu. Aku bersedia dan sudi meminjamkan telingaku untuk mendengar luahan hatimu insyaAllah. Dan, aku bersedia untuk membantumu andai aku mampu, insyaAllah. Dan, aku ingin sekali membantu! La tahzan, Allahuma’ana.

Allah ada rencananya. Allah telah sediakan hadiah yang besar andai kau menjadi pemenangnya. Rebutlah peluang kemenangan selagi masih mampu. Dan kau pasti boleh! Sahabat, dekatkan diri dengan Allah. Biarpun kau tidak punya lagi tempat meluah dan mengadu, jangan kau lupa pada penciptamu dan pencintamu yang paling agung. Dia lebih tahu akan kondisimu, malah dia lebih tahu apa yang kau sendiri tidak mengerti. Mungkin kau akan bertanya, ‘Untuk apa hidup ini andai hanya perlu hadapi hari2 yang penuh suram dan menakutkan?’ Tapi, yakinlah setiap yang tersurat itu pasti ada yang tersirat yang tidak terlihat oleh mata kasar kita. Dalam erti, pasti ada hikmah untuk semua perkara yang berlaku ini.

Harus kuat!

Wallahu’alam.Wassalam.

“Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedangkan kamu tidak mengetahui.” (Al-Baqarah: 216)

“Apakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga, pada hal belum nyata bagi Allah orang-orang yang berjihad di antara kamu dan belum nyata orang-orang yang bersabar.” (Ali Imran : 142)

Sabtu, Februari 06, 2010

Sehingga Sampai Ke Puncak

Sangat penat! Hanya itu yang mampu aku katakan. Minggu yang sangat memenatkan. Aku rasa ini akan berpanjangan sehingga akhir semester. Dan, aku perlu bersedia untuk setiap kepenatan ini. Setiap subjek ada projek dan tugasan yang perlu disiapkan. Dan, andai boleh dikira, setakat ini belum pernah lagi aku boleh melelapkan mata dengan aman. Tapi, Alhamdulillah, aku masih mampu berdiri dan masih diberikan kesihatan untuk meneruskan perjuangan hidup ini. Alhamdulillah.

Hari ini, aku ingin melapangkan minda yang sudah seminggu kusut. Berakhir satu minggu, akan datang satu minggu lagi yang lebih mencabar. Benarlah kata orang, hidup ini ibarat roda. Kita sentiasa mengulang kitaran yang sama.Kita juga akan mengalami apa yang dikatakan orang sebagai jatuh bangun dalam hidup. Kita semua pasti merasainya! Bangun pagi, melalui rutin harian, ke kelas dan sebagainya. Dan, hari esok juga begitu. Sehingga kadang2 aku terasa sedang hidup dalam ‘dejavu’ iaitu hari2 yang kurasakan telahpun aku lalui sebelum ini. Setiap hari kelihatan sama walaupun pada hakikatnya hari ini sedang semakin tua.

***

Hari ini(Khamis), aku ke Bangi bersama 4 sahabatku untuk menyiapkan tugasan subjek ‘Building Service’. Kami ke tapak projek yang masih pada fasa awal pembinaan. Diketuai oleh Mardhiah dan urusan kami dipermudahkan oleh Allah SWT dengan menemukan kami pada ‘orang2 baik’. Pada awalnya kami sesat sehingga kami bertanya kepada seorang pakcik berbangsa India. Dan, nasib kami baik, pakcik tersebut sudi memandu arah kami ke tempat yang ingin dituju. Alhamdulillah walaupun sedikit lambat kami sampai juga ke tapak pembinaan.

Hampir segenap ruang bangunan separa siap kami jelajah untuk melihat saluran elektrik, air,sistem lif, dan sistem alat penghawa dingin. Bangunan tersebut merupakan Pusat Latihan Agro Bank yang terletak berdekatan dengan UNITEN Bangi. Dan, ianya setinggi 12 tingkat dengan tangga yang masih belum siap sepenuhnya. (Tak ada railing, dan dinding)

Selepas menjelajah ke tingkat bawah bangunan, kami dikehendaki mendaki tangga setinggi 12 tingkat untuk ke bumbung bangunan. Aku memandang ke atas, dan berfikir, ‘Bolehkah aku daki tangga sebegini tinggi dan masih belum siap sepenuhnya?’ Sudah dinasihati siapa yang gayat, sila tunggu di bawah. Tapi, masakan aku mengalah sebelum aku memulakan langkah. Belum cuba belum tahu!

Selangkah demi selangkah aku menapak dengan berhati2. Sampai ke tingkat 6, aku sudah merasa pening. Fikiranku sarat dengan khayalan bersifat kalau. ‘Kalau baju aku tersekat pada batu2 dan aku terjatuh ke bawah.’ Kalau yang pertama aku membayangkan aku jatuh ke bawah, dan keesokan harinya pasti berita kejadian ini akan tersebar melalui media tempatan. ‘Ohh, tidak!’ Aku memadam awan khayalan2ku jauh2. Diganti dengan doa dan selawat dengan harapan semoga Allah masih menyelamatkan aku daripada sebarang musibah. Aku mendongak lagi, masih ada 6 tingkat berbaki. Sebelah mata ku buka dan sebelah mata ku pejam, dan tanganku sedang kemas mendakap tiang semata2 untuk memerhatikan keadaan di bawah. Ya Allah, kakiku seakan longlai, dan aku berhenti seketika. Gementar.

‘Siapa2 yang rasa tak boleh teruskan, berhenti je kat sini. Jangan paksa diri!’ Kedengaran suara Pak Cik Yunos menasihati kami. Dan saat itu memang aku fikirkan untuk berhenti. Kemudian, datang satu bisikan, ‘Sewenang2nya nak berputus asa?!’ Aku tahu itu sahutan diriku yang kuat semangatnya. Ada juga bisikan seperti ini, ‘Jangan teruskan, nanti nak turun lagi gayat!’ Dan, ini merupakan suara bisikanku yang lemah semangat.

Aku menimbang tara dan datang pada fikiranku, ‘setiap yang berusaha itu pasti akan sampai ke puncak!’ Aku takkan membiarkan hanya sahabat2ku yang melakukan kerja di atas sana. Aku harus bersama atau aku pasti ketinggalan sesuatu yang berharga. ‘Nik nak teruskan?’ soal rakanku. Dan aku mengangguk. 'Aku mesti teruskan! Aku tak boleh berputus asa di pertengahan jalan. Andaipun aku gagal sampai ke puncak, sekurang2nya aku punya usaha untuk ke sana!' Dengan langkah kaki yang lemah, aku teruskan jua sehingga ke anak tangga terakhir.

Alhamdulillah, khayalan ku meleset apabila aku selamat sampai ke tingkat 12. Bagi setengah orang untuk sampai ke tangga terakhir itu adalah sesuatu yang sangat mudah. Tapi, bagi sesetengah orang seperti aku, terasa tersangat sukar sekali. Kerana setiap langkah aku asyik membayangkan, ‘andai aku tersepak batu’, ‘andai aku tersilap langkah’, ‘andai aku terjatuh ke bawah’, dan macam2 andaian lagi. Dan, akhirnya aku mampu terseyum apabila melihat jasad aku sedang berada di puncak tertinggi bangunan. Malah lebih tinggi daripada bangunan jiran. ‘Beginikah rasanya orang berjaya?’

***

Kesimpulannya, ini bukan sekadar cerita.Tetapi, ada sesuatu yang aku ingin sampaikan. Adikku pernah gagal dan meminta nasihat daripadaku sedangkan aku juga hampir merasa gagal dalam beberapa ujianku. Sekarang aku sendiri berasa takut. Sebab, sekali berjaya bukan selamanya berjaya, dan sekali gagal, bukan juga selamanya akan gagal. Aku dengan segala kudrat dan semangat cuba untuk menjadi seorang yang berjaya. Dalam proses ini perlunya kepada usaha. Dan, andai sudah berusaha tetapi masih gagal. Jangan pula putus asa kerana secara ringkasnya, Allah mengira sejauh mana usaha kita bukan kepada hasil yang kita dapat.

***

Dalam usaha aku mendaki ke tingkat 12 bangunan, aku dapat rasakan analogi sebuah kejayaan. Bermula dengan doa, usaha, ikhtiar dan tawakkal. Dan, inilah yang dipraktikkan sejak aku dibangku sekolah rendah lagi. DUIT~ Sekarang aku sendiri sedang berusaha untuk tidak berputus asa. Anggap sahaja segala kesibukan ini adalah ujian hidup. Allah mahu melihat sejauh mana kita berusaha untuk bersabar dengan ujian ini. Dan, Allah juga mahu mendengar rintihan seorang hamba kepadaNya. Bagaimana kita merayu kepada kekasih Agung, dan bagaimana kita berharap dan bertawakkal hanya kepadaNya. Harus bangkit berjuang, jangan berhenti di pertengahan jalan!

***

Dan, yang terakhir daripadaku, sebentar tadi aku disedarkan tentang kewajipan aku yang terbahagi kepada beberapa cabang. Dan, harus bermuhasabah. Adakah semua kewajipan ini sudah aku selesaikan dengan baik?

Sebagai hamba Allah

Sebagai seorang pejuang

Sebagai seorang anak

Sebagai seorang pelajar

Sebagai seorang pemimpin

Dan, untuk setiap kewajipan ini, kita cuma ada masa 24jam sehari untuk diuruskan. Itu juga masih belum pasti sama ada kita akan sampai pada jam yang ke 24 ataupun tidak. Setiap hari harus berusaha~

Selamat bermuhasabah.

Wallahu’alam.Wassalam.

Isnin, Februari 01, 2010

Saat Bertamu Keinsafan



Indahnya saat cinta itu bertamu kembali... Bertamu dalam meraih redha Yang Hakiki.
Saat dahi mencium bumi. saat itu, terasa indah bertapak kembali.
Indahnya tatkala Dia menanamkan rasa keindahan, pada saat jiwa lemah seakan tidak bertuhan. Jiwa itu hampir sahaja terhumban ke lembah kelalaian. Tetapi terselamat dek secebis rasa keinsafan. Tatkala jiwa mampir di hamparan kehinaan, Dia selamatkan dengan penuh rasa kasih sayang. Seolah baru tersedar daripada sebuah mimpi dan khayalan. Akhirnya Dia tunaskan kembali rasa indahnya sebuah percintaan. Antara cinta seorang hamba hina dina dengan penciptanya yang Maha Agung tiada tara. Alhamdulillah~